Sunday 30 December 2012

SPRM: TRANSFORMASI KETELUSAN DAN AKAUNTABILITI



Panel Penilaian Operasi (PPO) merupakan salah satu daripada lima mekanisme yang bertindak sebagai 'check and balance' terhadap perjalanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam melaksanakan fungsi dan peranannya. Penubuhan panel ini merupakan transformasi dalam SPRM yang dapat membuktikan ketelusan dan akauntabiliti dalam keseluruhan perjalanan SPRM.

Apakah fungsi sebenar PPO yang memperlihatkan panel ini mampu menterjemahkan mekanisme ‘check and balance’ terhadap SPRM?

PPO diwujudkan secara pentadbiran dan ahlinya dilantik oleh Perdana Menteri. Ahli PPO terdiri daripada kalangan yang mempunyai kepakaran, mewakili badan-badan profesional serta individu yang berupaya memperlihatkan ketelusan dan kebebasan tindakan oleh SPRM.

PPO adalah mekanisme ‘check and balance’ terhadap kes penyiasatan yang dijalankan dan sebab sesuatu kes diperakukan untuk didakwa atau ditutup.

PPO juga boleh mencadangkan kes dikaji semula sekiranya tidak berpuas hati dengan penjelasan yang dikemukakan oleh SPRM.


Apakah terma rujukan PPO?

PPO mempunyai beberapa peranan penting dalam merealisasikan mekanisme ‘check and balance’ itu dapat diterjemahkan.

Bidang tugas PPO itu sendiri dapat menggambarkan kita bebas dalam membuat sebarang keputusan tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak.

Peranan PPO adalah:

1. Menerima dan mendapatkan penjelasan berhubung perangkaan kertas siasatan yang dibuka oleh SPRM

2. Menerima dan meneliti laporan daripada SPRM berhubung semua kes di mana orang yang ditangkap, dilepaskan dengan jaminan oleh SPRM melebihi enam bulan

3. Menerima dan meneliti laporan daripada SPRM berhubung keputusan kertas siasatan yang dibuat oleh pendakwa raya

4. Menerima dan meneliti laporan daripada SPRM berhubung kertas siasatan yang dikemukakan kepada pendakwa raya dan tidak mendapat apaapa keputusan selepas tempoh melebihi enam bulan ke atas

5. Memberi pendapat berhubung tindakan-tindakan ke atas kes-kes yang diputuskan untuk tidak dituduh

6. Menasihat dan membantu SPRM ke arah keberkesanan operasi siasatan SPRM

7.Meneliti, mengkaji dan memperakukan kepada Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah berhubung cadangan untuk meningkatkan keberkesanan operasi siasatan SPRM

8. Mengemukakan laporan tahunan dan ulasan kepada Perdana Menteri berhubung dengan perjalanan operasi siasatan oleh SPRM.


Melalui peranan dan fungsi PPO, mampukah panel ini mengangkis persepsi negatif orang ramai terhadap SPRM?

Persepsi sama ada negatif mahupun positif perlu ditangani dengan bijak oleh SPRM. Persepsi ini tidak boleh dikikis dengan hanya duduk sambil bergoyang kaki.

Setelah diperhatikan, terdapat tiga persepsi orang awam terhadap SPRM iaitu:

Persepsi orang ramai masih beranggapan bahawa tugas mencegah rasuah itu hanya terletak di bahu SPRM.

Persepsi ini harus dikikis dalam diri semua individu. Ia perlu diperbetulkan.

Tanggungjawab menangani rasuah tertelak di bahu semua pihak.

Kerajaan, rakyat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu berganding bahu serta memainkan peranan dalam semua aspek membanteras rasuah.

'SPRM hanya tangkap ikan kecil'

Persepsi ini sukar ditangkis. Persepsi seperti ini akan hilang apabila kes 'high profile' yang disiasat dituduh di mahkamah.

Persepsi semua kes jenayah turut dianggap rasuah.

Jika diteliti, persepsi ini merupakan persepsi positif terhadap SPRM. Ini menunjukkan ada kepercayaan dalam diri masyarakat supaya SPRM menyiasat aduan tersebut.

Bagaimanapun, semua pihak perlu tahu SPRM hanya menyiasat laporan yang merangkumi bidang tugas SPRM.

Persepsi ini perlu dikekalkan dalam SPRM sama seperti persepsi orang ramai terhadap Bank Negara yang dilihat tegas dalam semua aspek.

Saya cadangkan supaya SPRM bukan hanya mengekalkan perspektif ini tetapi turut meningkatkan kualiti penyiasatan.

Ia bertujuan untuk mempertingkatkan lagi kepercayaan masyarakat.


Ada segelintir pihak masih beranggapan bahawa SPRM ini menerima arahan daripada ‘orang atas’ atau wujudnya ‘tangan-tangan ghaib’. Apakah pandangan Tan Sri berkenaan isu ini?

Lima mekanisme yang diwujudkan bertanggungjawab bertindak sebagai 'check and balance' terhadap perjalanan SPRM dalam melaksanakan fungsi dan peranannya.

