Showing posts with label BN. Show all posts
Showing posts with label BN. Show all posts

Wednesday, 3 April 2013

UCAPAN PEMBUBARAN PARLIMEN KE-12


BERIKUT ialah teks ucapan penuh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai pembubaran Parlimen Malaysia ke-12 pada Rabu.
Bismillahirahmanirahim,
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1 Malaysia.
Rakyat Malaysia yang dikasihi,
1. Pertama-tamanya marilah kita memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan rahmatnya saya, Timbalan Perdana Menteri dan anggota jemaah menteri dapat bersama-sama secara langsung dengan Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian pada pagi ini.
2. Saya ingin memaklumkan kepada rakyat Malaysia bahawa pada pagi ini saya telah pun menghadap Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong dan menyembah warkah kepada Baginda memohon perkenan supaya Parlimen ke-12 dibubarkan pada hari ini Rabu, 3 April 2013. Sehubungan dengan itu selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan baginda telah pun memperkenankan bagi Parlimen Ke-12 dibubarkan berkuat kuasa hari ini.
3. Sehubungan dengan itu saya menasihatkan kepada ketua-ketua kerajaan negeri yang berkenaan untuk menghadap Ketua-ketua Negeri mereka bagi mendapat perkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri masing-masing agar pilihan raya umum dapat diselaraskan secara serentak di seluruh negara.
Rakyat Malaysia yang dikasihi,
4. Hari ini, 4 tahun yang lalu, pada tanggal 3 April 2009, saya telah pun mengangkat sumpah untuk memikul amanah serta tanggungjawab sebagai Perdana Menteri negara Malaysia yang tercinta. Dalam tempoh tersebut saya bersama-sama Timbalan Perdana Menteri, anggota Jemaah Menteri dan anggota-anggota pentadbiran yang lain telah dengan segala ikhtiar serta upaya mencetus dan melaksanakan perubahan dan pembaharuan berpaksikan kepada Falsafah 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan serta dipandu oleh Dasar Transformasi Nasional.
5. Dalam tempoh empat tahun yang lepas rakyat Malaysia telah dapat mengalami dan menyaksikan sendiri bagaimana fasa perancangan Prakarsa Transformasi Nasional yang melibatkan Program Transformasi Kerajaan, Ekonomi, Politik dan Sosial telah dilaksanakan seterusnya membuahkan hasil dalam meningkatkan kesejahteraan hidup mereka dan kemakmuran negara.
6. Kerajaan yang ada pada hari ini ialah kerajaan yang bertanggungjawab, kerajaan ini ialah kerajaan yang meletakkan kepentingan tuan-tuan dan puan-puan rakyat Malaysia di atas segala-galanya. Kami merupakan kerajaan yang apabila berjanji menepati janji, kami merupakan kerajaan yang apabila diberi amanah akan menjunjung dan memeliharanya. Bukan sikap kami menanam tebu di bibir. Sesungguhnya bukti komitmen kami mampu dinilai serta diukur daripada prestasi dan “Track record” kami sepanjang empat tahun yang lalu.
Rakyat Malaysia yang dikasihi,
7. Pembubaran ini akan membuka laluan kepada bermulanya proses pilihan raya umum bagi kali yang ketiga belas untuk negara semenjak tahun 1959 iaitu apabila kita mula mengadakan pilihan raya umum pertama pasca merdeka.
8. Malaysia ialah sebuah negara yang mengamalkan sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan sebagai asas pemerintahan. Kuasa mutlak untuk memilih kerajaan berada di tangan rakyat.
9. Sejarah telah menunjukkan bahawa kebugaran demokrasi Malaysia telah berjaya menyediakan asas yang subur untuk kestabilan dan kemakmuran nasional yang telah dinikmati warganegara ini selama lebih lima dekad.
10. Amalan demokrasi di Malaysia kekal dan berjaya kerana walaupun bersifat sengit dan amat berdaya saing namun pada akhirnya ia berjaya kerana semua pihak menghormati proses dan keputusannya.
11. Saya ingin menyeru agar tradisi ini diteruskan demi kesejahteraan rakyat dan kestabilan nasional. Semua parti politik yang memilih untuk terlibat di dalam proses pilihan raya kali ini perlulah bertanggungjawab. Janganlah kerana tidak yakin dengan sokongan rakyat terhadap parti masing-masing maka ada pihak yang cuba menyemai racun syak wasangka dan seterusnya merosakkan kepercayaan kepada integriti proses pilihan raya yang bakal diadakan.
12. Insaflah dan ambillah iktibar dari apa yang telah berlaku di negara-negara lain di mana taktik ini telah cuba diguna pakai. Kesan akhirnya proses dan keputusan pilihan raya di negara-negara tersebut tidak lagi diyakini dan mana-mana kerajaan yang dipilih termasuk dari parti yang mengamalkan taktik tersebut telah ditolak rakyat. Negara akhirnya menjadi tidak stabil, pelabur hilang keyakinan, kemakmuran nasional merudum dan akhirnya rakyat menderita.
