Thursday 3 January 2013

Kerajaan Akan Beri Penghormatan Kepada Kanang Anak Langkau



Kerajaan akan memberi penghormatan kepada pahlawan negara, Datuk Temenggong Kanang Anak Langkau yang meninggal dunia, dipercayai akibat serangan jantung pada awal pagi Khamis.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid berkata, kerajaan mengambil keputusan untuk memberi penghormatan kepada mendiang di Sarawak pada Ahad ini.

"Yang Amat Berhormat Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) telah mengarahkan saya untuk meminta pegawai-pegawai pertahanan untuk melakukan persiapan bagi penghormatan kepada mendiang.

"Kerajaan negeri (Sarawak) juga akan mengkoordinasikan majlis penghormatan ini. Kami mengenang Kanang Anak Langkau kerana jasa-jasa beliau bukan sahaja kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tetapi juga kepada negara kita ketika beliau berkhidmat sebagai salah seorang anggota tentera," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Graduasi Maktab Pertahanan Angkatan Tentera (MPAT) Malaysia Siri 32/2012 di sini, Khamis.

Kanang meninggal dunia pada usianya 65 tahun di Hospital Umum Sarawak (HUS) pada 1.45 pagi Khamis selepas mengadu sakit dada ketika menonton televisyen di kediamannya di Kampung Sungai Apong sebelum pengsan dan dikejarkan ke hospital.

Ahmad Zahid berkata, beliau mengenali Kanang secara peribadi dan merasakan kehilangan seorang teman yang merupakan seorang pahlawan negara.

Menurut Ahmad Zahid, jasa budi Kanang akan dikenang kerana mendiang berkesempatan untuk meriwayatkan perjuangan beliau menerusi beberapa wawancara dan pengkisahan.

"Saya agak terkilan kerana filem yang bertajuk 'Kanang Anak Langkau' belum sempat disiapkan. Bagaimanapun, saya akan meminta penerbit dan pengarah filem berkenaan agar menggunakan bahan-bahan penggambaran yang sedia ada untuk disiapkan bagi dipertontonkan kepada khalayak umum.

"Pengriwayatan beliau dalam bentuk wawancara, buku dan filem adalah sebagai mengenang jasa beliau dan menjadikan contoh kepada para pegawai dan anggota tentera yang lain," katanya.

Kanang dianugerahkan dengan Pingat Panglima Gagah Berani (PGB) pada 7 Jun 1987 dan Pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa (PSP) pada 3 Jun 1981 daripada Yang di-Pertuan Agong.

Ahmad Zahid berkata, setakat ini mendiang merupakan satu-satunya penerima kedua-dua anugerah terbesar negara itu.

Kanang merupakan Pengesan Jejak Iban (Iban Tracker) pada 21 April 1962 sebelum diserapkan ke Renjer Malaysia apabila Persekutuan Malaysia diisytiharkan pada 16 September 1963 dan beliau bersara dengan jawatan terakhirnya dalam ATM sebagai Pegawai Waran 1, selepas 21 tahun berkhidmat.

Antara perjuangan beliau yang menjadi kebanggaan negara apabila berani menentang komunis ketika bersama ATM dari 1962 hingga 1963.

BELASUNGKAWA

- Datuk Temenggong Kanang anak Langkau (1945 - Januari 3, 2013) ialah pahlawan dan askar Malaysia yang terkenal.

- Dilahirkan di Julau, Sarawak dan berasal daripada komuniti Dayak (Iban).

- Menyertai perkhidmatan Renjer Sarawak sebagai Pengesan Jejak Iban pada 21 April 1962.

- Diserap ke dalam Renjer Malaysia apabila Persekutuan Malaysia diisytiharkan pada 16 September 1963.

- Beliau adalah daripada Rejimen Renjer Diraja dan merupakan Sarjan Mejar Rejimen kepada 8 Renjer dalam Angkatan Tentera Malaysia.

- Bersara dari perkhidmatan pada tahun 1986 selepas 21 tahun sebagai Pegawai Waran 1.

- Dianugerahkan dengan pingat-pingat Panglima Gagah Berani dan Seri Pahlawan Gagah Perkasa oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ahmad Shah pada 3 Jun 1981.

- Kanang pernah ditembak sebanyak tiga kali tetapi terselamat dan akhirnya kembali untuk meneruskan perkhidmatannya ketika ditugaskan mencari dan memusnahkan kumpulan komunis pada 1980 di Perak.

- Hampir menemui ajal selepas peluru musuh mengenai jantung merosakkan satu buah pinggangnya, terburai usus perut dan terlantar di hospital selama 14 bulan.

- Pernah mengecam Mat Sabu yang mengangkat pengganas komunis sebagai hero tragedi Bukit Kepong.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...