Kelima-lima badan khas ini mengandungi ahlinya terdiri dari kalangan mereka yang profesional dan pakar dalam bidang masing masing serta bebas dan diwujudkan bertujuan untuk memastikan ketelusan dan akauntabiliti dalam keseluruhan perjalanan SPRM.

Mekanisme ini akan dapat membantu memenuhi harapan masyarakat terhadap kebebasan, kecekapan, keberkesanan, ketelusan dan akauntabiliti SPRM dalam pelaksanaan kewajipan undang-undang yang ditetapkan.

SPRM menerima arahan daripada ‘orang luar’ itu hanya dakwaan. Melalui badan khas ini, kami berusaha untuk menangkis dakwaan tersebut.


Ada juga situasi di mana apabila sesuatu laporan dibuat, ada yang mengatakan SPRM tidak membuat siasatan. Bagaimana mereka boleh tahu SPRM tidak membuat siasatan?

Bidang siasatan adalah tugas SPRM dan mereka berhak untuk membuat penyiasatan.

Kita tidak mahu masyarakat memaksa SPRM membuat siasatan. Biarkan SPRM membuat penyiasatan terhadap laporan tersebut dan jika diganggu, mungkin mendatangkan masalah kepada SPRM.

Sebagai contoh, semua perkara di negara ini dipolitikkan termasuk rasuah.

Sekiranya orang 'high profile' masuk bangunan SPRM sekalipun, masyarakat beranggapan orang itu bersalah dan terlibat dengan rasuah.

Walhal orang itu mungkin menyalurkan maklumat untuk membantu SPRM menjalankan siasatan.


Bagaimana dengan laporan rasuah yang diterima oleh SPRM?

Secara kasarnya SPRM menerima hampir 12,000 laporan namun tidak semuanya melibatkan kes rasuah.

Daripada jumlah tersebut, 50 peratus laporan yang diterima tidak melibatkan gejala rasuah.

30 peratus pula melibatkan surat layang dan selebihnya merupakan kes rasuah yang sebenar.

Surat layang yang diterima juga ‘dilayan’ SPRM tetapi ianya diletakkan mengikut keutamaan terakhir.

Dari segi penyiasatan, beban kerja pegawai SPRM adalah tinggi di mana bilangan pegawai SPRM hanya dalam lingkungan 400.

Saya menyarankan kepada SPRM supaya membuka kertas siasatan yang mempunyai kualiti.

Ini bukan bermaksud memilih laporan yang dibuat tetapi memberi keutamaan kepada siasatan yang memperlihatkan keberkesanan pasukan penyiasat.

Jika dilihat istilah kes 'high profile' dan 'low profile', SPRM perlu adil dengan kedua-dua individu tersebut.

Mereka akan didapati bersalah sekiranya dijatuhi hukuman di mahkamah. Kita tidak boleh menghukum mereka sebelum diputuskan oleh mahkamah. Setiap orang mempunyai hak untuk membela diri.


Bagaimana pula dengan kes siasatan yang ditutup oleh SPRM?

Masalah utama kes itu ditutup adalah disebabkan oleh ketiadaan saksi. Ada juga kes di mana saksi tidak konsisten dan menukar keterangan, berbeza sewaktu siasatan dilakukan.

Bagaimanapun ada juga kes yang  ditutup merupakan kes tohmahan. Pada masa ini, kita bercadang agar orang yang membuat tohmahan itu boleh dituduh di mahkamah.

Pegawai penyiasat akan menyiasat laporan yang dibuat termasuk membuat risikan terhadap individu yang membuat laporan itu.

Jika benar, kes yang dilaporkan akan dibawa ke mahkamah namun jika ia merupakan tohmahan, individu yang membuat laporan itu akan berdepan dengan undang-undang.

Ini sedikit sebanyak menyedarkan orang ramai supaya tidak melakukan jenayah atau tohmahan yang boleh mendatangkan keburukan kepada orang lain.


Apakah pandangan Tan Sri berkaitan kes yang ditutup boleh mendatangkan persepsi SPRM tidak menjalankan tugas dengan berkesan.

Persepsi sedemikian sukar untuk ditangkis. SPRM perlu mempertingkatkan peranan mereka supaya akan dipandang tinggi oleh masyarakat secara amnya.

Pegawai penyiasat juga perlu diberi pendedahan yang berguna supaya mereka dapat memastikan siasatan yang dilakukan dapat dibawa ke mahkamah sekali gus si pelaku dijatuhi hukuman.

SPRM juga disarankan supaya menubuhkan Suruhanjaya Perlantikan yang boleh memberi kuasa kepada mereka supaya memilih calon pegawai penyiasat yang berkualiti dan mempunyai kemahiran dalam sesuatu bidang. Ini dapat menaikkan imej SPRM itu sendiri.

14 mahkamah rasuah di seluruh negara juga dapat memastikan pertuduhan dapat dijalankan dengan sempurna.

Peguam Negara juga berjanji akan menyediakan 32 pendakwa raya yang berkualiti buat SPRM bagi membantu tugas di mahkamah.

Sumber

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...