Friday, 4 January 2013

Siapa Rasa Diri Tu Islam Wajib Baca Ini, Guan Eng Tak Payah



1492 merupakan tahun di mana kerajaan Islam terakhir di Semenanjung Iberia ditumbangkan. Kerajaan Nasiriyah Granada yang berajakan Abu 'Abd-Allah Muhammad telah dikepung oleh Kerajaan Aragon dan Castille. 400,000 nyawa umat Islam berada dalam ancaman. Setelah perundingan dijalankan dan Perjanjian Granada dimeterai pada November 1491, dua bulan kemudian, Abu 'Abd-Allah Muhammad telah menyerahkan kunci Kota Granada kepada Isabella dan Ferdinand.

Perjanjian Granada bunyinya sungguh indah. Ia menjanjikan keadilan dan kesamarataan untuk semua pihak. Orang Islam dibenarkan melaungkan azan dan beribadat seperti biasa. Orang Kristian tidak dibenarkan mengintai-intai rumah orang Islam lebih-lebih lagi masjid. Malahan, jikalau ada orang Kristian Sepanyol yang mengejek-ejek orang Islam, mereka akan dihukum mengikut Perjanjian Granada.

Lebih menakjubkan Perjanjian Granada juga membenarkan perlaksanaan undang-undang Islam seperti yang sedia dipakai Kerajaan Islam, tanpa umat Islam perlu dihukum berdasarkan undang-undang Kristian Sepanyol! Rakyat malah bergembira kerana mereka dijanjikan pelepasan semua cukai daripada kerajaan baru.

Cantiknya Perjanjian Granada tidak terhingga. Tidak hairan, Abu 'Abd-Allah boleh mengalah. Penambah perisanya, dalam sejarah Granada, kota tersebut dipendekkan umurnya oleh sekumpulan orang Islam yang disebut sebagai Mudejar.

Mudejar ialah orang Islam yang tinggal di bawah pemerintahan Kristian Sepanyol. Mereka juga bersama-sama dengan Kerajaan Kristian Sepanyol meruntuhkan kerajaan Islam terakhir di bumi Iberia itu.

Mudejar dikatakan berasal daripada perkataan mudajjan, yakni orang yang dijinakkan (untuk berada di bawah naungan kerajaan Kristian Sepanyol) tetapi ada yang mengatakan bahawa ia daripada perkataan mudajjal. Maknanya, faham-faham sendirilah.

Tidak kurang juga antara mereka putera-putera raja Muslim Sepanyol yang mengira-ngira untuk mendapat laba daripada tuan Kristian Sepanyol mereka sama ada menjadi menteri dan kekayaan melimpah atas upah khianat mereka. Mereka ini juga menjadi dajjal di sebalik runtuhnya Kota Granada.

Tetapi, janji hanya tinggal janji dan ia dimungkiri, sepertimana kata-kata bahawa manifesto itu bukannya janji. Tahun 1499, perjanjian itu diingkari. Cardinal Francisco Jiménez de Cisneros telah memulakan pengkristianan paksa orang Islam di Granada.

Rumah-rumah keturunan Muslim dipaksa menggantung babi, tanda mereka bukan lagi Islam. Inkuisi Sepanyol dimulakan. Sesiapa sahaja yang tidak Kristian Katolik disalib dan mata mereka dicungkil. Ribuan muslimin dipaksa murtad.

Walaupun pemerintahan Abu 'Abd-Allah tidak sempurna (dan dikatakan beliau telah merebut kuasa daripada bapanya sendiri), tetapi beliau masih Islam dan iman umat Islam masih terjaga lagi terpelihara di bawah pemerintahannya yang dikritik sebagai lemah, lembab dan zalim.

Kezaliman ini bukan hanya dihadapi oleh orang Islam, malah bangsa-bangsa lain seperti Yahudi juga turut dipaksa menukar agama, dihina, ditindas, diseksa malah dibunuh sewenang-wenangnya.

Jika dilihat kepada senario hari ini, kita melihat hikmah mempunyai dan dinaungi oleh sebuah kerajaan Islam diambil mudah. Orang menganggap ia mudah datang dan mustahil untuk pergi. Malah ada yang menghasut rakyat menjatuhkan pemerintah yang sedia ada dan menaikkan mereka sekalipun pakatan mereka ini bersekongkol dengan golongan liberal, promurtad dan pluralisme agama.

Alasan untuk menumbangkan kuasa sesuatu kerajaan Islam cukup mudah yakni atas nama memerangi korupsi, kezaliman dan kronisme. Ini adalah panji-panji murah yang dikibarkan oleh sesetengah pihak.

Malah rakyat dibisikkan dengan halwa telinga yang menyebabkan mereka bersikap sambil lewa. Telinga mereka didodoikan bahawa seandainya kerajaan baru tidak bagus, mereka boleh menukar kerajaan sekali lagi dalam tempoh lima tahun.

Apa tindak balas orang Melayu dalam PKR, Pas dan DAP yang seolah-olah mereka sudah dijinakkan seperti mudejar Kerajaan Kristian Sepanyol. Bagaimanakah mereka boleh menerima seorang pelopor kebebasan beragama termasuk murtad mengetuai mereka dalam demonstrasi yang menghuru-harakan negara?

Adakah nanti atas dasar sama rata, negara akan mempunyai mufti beragama Hindu, Kristian ataupun Buddha? Nampak lucu, tetapi usikan ke arah itu sudah mula berlaku.

Menghairankan lagi mudejar-mudejar ini terus melakukan apa sahaja untuk menyedapkan hati sekutu mereka. Mereka memuji Nga Kor Ming sebagai pandai membaca al-Quran tetapi musuh mereka yang beragama Islam pula dikatakan orang yang dibenci Tuhan.

Mereka sanggup menarik balik hukuman memotong rambut berlainan jantina yang sudah ada dalam kerangka undang-undang negeri selama hampir 20 tahun dalam masa dua hari setelah mendapat bantahan daripada sekutu kafir mereka. Tetapi tidak sanggup untuk menarik balik Amanat Tok Guru mereka yang jelas mempunyai unsur mengkafirkan sesetengah pihak sekalipun dirayu dan didesak selama hampir 30 tahun!

Mereka berbangga apabila Lim Guan Eng hendak menjadi Umar Abd Aziz tanpa menyedari bahawa Allah tidak akan memandang kepada bagaimana berazamnya seseorang kafir itu mencontohi kebaikan seorang mukmin melainkan si empunya badan itu melafazkan dua kalimah syahadah.

Apakah tidak sedih Umar Abd Aziz, apabila seorang yang kafir musyrik itu yang dipuja dan dipuji dan disamakan dengan beliau oleh orang yang mengaku muslim dan mukmin? Jadi, tidakkah sama nilai mereka ini dengan mudajjal?

Oleh itu, janganlah kerana digula-gulakan dengan orang lain pandai menyebut nama seorang dua khalifah Islam dan tahu barang satu dua ayat al-Quran dan hadis, kita hendak menggadaikan kuasa yang ada pada kita.

Ingatlah, orang Islam Granada dijanjikan perkara yang jauh lebih baik daripada Buku Jingga yang menjanjikan bulan dan bintang untuk memujuk mereka menyerahkan kuasa politik. Tetapi, harga yang perlu mereka bayar akhirnya adalah untuk berada di tiang-tiang salib dengan mata yang dikorek dan kaki tangan mereka dikudungkan serta akidah yang tergadai.

Sumber

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...