Wednesday 2 January 2013

Filem The Hobbit kekal box-office



LOS ANGELES - Filem The Hobbit: An Unexpected Journey menduduki tempat pertama buat kali ketiga berturut-turut selepas memperoleh kutipan tiket paling tinggi mengatasi filem lain pada hujung minggu akhir 2012 di Amerika Utara.

Menurut anggaran Studio Warner Bros, filem tersebut memperoleh kutipan tiket domestik sebanyak AS$222.7 juta (RM681.35 juta).

Ia menyatakan, filem tentang makhluk kerdil itu kini telah memperoleh kutipan tiket sebanyak AS$686.7 juta (RM2.1 bilion) di seluruh dunia.

Filem itu diarahkan Peter Jackson dari New Zealand berdasarkan novel yang dihasilkan oleh penulis terkenal British, J.R.R. Tolkien.

Tempat kedua berdasarkan jumlah kutipan tiket di Amerika Syarikat dan Kanada itu diduduki filem Django Unchained yang dibintangi Jamie Fox sebagai seorang hamba yang bertukar kerjaya sebagai pemburu untuk menangkap orang yang dikehendaki pihak berkuasa bagi mendapatkan ganjaran kewangan.

Turut berlakon dalam filem itu ialah Leonardo DiCaprio.

Filem itu memperoleh kutipan tiket sebanyak AS$30.7 juta (RM93.93 juta) di Amerika Utara.

Berada di tangga ketiga ialah filem Les Miserables dengan kutipan tiket sebanyak AS$28 juta (RM85.66 juta).

Filem itu berdasarkan novel yang dihasilkan Victor Hugo yang mengisahkan perjuangan dan kebangkitan rakyat pada abad ke-19 di Perancis.

Antara pelakon filem tersebut ialah aktor Hugh Jackman, Anne Hathaway dan Russell Crowe.

Filem itu memperoleh kutipan tiket sebanyak AS$116.2 juta (RM355.51 juta) di seluruh dunia.

Sementara itu, filem James Bond yang berjudul Skyfall telah memperoleh jumlah kutipan tiket melepasi AS$1 bilion (RM3.05 bilion) di seluruh dunia.

Filem lakonan aktor Daniel Craig sebagai perisik British, James Bond merupakan filem ketiga yang melepasi angka AS$1 bilion pada tahun lalu.

Dua lagi filem melepasi angka itu ialah The Avengers yang memperoleh kutipan tiket AS$1.51 bilion (RM4.62 bilion) dan The Dark Knight Rises yang mendapat AS$1.08 bilion (RM3.30 bilion).

- Agensi

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...