Kisah dongeng dua beradik yang ditinggalkan oleh bapa mereka di dalam hutan, Hansel dan Gretel, yang menemui sebuah rumah diperbuat daripada biskut, kek dan gula-gula memang amat popular.
Cerita dongeng kanak-kanak dari Jerman itu juga bertebaran luas di seluruh dunia serta diceritakan oleh ibu bapa kepada anak-anak mereka sehingga ke hari ini. Ia turut dirakam dalam pelbagai bentuk media, namun paling popular mungkin opera pada 1893 dan kemudian menemui penonton dalam bentuk animasi pada 1950-an.
Kini, kesinambungan kisah dua beradik itu diteruskan dengan perjalanan mereka dalam memburu ahli sihir jahat pula.
Hansel and Gretel: Witch Hunters memaparkan permulaan cerita yang menarik, di mana penonton dibawa menyaksikan semula bagaimana dua beradik terbabit dikurung seorang nenek tua dalam sebuah rumah. Hansel diberi makan agar menjadi gemuk dan dapat dijadikan hidangan wanita terbabit manakala Gretel pula diseksa sebagai orang suruhan.
Tidak tahan dengan layanan diberikan, Gretel memberanikan diri melawan ahli sihir berkenaan. Dalam usahanya itu, dia tidak menyangka kuasa sihir wanita tua terbabit tidak dapat menembusi dirinya.
Dengan kekebalan yang dimiliki, Gretel dan Hansel melawan kuasa jahat ahli sihir terbabit, lalu membakarnya hidup-hidup. Sejak itu Hansel, lakonan Jeremy Renner, dan Gretel (Gemma Arterton) menjadi pemburu ahli sihir.
Selepas beberapa tahun dan kini bergelar pemburu yang cekap, mereka diminta oleh Datuk Bandar Augsburg bagi menyelesaikan misteri kehilangan kanak-kanak perempuan di bandar itu.
Kehilangan mereka menjadi misteri sehinggalah kedua-duanya bertemu ahli sihir paling berkuasa bernama Muriel (Famke Janssen) yang menculik 12 kanak-kanak untuk dijadikan korban Blood Moon, acara yang menghimpunkan ahli-ahli sihir.
Bukan hanya kanak-kanak terbabit, bagi melengkapkan ramuan untuk menguatkan kuasanya, Muriel turut menjadikan Gretel mangsa kerana ingin memiliki jantungnya yang turut mempunyai keajaiban.
Hansel and Gretel versi 2013 ini sememangnya amat menarik, bukan saja dek kerja kamera yang menakjubkan, malah lebih menghiburkan apabila filem ini dipersembahkan dalam bentuk tiga dimensi (3D).
Selain itu, dua tunjang utamanya, Renner dan Arterton berupaya memberikan lakonan meyakinkan untuk menjadikan judul ini tidak rugi ditonton. Sememangnya, dua bintang berkenaan bukan calang-calang pelakon.
Renner kini menjadi buruan produser filem, terutama dalam genre aksi, hasil keberkesanan lakonannya dalam beberapa filem terdahulu, termasuk The Hurt Locker, The Town, The Avengers, Mission: Impossible – Ghost Protocol dan The Bourne Legacy. Malah, dia yang pernah dicalonkan dalam kategori pelakon pembantu pada Anugerah Golden Globe diletakkan oleh The Hollywood Reporter sebagai bintang muda yang tidak lama lagi akan memasuki senarai A dalam industri perfileman yang besar itu.
Teknik solekan dalam filem ini juga cukup meyakinkan. Lihat saja bagaimana wajah ahli sihir berubah dalam pelbagai bentuk. Paling tidak, teknik solekan berkenaan menghidupkan lagi watak jahat Muriel.
Begitupun, judul ini tidak dapat lari daripada aspek yang boleh dipertikaikan penonton. Mungkin agak keterlaluan apabila kuasa sihir digambarkan bertempur dengan senjata api. Namun, kelemahan itu sekurang-kurang ditutup dengan jalan cerita serta persembahan pelakonnya yang baik.
Selain itu, penonton juga pastinya leka dengan rekaan kostum, arahan seni serta set yang digunakan bagi filem ini.
Sumber
No comments:
Post a Comment