Friday, 1 March 2013

Tiada Halangan Wartawan Luar Negara Buat Liputan PRU



Tidak ada halangan bagi wartawan dari luar negara untuk membuat liputan pilihan raya umum ke-13, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata bagaimanapun jika mereka datang dengan tujuan politik, pihak berkuasa tidak dapat melayan permohonan mereka keseluruhannya.

"Kita tidak ada halangan, malah wakil Reuters, CNN, CNBC, New York Times dan Herald Tribune, semua ini memang ada wakil mereka di sini dan saya tidak nampak kenapa lawatan mereka jika dirancang perlu ditolak. Kementerian akan bekerjasama dengan mereka.

"Setakat ini tidak ada wartawan yang diusir atau disuruh keluar dari negara ini kecuali seorang senator dari Australia baru-baru ini, tetapi itu bab lain, tidak berhubung dengan wartawan," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) Dewan Undangan Negeri Lui peringkat Parlimen Jelebu di padang Felda Lui Muda dekat sini Khamis.

Rais yang juga anggota Parlimen Jelebu berkata wartawan tidak perlu mempunyai satu visa khas wartawan atau penulisan, tetapi jika mereka melanggar undang-undang negara ini, mereka akan dikenakan tindakan.

Beliau berkata setakat ini tidak ada permohonan daripada wartawan luar negara untuk membuat liputan pilihan raya umum ke-13.

"Kalau mereka memohon untuk datang sebagai pelawat, kami tidak ada halangan bagi mereka berbuat demikian tetapi sekiranya mereka datang dengan tujuan politik tentu sekali pihak berkuasa tidak dapat melayani permohonan mereka keseluruhannya.

"Setakat ini tidak ada kontroversi pun, tetapi kalau dengan niat yang jahat atau pun menghuru-harakan negara atau merancang untuk menggulingkan kerajaan, tentu sekali mereka tidak dapat diterima," katanya.

Rais berkata terserah kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menentukan jenis liputan yang wajar diberi kepada wartawan luar negara.

"Memang dalam keadaan sekarang mereka menulis dalam keadaan yang 'menyebelah' kepada pihak-pihak tertentu dengan tujuan antarabangsa tertentu.

"Oleh yang demikian, kita di negara ini harus bersikap adil juga. Tetapi dalam pada itu berhati-hati untuk melihat tujuan, niat dan juga perbuatan mereka," katanya. - BERNAMA

1 comment:

  1. BLOG ANDA TERPILIH BERADA DI CARTA 1999 KEATAS
    LIHAT DI-http://linkblog2013.blogspot.com/

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...