Tuesday, 26 February 2013

Peruntukan RM28 Juta Bantu Peladang Dan Penternak



Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Isnin mengumumkan peruntukan berjumlah RM28 juta sebagai sumbangan one-off iaitu sekali sahaja bagi membantu golongan peladang dan penternak di negara ini.

Berita gembira itu diumumkan Perdana Menteri sempena perasmian Menara LPP dan sambutan 40 tahun Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) di sini, Isnin.

Peruntukan itu merupakan respons segera Najib sebagai memenuhi permintaan warga peladang dan penternak yang sebelum ini disifatkan 'tertinggal' berbanding warga petani dan nelayan yang menerima imbuhan seperti yang diumumkan oleh kerajaan.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan pemberian bantuan kepada golongan nelayan termasuk bantuan sara hidup RM200 sebulan yang memanfaatkan 55,000 nelayan berdaftar.

Bagi membantu para petani pula, kerajaan meneruskan pemberian subsidi dan insentif pertanian sedia ada berjumlah RM2.4 bilion, selain buat julung kalinya, memperkenalkan Skim Perlindungan Takaful Padi.

Perkara itu disuarakan Pengerusi LPP Datuk Zainal Dahalan dalam ucapannya yang meminta insentif turut diberikan kepada golongan peladang dan penternak yang berjumlah 800,000 orang di seluruh negara.

Turut hadir Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar.

Peruntukan itu dijangka disalurkan sebagai insentif kepada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) antaranya untuk merangkumi pembiayaan baja kimia, tong sawit, tong racun dan alat penyembur racun yang dianggar berjumlah RM20 juta.

Bakinya adalah bagi membiayai kursus-kursus lanjutan dan program untuk Kumpulan Kor Tani.Kumpulan Kor Tani yang ditubuhkan pada April 2011 sebagai kumpulan pewaris peladang dan penternak di negara ini kini mempunyai 6,000 peserta.

Terdahulu, Najib berkata kerajaan tidak pernah mengabaikan sektor pertanian kerana ia merupakan satu daripada sektor penting yang tidak boleh dibiarkan tanpa sebarang suntikan.

Malah, katanya di dalam Belanjawan 2013, sejumlah RM5.8 bilion disalurkan sebagai insentif untuk peladang, penternak dan nelayan untuk meningkatkan lagi keupayaan sektor berkenaan.

"Sektor pertanian harus menjadi sektor yang hidup dan tidak dilihat sebagai layu, jauh lagi mundur.

"Tetapi harus ada usaha untuk menjadikan sektor itu sebagai sektor yang moden dan dinamik yang harus menyumbang kepada pencapaian matlamat kita untuk menjadi negara maju berpendapatan tinggi," katanya.

Najib berkata sektor pertanian tidak akan maju tanpa modal insan yang berkualiti, yang mempunyai minda terbuka untuk mencari ilmu baharu dan mampu menggunakan kaedah inovasi untuk mencapai daya pengeluaran dan produktiviti yang lebih tinggi.

"Apabila kita ada idea-idea baharu, akan mendekatkan petani dengan pasaran, kalau ada masalah logistik, orang tengah, atau pengangkutan, akan dapat diselesaikan dengan lebih baik dan menguntungkan golongan tersebut," katanya.

Mengambil contoh penubuhan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) dan projek penanaman rock melon secara autopot dilaksanakan di kawasan lapang di Seri Perdana sebagai transformasi idea baharu, Najib berkata, projek seumpama itu bukan sahaja terbukti membawa pulangan besar kepada warga petani, tetapi juga mampu menjadikan Dasar Agro Makanan Negara lebih berjaya.

"Projek tanaman rock melon di Seri Perdana seluas enam ekar, menggunakan sistem autopot telah mendapat pulangan RM500,000 setahun, yang mana keuntungannya kita dermakan kepada badan-badan kebajikan.

"Ini bukan satu cerita khayalan, kalau di Seri Perdana boleh dapat kenapa tempat lain tidak boleh," katanya.

Dalam pada itu Najib berkata, perasmian Menara LPP itu diharap dapat menyuntik semangat dan budaya kerja baharu bagi warganya selain mampu mencetuskan pengisian idea-idea baharu bagi melonjakkan agensi itu selaras perkembangan semasa.

Menara LPP setinggi sebelas tingkat mula dibina pada 2008 dan siap sepenuhnya pada 2011.

Ia menempatkan ibu pejabat LPP dan mempunyai kemudahan asas yang lengkap dan turut berfungsi sebagai pusat informasi dan pentadbiran.

Antara kemudahan yang disediakan termasuk Dewan Serbaguna, perpustakaan , bilik pameran, bilik latihan dan pusat jagaan kanak-kanak. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...