Wednesday 3 April 2013

Mansuh AUKU & PTPTN Janji Populis Pembangkang


Masa untuk menggerakkan jentera parti masing-masing di Malaysia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) tidak lama lagi sedang giat direncanakan.

Mutakhir ini, pembangkang giat melaungkan agar permintaan mereka, atau menabur janji kepada rakyat khususnya mahasiswa supaya Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dan Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dimansuhkan.

Dua perkara itulah adalah perjuangan Pakatan Rakyat demi memancing undi dari golongan remaja dan mahasiswa.
Hakikatnya, janji mereka untuk memansuhkan AUKU & PTPTN hanya janji-janji populis PR tanpa memikirkan sebarang kesan teruk di kemudian hari.

Kerajaan sudah berlembut dengan mahasiswa-mahasiswa di Malaysia apabila AUKU telah dipinda pada tahun 2012 untuk membenarkan pelajar-pelajar menyertai parti-parti politik.

Itu pun, pembangkang masih lagi tidak berpuas hati dan terus berdegil mahukan AUKU dimansuhkan.
Malaysia khususnya mahu melahirkan generasi muda yang mampu berdikari, progresif dan berjaya untuk mencorakkan negara yang maju sekarang ini. Institut pengajian tinggi (IPT) memainkan peranan penting dalam melahirkan mahasiswa yang berdaya saing tinggi dan mempunyai ciri ideal seorang mahasiswa.
Namun, kelahiran mahasiswa yang terlalu kritis ini kadang kala mencabar sistem pendidikan negara kerana golongan pelajar ini berani tampil ke depan untuk memberi kritikan dan hujah terbuka untuk memperjuangkan isu politik yang mereka rasakan betul dari pandangan mereka sendiri.

Inilah tujuan pembangkang dalam mempertahankan janji populis mereka mahukan AUKU dimansuhkan secara total. Mewujudkan rasa memberontak dan sikap mahasiswa yang bersifat terlalu ekstrim dalam perjuangkan pandangan dan idea yang mereka tidak ketahui benar atau tidak.
Persoalannya ialah adakah dengan pindaan atau pemansuhan AUKU ini masih lagi mampu melahirkan mahasiswa yang kritis dan terbuka dalam memberikan pandangan?
AUKU pada hakikatnya bertujuan untuk melahirkan golongan akademik yang terdiri daripada pensyarah mahupun mahasiswa agar dapat menguasai kemahiran intelektual secara total dan berdaya saing pada peringkat lokal mahupun antarabangsa. Pemansuhan atau pemindaan AUKU sering diperlihatkan lebih berbentuk memberi kebebasan mahasiswa untuk aktif dalam politik.
Pembabitan mahasiswa dalam politik secara aktif boleh mendatangkan kebaikan dan kelemahannya tersendiri. Seperti yang termaktub di dalam AUKU, mahasiswa dilarang terbabit secara aktif dalam politik tanah air.

Mahasiswa dilarang menjadi ahli mana-mana parti politik, sama ada di dalam mahupun di luar negara. Namun, mereka tidak dihalang untuk menjalankan tanggungjawab seperti mengundi bagi mereka yang telah layak mengundi. Peraturan ini diperkenalkan bertujuan agar golongan mahasiswa boleh membentuk jati diri yang berwibawa dengan identiti tersendiri tanpa terikat oleh peraturan politik kepartian di dalam kampus.

Namun, persoalan seterusnya yang perlu dijawab sebelum mahasiswa terbabit secara aktif dalam politik ialah adakah mahasiswa kritis ini mampu menilai keseluruhan maklumat sebelum menyertai mana-mana parti politik secara aktif?
Sekali lagi, inilah tujuan pembangkang mahukan AUKU dimansuhkan agar mereka dapat meracuni pemikiran mahasiswa keseluruhannya agar menolak setiap perancangan dan usaha untuk membantu mahasiswa dalam bidang akdemik. Walhal, sudah terlalu banyak bantuan yang kerajaan taburkan buat mahasiswa.

Pembangkang pastinya akan mendedahkan maklumat yang tidak lengkap apatah lagi menipu kepada mahasiswa agar mempengaruhi mahasiswa dalam membuat keputusan yang penuh dengan emosi dan seterusnya percaya kepada setiap butir biacara Pakatan Rakyat. Hakikatnya, Mahasiswa kritis tidak boleh dipengaruhi oleh emosi semata-mata tanpa memberi pertimbangan kepada fakta yang nyata dalam membuat sebarang keputusan.

Janji pembangkang mahukan PTPTN dimansuhkan adalah satu janji yang mustahil untuk PR lakukan. Ini kerana, tindakan pembangkang memberikan janji itu juga tidak memikirkan kesan buat golongan muda yang ingin menyambung pendidikan di peringkat universiti.
Secara jelasnya, janji untuk memansuhkan PTPTN adalah isu ‘bidang terjun’ pembangkang yang sudah kering modal mahu menawan hati mahasiswa.

Bila sudah tenggelam punca dan menggelabah kerana kehabisan isu maka apa sahaja yang terlintas dijadikan bahan untuk dipolitikkan. Isu PTPTN dibangkitkan supaya rakyat marah pada kerajaan, kononnya mereka akan hapus, padahal dalam ‘kitab Jingga 13′ yang jadi panduan mereka tidak pula tertulis soal cadangan penghapusannya.

Usaha untuk hapuskan PTPTN adalah hipokrasi dan pembohongan malah ianya bertentangan dengan agenda yang tertulis dalam Kitab Jingga 13 mereka.

Malah, janji mansuh PTPTN juga adalah sandiwara meleret yang dibawa oleh PR dan jelas menunjukkan kepincangan pemikiran pemimpin-pemimpin tertinggi PR. Jika pakatan pembangkang berkuasa sekalipun, tidak mungkin mereka akan memansuhkan skim pinjaman tersebut yang memberi bantuan dan kemudahan kepada para pelajar.
Percayalah, dua perkara ini yang akan parti pembangkang mainkan dalam saat-saat terdesak mereka untuk menang dalam PRU13 ini.

Mykmu.net

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...