Friday, 4 January 2013

Isu Habuan 4,000 Hektar Di Kelantan - Media Jadi Kambing Hitam ?



Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham yang ibarat cacing kepanasan ekoran pembongkaran dosa besarnya bersama-sama sepupunya, Nga Kor Ming baru-baru ini, akhirnya menyalahkan media dan mengugut untuk mengambil tindakan undang-undang.

Beliau menuduh Blogger Pisau.net, Eksekutif Yayasan Bina Upaya (YBU), Mohd Jeffery Amin Abdul Hamid dan akhbar Berita Harian menfitnahnya berhubung isu habuan kawasan pembalakan kira-kira 4,000 hektar (10,526 ekar) sebagai persetujuan Datuk Seri Muhammad Nizar Jamaludin (PAS – Pasir Panjang) dilantik menjadi Menteri Besar Perak.

Beliau mengugut akan mengambil tindakan undang-undang menerusi peguamnya, Wong Kian Kheong sekiranya ketiga-tiga pihak itu tidak memohon maaf dalam tempoh tujuh hari.

Dalam sidang medianya, Ahli Parlimen Beruas itu turut mengugut akan mengambil tindakan yang sama terhadap akhbar Utusan Malaysia, TV3 dan pihak-pihak lain yang turut menyiarkan laporan berhubung isu tersebut.

Ugutannya itu menimbulkan tanda tanya dan kemusykilan kerana sebagai seorang peguam dan pemimpin parti yang sering melaung-laungkan kebebasan bersuara dan kebebasan akhbar, Koo Ham tidak sepatutnya berbuat demikian.

Bagaimanapun, kalangan pemerhati politik berpendapat, Koo Ham terpaksa mengambil langkah untuk menjadikan media sebagai kambing hitam demi untuk menyelamatkan masa depan politiknya.

Pembongkaran `dosa besarnya’ yang tercetus ketika persidangan Dewan Undangan Negeri Perak baru-baru ini dikatakan cukup membimbangkan Koo Ham dan sepupunya Kor Ming kerana telah menimbulkan rasa kurang senang di kalangan rakan-rakannya di dalam DAP.

Dalam satu mesyuarat DAP baru-baru ini, Koo Ham diberi tempoh sehingga hari ini untuk membuat keputusan mengenai kedudukannya di dalam syarikat Upayapadu Plantation Sdn. Bhd.

Kata dua itu diberi selepas kontroversi berhubung pelaburan besar yang dibuat oleh Koo Ham bersama-sama sepupunya itu mendapat projek pembalakan di Kelantan.

Ahli Parlimen Beruas itu dikatakan dikecam  hebat oleh kepimpinan parti dalam mesyuarat tersebut, yang diadakan susulan kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang mendesaknya memberi penjelasan isu berkenaan.

Sumber dalaman parti itu mendedahkan bahawa pembabitan Koo Ham dan Kor Ming dalam perniagaan adalah bertentangan dengan perjuangan DAP.

Isu tersebut telah menimbulkan kemarahan sebahagian besar ahli DAP dan ramai yang tertanya-tanya adakah memasuki DAP menjanjikan seseorang boleh menjadi `tauke’ yang kaya raya.

Sumber

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...