13. Sejarah selama ini telah membuktikan bahawa di Malaysia semenjak merdeka lagi proses pilihan raya yang diadakan bersifat berwibawa, adil dan telus. Kerajaan yang telah dipilih hasil pilihan raya umum sama ada di peringkat persekutuan mahupun di peringkat negeri ialah kerajaan yang mendapat sokongan serta keyakinan majoriti rakyat sesuai dengan amalan demokrasi sarwajagat.
14. Amalan demokrasi sebagai teras pemerintahan merupakan mekanisme terbaik yang pernah dicipta manusia. Hakikatnya perbezaan pendapat, idea dan pandangan bukannya penyebab malapetaka atau punca perpecahan malah jika ditangani dan diurus secara baik sejarah telah menunjukkan ia mampu mendatangkan rahmat yang akan membahagiakan rakyat dan memajukan negara.
15. Marilah kita sama ada parti kerajaan mahupun parti pembangkang memberikan komitmen untuk memelihara keutuhan proses demokrasi dan menghormati keputusan yang akan dibuat oleh rakyat. Marilah kita sama-sama berdoa agar pilihan raya ini akan berjalan dengan lancar, aman dan selamat.
Rakyat Malaysia yang dikasihi,
16. Saya ingin memberi jaminan bahawa kerajaan yang ada akan meneruskan tugas dan tanggungjawabnya sesuai dengan prinsip keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang sehingga selesai proses pilihan raya. 17. Saya juga ingin menyeru di samping memberi jaminan kepada semua rakyat Malaysia serta parti politik yang terlibat, bahawa jika berlaku sebarang peralihan kuasa sama ada di peringkat persekutuan mahupun di peringkat negeri ia akan dan perlu berlangsung secara aman dan tertib. Inilah iltizam kita dalam menjunjung prinsip demokrasi, inilah tekad kita dalam menggerakkan transformasi politik, inilah komitmen kita dalam menghormati suara dan mendahulukan kepentingan rakyat.
18. Kepada semua rakyat Malaysia terutamanya yang tinggal di Pantai Timur Sabah janganlah bimbang dan takut. Laksana dan tunaikanlah tanggungjawab tuan-tuan dan puan-puan sebagai warganegara Malaysia, pihak keselamatan negara akan menjalankan tugas mereka untuk memastikan persekitaran yang selamat untuk tuan-tuan dan puan-puan sekalian.
19. Setiap undi tuan-tuan dan puan-puan adalah penting, jangan bazirkan ia, janganlah dipertaruhkan masa depan anak-anak dan negara Malaysia. Fikir dan renungkanlah dengan sebaik-baiknya sebelum membuat keputusan, ini kerana undi saudara dan saudari akan menentukan bukan sahaja hala tuju negara dan negeri tetapi juga untung nasib anak cucu kita semua.
20. Dalam pilihan raya ini tuan-tuan dan puan-puan bukan sahaja bertanggungjawab memilih wakil saudara dan saudari bagi setiap kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri tetap juga memilih kerajaan yang akan mendukung aspirasi tuan-tuan dan puan-puan.
Rakyat Malaysia yang dikasihi,
21. Saya berdiri di sini dengan penuh rasa tawaduk dan terhormat kerana diberi kepercayaan untuk mengkhidmati tuan-tuan dan puan-puan sekalian. Saya dan rakan-rakan amat menghargai dan menjunjung tinggi kepercayaan yang telah diberikan oleh rakyat dan akan memberikan yang terbaik demi untuk Malaysia dan warganya.
22. Di sini saya selaku Ketua Kerajaan Barisan Nasional ingin merakamkan rasa penghargaan dan ucapan kasih kepada rakyat Malaysia kerana telah memberi kepercayaan kepada kami Kerajaan Barisan Nasional untuk menerajui kepimpinan negara semenjak lima tahun yang lepas. Mulai hari ini saya dan rakan-rakan kepimpinan BN akan turun dan bertemu rakyat di seluruh pelosok negara bagi meyakinkan warga Malaysia kenapa kami BN perlu diberi peluang kembali untuk membentuk kerajaan dengan majoriti yang kukuh.
23. Kami akan menggunakan mandat kukuh yang diberi, Insyaallah untuk melipatgandakan lagi usaha bagi melakar masa depan yang lebih baik, yang lebih bermakna, yang lebih sejahtera untuk saudara dan saudari serta anak cucu kita semua. Ayuh teruskan perjalanan kebangsaan untuk mencapai wawasan nasional ke arah Malaysia yang maju dan berpendapatan tinggi. Ingatlah pencapaiannya bukan secara automatik ia memerlukan kita melipatgandakan usaha dan meneruskan kesinambungan kejayaan yang ada.
24. Marilah kita bersama-sama berganding bahu, berpimpin untuk menjadikan impian ini sebuah realiti, Malaysia yang maju, makmur dan selamat, penuh dengan peluang serta sarat harapan bagi semua. Demi Malaysia, usaha bakti kita curah, kepada Tuhan kita berserah.
Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Sekian, terima kasih.
-

BREAKING NEWS 11.30 Pagi ! PM Umum Bubar Parlimen


Perdana Menteri pagi ini jam 11.30 pagi telah mengumumkan telah mendapat perkenan Yang Di Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen berkuasa hari ini. Beliau berharap proses Pilihanraya akan dapat berjalan lancar dan harmoni.

