Sunday, 24 February 2013

Pakatan Pembangkang Tak Usah Risau, Undi Kan Rahsia


Apabila disebut sahaja PRU13, sudah pasti orang akan mengaitkannya dengan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR). Baru-baru ini heboh diperkatakan tentang ketidaktelusan SPR yang sangat ketara apabila ramai bakal pengundi didaftarkan di luar pengetahuan mereka.

Sebenarnya, perkara ini tidaklah menjadi isu yang besar. Pendaftaran tidak boleh dilakukan secara atas talian. Bakal pengundi harus ke mana-mana pejabat SPR dengan membawa MyKad untuk membuat pendaftaran. Apabila seseorang itu sudah didaftarkan sebagai pemilih oleh wakil pendaftar, bukankah itu sudah banyak membantu seseorang bakal pengundi? Bukankah lebih menjimatkan masa dan tenaga  jika seseorang itu tidak perlu bersusah-payah mengambil cuti untuk pergi mendaftar di mana-mana pejabat SPR?

Tidak ada apa yang perlu dirisaukan oleh bakal pengundi yang telah didaftarkan tanpa pengetahuan mereka. Alamat tempat mengundi mengikut alamat berdaftar. Pendaftaran juga dilakukan menggunakan MyKad dan di situ sudah tercatat alamat berdaftar seseorang bakal pengundi.

Undi juga adalah rahsia. Tidak kira seseorang pengundi itu didaftarkan oleh wakil daripada parti mana sekalipun, atau dibayar untuk mengundi oleh siapa sekalipun, undi adalah rahsia. Hanya si pengundi sahaja yang tahu apa yang dipangkah ketika berada di tempat membuang undi.

Tidak timbul isu SPR tidak telus mendaftarkan seseorang pengundi tanpa pengetahuan. Tanggungjawab seorang rakyat adalah untuk keluar mengundi bagi menentukan kerajaan yang layak mentadbir negara. Mengikut statistik, sehingga hujung tahun lepas, masih ramai terutama bumiputera yang belum mendaftar sebagai pemilih.

Justeru, dengan adanya wakil-wakil yang mendaftarkan para pemilih ini, sekurang-kurangnya SPR telah menjalankan tanggungjawab sosial membantu rakyat yang tiada masa untuk pergi mendaftar. Kini, tinggal rakyat sahaja yang harus menjalankan tanggungjawab mereka untuk keluar membuang undi.

Jika sebelum ini beberapa siri himpunan Bersih diadakan kononnya untuk menuntut pilihanraya yang adil, ketelusan SPR dalam menjalankan tugas dipersoalkan lebih kerap oleh Pakatan Pembangkang sejak akhir-akhir ini. Bukan sahaja SPR, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) turut diheret sama dalam kemelut ini.

Isu pemberian MyKad kepada pendatang asing dengan mudah oleh JPN turut dibangkitkan oleh Pakatan Pembangkang. Apatah lagi ada kes-kes terpencil di mana kaum India yang kononnya warganegara tetapi tidak mempunyai sebarang dokumen hendak memohon MyKad tidak mendapat perhatian oleh JPN. Isu inilah yang diperbesarkan oleh Pakatan Pembangkang terutama di Selangor yang diketahui sangat dibimbangi akan dirampas semula oleh Barisan Nasional.

Undi itu rahsia. Rakyat pandai menilai. Rakyat tahu hendak memilih parti mana yang sesuai dan layak untuk membentuk kerajaan. Kekuatan sesebuah parti adalah daripada sikap tanggungjawabnya kepada rakyat dan itulah yang paling diutamakan oleh rakyat.

Jika Pakatan Pembangkang melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang diberi oleh rakyat dengan setulusnya, tidak perlu risau, undi yang rahsia itu pasti menjadi milik mereka. Namun, dek kerana Barisan Nasional lebih banyak menjalankan tanggungjawab terhadap rakyat, jangan terkejut jika PRU13 nanti, Selangor kembali ke bawah pemerintahan Barisan Nasional.

Suara Generasi Baru

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...