Monday 28 January 2013

Tu Dia! Komen PM Mengenai Pemecatan Ustaz Nasha


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa dipecat kerana memberi keuntungan kepada Umno daripada menguntungkan Pas ekoran lawatannya ke Gaza.

Beliau berkata, Nasharudin tidak pernah berbincang dengannya mengenai soal parti dalam pertemuan mereka dan juga tidak menidakkan mana-mana parti.

Menurutnya, Nasharudin hanya memperjuangkan prinsipnya untuk menyatukan ummah.

Justeru beliau juga berkata, Pas perlu menghargai perjuangan yang dibuat dan tidak memikirkan keuntungan parti semata-mata.

"Walaupun dikatakan beliau (Nasharudin) disebabkan kegagalannya menghadiri Syura, tapi masa pemecatan beliau setelah kembali ke tanah air membuat lawatan ke Gaza.

"... memberi persepsi beliau ada kaitan dengan lawatan tersebut, pada hal Nasharudin adalah seorang yang percaya kepada kesatuan dan penyatuan ummah serta tidak menidakkan parti politik.

"Beliau pentingkan perpaduan untuk wujudkan satu ummah, ini pendiriannya, tetapi beliau telah dikenakan tindakan walaupun mempunyai niat yang baik," katanya kepada pemberita di PWTC hari ini di sini.

Semalam, Sinar Harian Online membawa laporan memetik Majlis Syura Pas mengesahkan beliau dilucutkan keanggotaan dari badan tertinggi itu.

Setiausahanya, Datuk Nik Zawawi Nik Salleh berkata, keputusan itu dibuat kerana Nasharudin  didapati melanggar peraturan-peraturan berjamaah seperti yang telah ditetapkan oleh Majlis Syura.

“Keputusan mengenai perkara itu dibuat pada mesyuarat 13 Januari lalu yang dipengerusikan oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

“Antara sebab keputusan itu diambil kerana beliau (Nasharudin) telah melanggar beberapa peraturan yang ditetapkan parti. Antaranya tidak hadir mesyuarat, selebihnya saya tidak mahu ulas… maaf ya.

“Surat mengenai perlucutan Nasharuddin sebagai anggota Majlis Syura sudah diserahkan selepas mesyuarat itu,” katanya.

Mengulas lanjut Najib yang juga Presiden Umno berkata, Nasharudin tidak pernah memburukkan mana-mana pihak di setiap pertemuan yang berlangsung.

Katanya, seharusnya lawatan yang dibuat oleh Nasharudin dilihat untuk kepentingan ummah oleh Pas bukan menyoalkan keuntungan mana-mana parti.

"Mereka sepatutnya melihat lawatan ini untuk penyatuan ummah.

"Tetapi mereka lebih melihat menguntungkan kerajaan, Umno dan tidak menguntungkan Pas, jadi sebab itulah mereka mengambil tindakan terhadap Nasharudin," katanya. (Sinar Harian)

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...