Beliau menyeru semua pihak akan bersama-sama memelihara keharmonian proses pilihanraya dan sebarang pertukaran kuasa samada di peringkat negeri ataupun negara akan berlangsung secara aman dan tertib.

Fikirlah dengan setiap undi yang dibuat oleh rakyat untuk memastikan ke arah pembangunan negara yang manpam.
-

UPDATED PRU13 10.00 PAGI: PM Berucap Di TV 11.30 Pagi


Desas-desus mengenai Parlimen akan dibubarkan hari ini (Rabu) semakin kuat apabila Datuk Seri Najib Tun Razak akan ke udara di televisyen secara langsung pada pukul 11.30 pagi.

Berdasarkan laman Twitter Pejabat Perdana Menteri (@PMOMalaysia), Perdana Menteri akan menyampaikan ucapan khas, dijangka mengenai pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

"Saksikan Perdana Menteri @NajibRazak berucap secara langsung di TV pada pukul 11.30 pagi ini," demikian menurut akaun Twitter berkenaan.
-

UPDATED PRU13 : Wartawan, Jurugambar Berkumpul Di Luar Istana Pagi Ini


Sekumpulan jurugambar dan wartawan menunggu di luar perkarangan pintu masuk ke Istana Negara seawal 7 pagi membuat liputan kemungkinan pengumuman pembubaran Parlimen pada Rabu.

Selain kehadiran sekumpulan wartawan, beberapa pelancong turut tiba dengan menaiki bas sebagai sebahagian daripada rutin program dalam lawatan mereka.

Kenderaan dinaiki Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang diiringi polis pengiring dilihat memasuki Istana Negara kira-kira pukul 8.30 pagi.

Najib mengadakan pertemuan pada Rabu setiap minggu dengan Yang di-Pertuan Agong sebelum mesyuarat Kabinet.

Fokus kini tertumpu kepada mesyuarat Kabinet selepas beberapa khabar angin mengenai sama ada Najib akan mempengerusi mesyuarat tersebut buat kali terakhir sebelum membubarkan parlimen.

Ini berikutan pengedaran surat daripada Jabatan Perdana Menteri yang meminta ahli Jemaah Menteri untuk berpakaian sut serba gelap yang dipadankan dengan tali leher merah untuk sesi bergambar kenang-kenangan yang terakhir.

mStar
-

Tuesday, 2 April 2013

BREAKING NEWS! Parlimen Dibubarkan Esok?


Parlimen dijangka akan dibubarkan seawal esok selepas mesyuarat kabinet di Putrajaya, bagi membuka jalan untuk Pilihan Raya Umum ke-13.

Spekulasi tersebut difahamkan berikutan pengedaran surat oleh Pejabat Perdana Menteri, meminta semua menteri kabinet untuk menghadiri mesyuarat dalam Suit lounge gelap dan tali leher merah untuk sesi fotografi.

Jika Parlimen dibubarkan esok, penamaan calon berkemungkinan akan diadakan kemudian minggu depan, manakala hari pengundian akan jatuh pada 27 April selewat-lewatnya.

Mengikut amalan, menteri-menteri kabinet akan mempunyai satu sesi foto dengan perdana menteri dan timbalannya pada mesyuarat terakhir kabinet, diikuti oleh pengumuman mengenai pembubaran parlimen selepas itu.

Difahamkan bahawa sesi foto akan dilakukan sebelum mesyuarat kabinet esok dan Datuk Seri Najib Razak kemudiannya akan mengadakan sidang akhbar untuk mengumumkan pembubaran parlimen.

Mengikut amalan menetapkan bahawa Perdana Menteri akan bertemu dengan Yang di-Pertuan Agong sebelum mesyuarat kabinet untuk mendapatkan perkenan untuk membubarkan Parlimen.

Beberapa menteri diberitakan mengesahkan bahawa mereka telah menerima surat, dan tidak menolak kemungkinan bahawa Najib akan mengumumkan pembubaran Parlimen selepas mesyuarat itu.

Jika Parlimen dibubarkan esok, ia akan menandakan empat tahun penuh kepada tarikh Najib menerajui negara selepas beliau dilantik sebagai penggantinya Tun Abdullah Ahmad Badawi pada tahun 2009.

Penggal lengkap kerajaan lima tahun akan berakhir pada 30 April dan selepas itu Parlimen akan terbubar secara automatik. Suruhanjaya Pilihan Raya akan mempunyai 60 hari untuk mengadakan pilihan raya untuk menubuhkan sebuah kerajaan baru.

