Thursday, 3 January 2013

Rakyat Selangor jangan Harap Khalid Gagap



Rakyat di negeri ini diingatkan supaya tidak lagi meletakkan harapan kepada pakatan pembangkang untuk menerajui sebuah kerajaan yang dapat menjamin masa depan mereka ke arah yang lebih baik.

Pengerusi Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS), Hamidzun Khairuddin berkata, meletakkan harapan kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas sebenarnya tidak akan membawa apa-apa perubahan untuk rakyat kerana ketiga-tiga parti itu hanya lebih mementingkan soal politik daripada membela nasib rakyat.

Beliau berkata, keadaan itu jelas dapat dilihat apabila ketiga-tiga parti berkenaan gagal melaksanakan janji mereka walaupun telah mentadbir Selangor sejak 2008 selain gagal menjaga kebajikan rakyat.

''Sejak 2008 hingga masuk tahun baru 2013, kita dapat melihat timbulnya pelbagai rungutan serta rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat yang bangkit menuntut kerajaan negeri menunaikan janji kebajikan yang dibuat sebelum ini melibatkan golongan peniaga, ibu tunggal dan golongan muda.

''Begitu juga dalam soal asas kehidupan rakyat seperti bekalan air bersih yang sehingga kini tidak dapat diselesaikan oleh kerajaan negeri. Malah, kerajaan negeri pimpinan pakatan pembangkang juga terpalit dengan pelbagai dakwaan salah laku seperti isu Talam, isu asrama Yayasan Selangor dan isu kerugian Universiti Selangor (Unisel).

''Sebagai rakyat Selangor yang inginkan masa depan yang terbaik, maka seharusnya kita bersama-sama menolak pakatan pembangkang daripada memegang tampuk pemerintahan negara dan negeri ini. Tiada makna menyokong parti yang hanya tahu berjanji tetapi tidak melaksanakannya untuk manfaat rakyat, negeri dan negara," katanya.

Pengerusi Sekretariat Orang Muda Selangor (Serang), Budiman Mohd. Zohdi pula menegaskan, pakatan pembangkang telah melakukan satu 'penipuan terbesar' kepada rakyat negeri apabila sebelum ini menyatakan manifesto kebajikan yang dibuat pada pilihan raya umum lalu sebagai 'bukan perjanjian'.

Selain penipuan tersebut katanya, rakyat Selangor turut berdepan dengan pelbagai kesulitan di bawah pentadbiran PKR, DAP dan Pas yang bukan hanya melibatkan kebajikan mereka semata-mata tetapi juga dari segi kenaikan kos seperti perumahan yang melambung tinggi.

''Di mana janji kerajaan negeri untuk menyediakan kehidupan yang selesa kepada rakyat, malah hak kebajikan mereka turut dinafikan," katanya yang turut meminta seluruh rakyat di negeri ini meletakkan kepercayaan dan memilih Barisan Nasional (BN) sebagai parti yang mampu dan terbukti melaksanakan perubahan untuk rakyat.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika meraikan sambutan tahun 2013 sempena Karnival Sayangi Selangor 2012 di i-City di sini menyeru seluruh rakyat khususnya di Selangor supaya bersama-sama BN melakukan perubahan ke arah masa depan yang lebih baik.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...