Friday 4 January 2013

Cuepacs mahu staf kontrak dilantik semula



Cuepacs meminta majikan mematuhi pekeliling Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) supaya pekerja kontrak di agensi kerajaan disambung semula perkhidmatan mereka sehingga akhir tahun ini.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, ketika ini seramai 300 pekerja kontrak Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Semenanjung dan 88 di Sarawak ditamatkan kontrak berkuat kuasa 31 Disember lalu dan mereka tidak dilantik semula seperti arahan pekeliling SPA pada November lepas.

"Penamatan perkhidmatan tidak sepatutnya berlaku memandangkan jabatan lain seperti Perbendaharaan telah mengikuti pekeliling dengan menyambungkan kontrak pekerja-pekerjanya sehingga akhir tahun ini (31 Dis 2013)," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

"Sekarang susah mahu mencari pekerjaan. Jika memberhentikan kontrak mereka maka masalah pengangguran semakin serius akan berlaku di negara ini.

"Jabatan yang enggan mengikut arahan pekeliling itu memberi alasan kekurangan bajet untuk melantik semula pekerja kontrak," katanya.

Justeru, Omar meminta pekerja yang tidak disambungkan kontrak agar melaporkannya kepada Cuepacs supaya perkara itu boleh dimaklumkan kepada Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa.

Cuepacs juga mahukan supaya pelaksanaan Sistem Maklumat Pengurusan Sumber Manusia (HRMIS) dikaji semula memandangkan timbul pelbagai kesulitan termasuk masalah permohonan cuti dalam talian.

Beliau mencadangkan supaya sistem itu ditukarkan kepada sistem manual bagi memudahkan penjawat awam melaksanakan pelbagai urusan pentadbiran yang melibatkan HRMIS.

Omar turut meminta kerajaan mengkaji semula waktu kerja petugas di 1Malaysia Call Centre yang beroperasi 24 jam di Putrajaya dengan mencadangkan pegawai yang sudah berkeluarga, bekerja pada waktu siang manakala mereka yang bujang, bekerja pada syif malam.

Selain itu, beliau juga menyarankan penambahan 100,000 penjawat awam di seluruh negara khususnya dalam bidang khidmat pelanggan.

"Cuepacs juga tidak bersetuju dengan cadangan SPA baru-baru ini untuk mengurangkan 10 peratus penjawat awam pada masa akan datang," katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...