Khamis lepas, Dewan Undangan Negeri Sembilan adalah negeri yang pertama yang terbubar secara automatik.
-

Monday, 1 April 2013

TU DIA : Dong Zong Jumpa PM Di Putrajaya


Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) hari ini mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di pejabatnya di sini.

Presidennya, Dr Yap Sin Tian, berkata pertemuan kira-kira sejam bermula jam 12 tengah hari itu membincangkan isu mengenai pendidikan Cina di negara ini termasuk Sijil Pelajaran Bersepadu (UEC).

Katanya, Perdana Menteri akan mengadakan mesyuarat dengan Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi bagi mengkaji cadangan yang dikemukakan Dong Zong.


Mynewshub
-

Kadar Kemiskinan Menurun #betterNation


Hasil kaji selidik yang dijalankan, menunjukkan Malaysia telah berjaya mencapai sasaran dalam mengurangkan kadar kemiskinan sebelum tempoh 2015 seperti yang rancangkan. Lebih 60 peratus telah berjaya dikurangkan sejak awal kemerdekaan, kepada 1.7 peratus pada 2012.

Selari dengan itu kadar kemiskinan di kalangan Bumiputera, Cina & India nyata berkurangan, sementara pendapatan isi rumah telah berjaya ditingkatkan daripada RM4,025 pada tahun 2009 kepada 5,000 pada 2012. Malah jurang pendapatan dalam kalangan rakyat Malaysia juga bertambah baik dengan kadar pekali Gini menurun kepada 0.431 pada 2012.

Dari segi kategori etnik pula, pendapatan isi rumah bulanan bumiputera meningkat 6.9 peratus kepada RM4,457 sebulan manakala Cina dan India meningkat lapan peratus dan sembilan peratus, masing-masing kepada RM6,366 dan RM5,233.

Hasil kejayaan negara ini juga dapat dilihat daripada peningkatan lebih 1,200 peratus ini, bermula sejak Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah pada tahun 1974. Angka Pendapatan Negara Kasar (PNK) perkapita turut menunjukan peningkatan daripada AS$257 pada 1957 kepada AS$9,970 pada tahun lalu. Ia merupakan peningkatan hampir 4,000 peratus dalam tempoh lima dekad.

Ini merupakan petanda kejayaan kerajaan Barisan Nasional dalam usaha menggalakkan pembinaan landasan ekonomi yang kukuh melalui pelebaran pembangunan di kawasan bandar bagi memenuhi kepesatan urbanisasi yang menempatkan lebih 71 peratus penduduk.

Dengan pencapaian ini, ia membuktikan bahawa sasaran Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) untuk mengurangkan kadar kemiskinan secara keseluruhan kepada dua peratus pada 2015 telah pun tercapai tiga tahun lebih awal. Setinggi penghargaan dan tahniah diucapkan kepada kerajaan @BarisanNasional.

Semua angka ini membuktikan bahawa Barisan Nasional tidak perlu bersikap retorik kerana kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib telah membuktikan bahawa mereka benar-benar serius untuk membangunkan sosioekonomi negara.
Walaupun usaha kerajaan ini dilihat berjaya menepati sasaran yang ditetapkan, Perdana Menteri berkata usaha untuk meningkatkan taraf hidup mereka yang berpendapatan rendah bukan saja akan diteruskan, malah akan ditingkatkan lagi.

Kesimpulannya, kerajaan BN/Umno telah berjaya melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang diberikan serta melakukan yang terbaik dalam mengurus tadbir dan memacu ekonomi negara. Malah pelan perancangan Transformasi Negara yang diatur secara bijaksana ini selari dengan pendekatan wasatiyyah yang diperkenalkan tidak lama dahulu telah terbukti dan memberikan impak kesan yang positif.

Barisan Nasional, Janji Di Tepati!!!
Pakatan ‘Manifesto Bukan Janji’!!!

Suara Generasi Baru
-

180,000 orang kunjungi Lima 2013


Kira-kira 180,000 pengunjung melawat Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2013 (LIMA”13), sekali gus melepasi sasaran 150,000 yang ditetapkan penganjur.

Tinjauan mendapati rata-rata pengunjung dari dalam dan luar negara tidak melepaskan peluang melawat Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) untuk menyaksikan pameran dan pertunjukan aerobatik LIMA sepanjang dua hari ia dibuka kepada orang ramai, sejak semalam.

Nur Hidayah Zainuddin, 19, pelajar institusi pengajian tinggi awam berkata, beliau begitu teruja menyaksikan pertunjukan aerobatik oleh peserta antarabangsa.

Warga Kanada, Jason Anthony berkata, maklum balas positif yang diperoleh beliau mengenai pameran LIMA edisi lalu mendorong beliau dan keluarga untuk menyaksikan pertunjukan kali ini.

Kosmo
-

Pengundi disaran lapor polis jika ada pihak calit dakwat sebelum PRU



Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said meminta pengundi di negeri itu membuat laporan polis jika didatangi pihak yang mahu mencalit dakwat kekal sebelum pilihan raya umum ke-13 (PRU13) berlangsung.

