Friday 4 January 2013

AMARAN POLIS: Wang Palsu Berleluasa



MIRI: Polis pada Khamis meminta orang ramai di bandar raya ini berhati-hati agar tidak menjadi mangsa pengedaran wang kertas palsu RM100 di sini berikutan tiga laporan yang dibuat mengenainya, termasuk oleh sebuah bank.

Ketua Polis Miri ACP Mun Kock Keong berkata dua laporan lagi dibuat dua individu yang menyedari kewujudan wang kertas palsu itu apabila mereka mendapati kertasnya tidak berkualiti dan tidak mempunyai ciri-ciri keselamatan.

"Siasatan awal kami mendapati ketiga-tiga wang kertas palsu ini menggunakan nombor siri sama, AA7825588," katanya kepada pemberita di sini.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati apabila diberi wang kertas RM100 baharu.

"Mereka boleh memeriksa kualiti kertasnya melalui sentuhan kerana wang kertas baharu tidak akan mudah berkedut berbanding wang palsu yang menggunakan kertas tidak berkualiti. Sekiranya tidak pasti, rujuklah kepada pejabat Bank Negara terdekat," katanya.

Sementara itu, beliau berkata polis sedang mencari pemilik sebuah kereta Proton Perdana untuk membantu siastan berhubung kematian seorang pemuda bernama Abdul Harris Zainal, 22, pada awal pagi hari pertama 2013.

"Kami percaya ini adalah kes langgar lari," katanya bagi mengulas laporan media tempatan bahawa Abdul Harris meninggal dunia akibat dipukul satu kumpulan di sebuah pusat komersial di sini.

"Berdasarkan laporan saksi, mangsa dilanggar kereta berkenaan. Kami sedang menyiasat sama ada kejadian itu disengajakan atau memang suatu kemalangan," katanya.

Mun menasihati media tempatan supaya mendapat pengesahan daripada beliau terlebih dahulu sebelum menyiarkan sesuatu berita jenayah kerana laporan berdasarkan spekulasi boleh menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat.

"Bandar Raya Miri adalah antara pusat pelancongan di Sarawak. Jika berita seperti ini disiarkan, ia sudah tentu menjejaskan imej bandar raya ini, walaupun berita itu tidak tepat," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...