Katanya dakwat kekal itu hanya boleh dicalit oleh petugas Suruhanjaya Pilihan Raya sejurus sebelum pemilih membuang undi di pusat pengundian.

"Sebelum ini kita nasihat jangan serah kad pengenalan kepada orang lain bila dekat pilihan raya, sekarang kita ingatkan mereka jangan biar orang calit dakwat pada kuku sebelum masanya,” katanya.

Beliau diminta mengulas laporan akhbar hari ini mengenai dakwaan sebuah blog bahawa ada pihak merancang untuk mencalit dakwat kekal pada kuku pengundi, terutama di kawasan luar bandar seminggu sebelum hari pengundian PRU13.

Menurut blog itu, pihak terbabit berbuat demikian bagi mencetuskan huru-hara kerana pengundi yang dikesan sudah dicalit dakwat kekal pada kukunya tidak akan dibenar membuang undi pada hari berkenaan. - Bernama

-

Pilih Kerajaan Pertahan Hak Rakyat, Kedaulatan Negara


Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan rakyat Malaysia agar membuat pilihan bijak dalam memilih sebuah kerajaan yang beramanah dan bertanggungjawab pada pilihan raya umum ke-13 nanti.

Beliau berkata, rakyat Malaysia perlu memilih sebuah kerajaan yang mampumelaksana segala janji selain melindungi hak keselamatan, keamanan serta perpaduan supaya negara kekal aman dan maju.

"Kita perlu pilih sebuah parti yang kita yakin dapat pertahankan hak kita, kedaulatan kita, ekonomi kita, sosial dan perpaduan kita.

"Jangan salah pilih. Kalau nak pilih, pilihlah yang reda-reda, baik-baik, pandai-pandai, bagus-bagus dan yang soleh," katanya pada program Himpunan Barisan 1Malaysia di sini, Ahad.

Muhyiddin berkata, Malaysia kini di landasan yang betul di mana hala tuju telah diatur sebaik-baiknya oleh pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) untuk mentransformasi negara menjadi negara maju menjelang 2020.

Muhyiddin, yang juga Pengerusi Barisan Nasional Wilayah Persekutuan, berkataprestasi BN tetap terbukti walaupun ada sesetengah pihak yang cuba mempengaruhipengundi dengan mengatakan parti komponen itu sudah tua dan perlu diubah.

"Pemimpin dalam parti bertukar. Tetapi parti tidak pernah tua. Kerajaan tidak pernah tua. Lagi tua, lagi bertenaga, lagi tua, lagi berpengalaman," katanya.

Justeru, beliau berkata tiada yang perlu diubah melainkan negeri yang kini diperintah pembangkang iaitu Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan.

Sementara itu, mengulas pencerobohan oleh militan Filipina di Lahad Datu dan Semporna, Muhyiddin berkata insiden berkenaan adalah satu pengajaran kepadasemua.

Katanya, rakyat jangan mengambil mudah soal keselamatan negara kerana dalam keadaan negara yang aman dan selamat, ada pihak musuh luar cuba menghancurkannya.

"Musuh di luar sana lihat Malaysia sebagai satu permata yang begitu bergemerlapan. Ada sahaja rasa iri hati yang mahu menakluki dan melakukan sesuatu yang tidak baik kepada kita.

"Tapi nasib baik kita ada barisan keselamatan hadapan, perwira kita yangsanggup mempertaruhkan nyawa untuk mempetahankan negara ini. Sebab itulah kitaharus menghargai keamanan ini," katanya.

Pada majlis itu, sebanyak RM115,000 berjaya dikutip untuk disumbang kepada Tabung Wira Negara.

Turut hadir Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin serta Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan. - BERNAMA
-

Tokoh Ulama Calon BN Kelantan - Pas Calon Artis Usang


Barisan Nasional (BN) Kelantan akan menampilkan tokoh ulama serta calon yang mantap untuk Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pemilihan calon sudah di peringkat akhir dan ia akan menampilkan muka lama dan baru.

“Kami mahu setiap calon yang dipilih diterima dan disukai rakyat supaya membawa kemenangan kepada BN di negeri ini,” katanya.

Sebelum itu, beliau meluangkan masa lebih sejam melawat kawasan Karnival Pengajian Tinggi Negara 2013 di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV.

Menurutnya, BN akan berusaha sungguh-sungguh dan meletakkan calon terbaik, walaupun sedar bahawa sesiapa pun diletakkan sebagai calon, mungkin ada yang akan mempertikaikannya.

Mustapa berkata, bagi beliau dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, mereka yang terpilih adalah  barisan terbaik yang dipilih di kalangan tokoh di Kelantan.

Sementara itu, mengulas mengenai pertemuan beliau dengan Najib, yang juga Presiden Umno dan Pengerusi BN, di Putrajaya kelmarin, Mustapa berkata, pertemuan seperti itu sudah diadakan sejak enam bulan lepas.

Menurutnya, ia bagi membincangkan perkara berkaitan parti, terutama mengenai senarai calon BN Kelantan.

Ditanya mengapa Najib belum membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU13, Mustapa berkata, beliau percaya Najib mahu hasil transformasi yang dilaksanakan, termasuk dalam bidang ekonomi, dirasai rakyat.

"Ia tiada kaitan dengan apa-apa desakan pembangkang. Ini strategi Najib dalam memastikan rakyat melihat hasil kerja, termasuk Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA),” katanya, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Mustapa tidak menolak kemungkinan banyak lagi program peletakan batu asas bagi projek tertentu dilakukan kerajaan Pas Kelantan, dan menyifatkan tindakan seperti itu 'tidak lebih daripada gimik politik' menjelang pilihan raya.

Sumber
-

Sunday, 31 March 2013

WOW: Meriah Betul La! Macam Gini La

Meriah sungguh Jom Karnival Belia 2013 yang mula berlangsung hari ini. Program dimulakan dengan Senamrobik Perdana yang disertai lebih 1, 500 orang. Fuh! Memang ramai..

Ucapan En Zakaria bin Kasa, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pulau Pinang
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Tan Sri Nor Mohamed Yackop, Menteri di JPM. Berbagai-bagai acara akan terus berlangsung sehingga petang nanti.

-

FUYOO! Jom Karnival Belia 2013 Pulau Pinang

Amboi! Ada karnival belia pulak weh! Jom Karnival Belia 2013 bertempat di Kompleks Belia dan Sukan Batu Uban, Pulau Pinang pada hari ini 31 Mac 2013. Banyak acara-acara yang menarik menanti pengunjung. Acara akan bermula seawal 8.00 pagi hingga 4.00 petang.
Program tersebut akan dirasmikan oleh YB Tan Sri Nor Mohamaed Yackop, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri. Jom kita ramai-ramai meriahkan Jom Karnival Belia 2013...
-

Saturday, 30 March 2013

XCLUSIVE FOTO (5) : Acara Menarik Lima 13 Menarik Tumpuan Dan Tarikan Ekonomi


Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) membawa teknologi terkini dan produk industri aeroangkasa sebagai pameran terbesar di Langkawi. Pameran yang diadakan setiap dua tahun sekali itu memberi kesan kepada ekonomi negara dari segi pelancongan dan juga pertahanan. LIMA kini ditubuhkan sebagai salah satu pertunjukan udara utama di dunia.

Di ilhamkan oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi mempamerkan negara pengeluar aeroangkasa dan industri yang berkaitan serta mempromosikan teknologi aaeroangkasa terkini kepada pegawai kanan kerajaan, tentera, ketua-ketua industri aeroangkasa dari Malaysia serta rantau Asia Pasifik. Pameran pertama diadakan pada tahun 1991.

Kini pameran ini sudah dua belas kali diadakan dan sedang berlangsung di Padang Matsirat, Pulau Langkawi. Dijadualkan pada tahun ini pameran akan berakhir pada hujung minggu ini. Sejak diadakan selama tiga hari, sudah terpatri 24 perjanjian bernilai RM4.271 billion. Penganjur mensasarkan 500 peserta dengan 270 buah syarikat dari 22 buah negara menyertai pameran LIMA pada kali ini. Antara yang menyertai LIMA13 ialah Finmeccanica Fincantieri dari Itali, EADS dan anak syarikat Eurocopter, Navantia dari Sepanyol, Rosoboronexpect dari Rusia, SAAB dari Sweden, Bombardier dari Kanada dan Lockheed Martin dan L-3 Communications Amerika Syarikat.

Antara perjanjian-perjanjian tersebut ialah memperkuatkuasakan industri pertahanan Malaysia, penempatan syarikat industri aeroangkasa Eropah di Perak, membuka peluang perniagaan kepada Eurofighter Typhoon dan penerbangan pelatih PLKN hingga tahun 2015. Apabila dilihat perjanjian-perjanjian ini, kita dapati ianya menguntungkan negara dan mempertingkatkan ekonomi serta pertahanan negara. Latihan asas yang akan diadakan kepada peserta PLKN juga membuka peluang kepada mereka untuk menjadikan ruang angkasa sebagai kerjaya.

Selain tarikan pertunujukan udara, kapal selam KD Tunku Abdul Rahman yang mengambil alih sistem pertahanan TLDM yang baru turut menjadi tarikan kepada pengunjung LIMA dan ianya dilihat sebagai satu suasana berbeza bagi kali ke dua ianya dipamerkan.

Tujuan Langkawi dijadikan lokasi pameran besar-besaran ini kerana ia adalah tempat bagi pameran pesawat ringan dan eksperimen lalu lintas pesawat udara berat seperti jet enjin berkapasiti tinggi kepunyaan Amerika Syarikat. LIMA kini menjadi tumpuan negara yang mempunyai sistem dan alat pertahanan yang berteknologi tinggi bagi tujuan pameran kepada negara lain dan juga orang ramai. Tidak seperti negara luar yang lain dimana LIMA menjadi pertunjukan udara yang hebat sebanyak empat jam sehari sepanjang hari.

Hampir setiap kali pameran LIMA diadakan, telah meraih persefahaman dan tandatangan perjanjian sehingga mencecah berbillion ringgit. Pameran ini menjadi contoh untuk menjana perniagaan melalui berpuluh-puluh kontrak, surat tawaran dan penerimaan melalui MOU.

Suara Generasi Baru
-

Jom Bertindak!!!!


Menjelang pilihan raya umum ke-13, Datuk Seri Najib Tun Razak memperkenalkan Kit Jom Bertindak bagi membantu rakyat Malaysia menunaikan hak mengundi mereka dengan betul.

Kit yang diperkenalkan melalui laman sosial Facebook Najib pada 18 Mac itu antara lain mengandungi buku panduan mengundi dengan maklumat ringkas dan mudah berkaitan proses itu.

Buku setebal 12 halaman itu memberi panduan langkah demi langkah bagaimana seseorang pengundi perlu menyiapkan diri untuk menunaikan hak mereka dengan cara yang teratur.

Ia mengandungi 10 tajuk berkaitan pengundian termasuk syarat kelayakan mengundi serta cara menyemak status daftar pemilih di laman web Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Turut dimuatkan beberapa tips berguna pada hari mengundi termasuk membawa kad pengenalan, hadir di tempat mengundi mengikut masa yang ditetapkan dan memeriksa saluran khas untuk warga emas, orang kurang upaya dan wanita hamil.

Kit Jom Bertindak sedang diedarkan secara percuma dan mana-mana individu berminat boleh memohon melalui laman web www.1Malaysia.com.my.

Selain buku panduan, kit itu turut mengandungi pelekat, pelekat kereta, pen dan pin kolar Jom Bertindak. - BERNAMA
-

Google sediakan hab carian khas PRU-13


Google kini menyediakan hab carian khas maklumat mengenai pilihan raya umum ke-13 Malaysia di www.google.com/elections/ed/my Hab carian khas dalam bahasa Inggeris itu menawarkan maklumat daripada pelbagai agensi berita, parti politik dan badan bukan kerajaan.

Orang ramai boleh membuat carian lebih spesifik mengikut sub menu yang dikategorikan mengikut parti politik dan juga isu antaranya ekonomi, pendidikan dan transparensi.

Selain itu, ia juga memaparkan carta statistik carian berdasarkan parti-parti politik seluruh Malaysia yang boleh dilihat secara harian, mingguan atau bulanan. - Bernama
-

Friday, 29 March 2013

HOT! Pahang Tidak Akan Bubar DUN ?


Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang tidak akan dibubarkan bersendirian sebaliknya akan bersama-sama dengan pembubaran Dewan Rakyat jika perkara itu dilakukan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum 7 April ini.

Justeru kata Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, soal sama ada DUN Pahang akan dibubarkan lebih awal tidak timbul sama sekali.

"Dewan Undangan Negeri Pahang akan tamat tempoh pada 7 April ini dan terbubar secara automatik pada 8 April, terserah atas kebijaksanaan dan budi bicara Perdana Menteri (untuk mengumumkan pembubaran Dewan rakyat)," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Gelombang Biru Parlimen Bentong di Dewan Sultan Haji Ahmad Shah Bentong, di sini Khamis.

Adnan turut menyangkal dakwaan pembangkang bahawa Perdana Menteri takut untuk membubarkan Dewan Rakyat.

"Kalau pembangkang memerintah pun, mungkin tidak akan membubarkan kerajaan malah terus melanjutkan pemerintahan walaupun tamat tempoh, malah mungkin mereka akan mengetepikan undang-undang negara," katanya.

Beliau berkata Barisan Nasional (BN) Pahang sudah bersiap siaga sepenuhnya dan mula menggerakkan jentera pilihan raya bagi memastikan kemenangan BN pada pilihan raya umum ke-13 ini.

Katanya semua sayap BN perlu turun padang dan bertemu pengundi supaya mereka lebih memahami aspirasi kerajaan BN.

Beliau juga optimis semua 14 kerusi Parlimen dan 42 kerusi DUN di Pahang akan dimenangi BN pada pilihan raya umum itu nanti.

"Momentum sokongan rakyat terhadap Barisan Nasional semakin meningkat berikutan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan Perdana Menteri yang membawa transformasi," kata Adnan.

DUN Pahang akan terbubar secara automatik pada 8 April ini jika tidak dibubarkan lebih awal daripada tarikh berkenaan.

Mengikut Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Pahang di bawah perkara 26 Fasal 3, yang menyatakan Dewan Negeri hendaklah berjalan terus selama lima tahun daripada tarikh persidangan yang pertama dan hendaklah terbubar pada hujung tempoh itu kecuali jika dibubarkan terlebih dahulu.

Pada pilihan raya umum 2008, BN memenangi 37 kerusi, dua dimenangi DAP, dua PAS, manakala satu Bebas.

Calon Bebas, Ho Yip Kap kemudiannya menyertai parti Gerakan. - BERNAMA
-

Malaysia Perlu Kerajaan Kuat Bagi Percepat Proses Transformasi


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Malaysia memerlukan sebuah kerajaan yang kuat untuk mempercepatkan proses transformasi di negara ini.

Beliau berkata Malaysia tidak mampu mempunyai sebuah kerajaan yang lemah kerana ia akan menyebabkan ketidakstabilan dan ketidaktentuan.

"Kerajaan yang kuat adalah wajar bagi mempercepatkan proses transformasi di Malaysia. Kerajaan lemah bermakna ketidakstabilan dan ketidaktentuan, Sesuatu yang kita tidak mampu," katanya dalam tweet terbarunya, Khamis.

Selepas proses transformasi pelbagai bidang termasuk ekonomi diperkenalkan tiga tahun lepas, kerajaan pimpinan Najib telah mula menampakkan tanda positif dalam membantu visi Malaysia ke arah mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Baru-baru ini, bekas menteri kewangan, Tun Daim Zainuddin memuji dan menyakini kepimpinan Najib sebagai Perdana Menteri yang telah melaksanakan tugasnya dengan begitu baik.

Sambil menyifatkan Najib telah melakukan kerja dengan baik, Daim berkata perdana menteri itu perlu diberi mandat untuk meneruskan dasar dan program transformasinya. - BERNAMA
-

Thursday, 28 March 2013

PANAS! Guan Eng Sahaut Cabaran Tanding di DUN Padang Kota!



Tu dia! Kasi lawan! Ada berani ke Guan Eng mahu menentang Teng Chang Yeow di Padang Kota? Tak pun dah kecut telur..Terbaru Ketua Menteri, Lim Guan Eng menyahut cabaran Pengerusi Barisan Nasional Pulau Pinang, Teng Chang Yeow untuk bertanding di kerusi Padang Kota.
Lim yang juga Setiausaha Agung DAP, berkata beliau akan bertanding menentang Teng di kerusi Dewan Undangan Negeri Padang Kota, di mana Teng bertanding dan menang selama tiga penggal sebelum beliau tewas kepada wakil DAP, Chow Kon Yeow pada 2008.

Sama-sama kita tunggu!..
-

PRU 13 UPDATED 10.00 AM : Pengagihan Kerusi BN Dimuktamad Seiring Pembubaran Automatik DUN Negeri Sembilan


Datuk Seri Najib Tun Razak akan bertemu dengan pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) pada Khamis dan ada pihak yang mengatakan ia merupakan perbincangan terakhir sebelum pembubaran Parlimen.
Pegawainya mengesahkan Perdana Menteri akan mengadakan pertemuan dengan pimpinan tertinggi BN di pejabatnya di Putrajaya bagi memuktamadkan pembahagian kerusi pilihan raya.
Mereka juga akan berbincang mengenai senarai akhir calon yang akan bertanding menggunakan simbol BN.
"Beliau juga akan berbincang siapa yang akan mengambil kerusi apa dan semua perkara akan dimuktamadkan (hari ini)," kata salah seorang daripada mereka.
Sumber berkenaan turut mengesahkan Najib akan tiba di Kuala Lumpur selepas menghabiskan beberapa hari di Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2013 (LIMA2013) pada Selasa dan beliau akan terus menghadiri beberapa mesyuarat bersama beberapa pimpinan Umno.
Ada juga spekulasi mengatakan telah bertemu dengan pemimpin di peringkat bahagian yang 'bermasalah' di pejabatnya di Putrajaya selepas mesyuarat Kabinet.
Sumber berkenaan turut memberi bayangan bahawa ramai pemimpin veteran BN akan digugurkan.
"Akan ada ramai muka baru kali ini," katanya.
Parlimen terbubar secara automatik pada tengah malam 28 April bagi mengadakan pilihan raya umum diumumkan.
Dewan Undangan Negeri Sembilan sudah pun terbubar pada Rabu.
Selepas mesyuarat Kabinet pada Rabu, semua urusan perniagaan berjalan seperti biasa.
Beberapa sumber daripada Kabinet memaklumkan bahawa tiada gambar kenangan beramai-ramai diambil, yang merupakan tradisi era pemerintahan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi sebelum Parlimen dibubarkan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata pembubaran Parlimen dan DUN Negeri Sembilan tidak dibincangkan.
Beliau berkata Kabinet menumpukan kepada perbincangan mengenai Pelan Pembangunan Pendidikan dan keputusan Program Transformasi Kerajaan, dan Najib tidak menunjukkan tanda-tanda bila beliau mahu mengadakan pilihan raya.
"Mesyuarat Kabinet (semalam) berjalan seperti biasa dan topik yang dibincangkan tidak ada yang luar biasa. Kami tidak langsung membincangkan mengenai pembubaran," katanya.
-

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...