Tuesday 29 January 2013

Peneroka FELDA Bukan Bodoh Apabila Menolak Pakatan Rakyat!


Rasa hendak ketawa pun ada, hendak menangis pun ada dengan kedangkalan pemikiran segelintir penyokong Pakatan Pembangkang yang masih tidak mahu mengakui bahawa masyarakat FELDA secara terang dan jelas menolak parti tersebut.

Entah apa lah yang menyebabkan golongan pencacai Pakatan Pembangkang ini berasa iri hati dengan kemewahan yang diperolehi oleh masyarakat Felda selama ini. Adakah kerana sebelum ini ANAK yang merupakan salah satu kumpulan ‘anjing sabung’ Pakatan Pembangkang tidak dibenarkan menyebarkan dakyah mereka di dalam kawasan FELDA menjadi penyebab utamanya?

Memang diakui masalah air seringkali melanda kawasan FELDA terutamanya pada musim perayaan. Kenyataan itu memang tidak dapat disangkal. Namun itu bukan bermakna, masyarakat FELDA harus menolak Barisan Nasional dan memberikan sokongan mereka kepada Pakatan Pembangkang.

Masyarakat FELDA bukanlah sebuah masyarakat yang bodoh dan tidak berpendirian. Bermula dengan tiada apa-apa harta yang dibawa ketika mula-mula menjejakkan kaki ke tanah rancangan FELDA, sehinggalah kini mereka mampu hidup dengan berpuluh kali ganda lebih baik daripada dahulu.

Jika dahulu ada di antara mereka yang berpindah masuk ke tanah rancangan FELDA dengan hanya menaiki teksi bersama sehelai tikar mengkuang dan dua buah bantal, kini mereka sudah boleh tersenyum dengan kenderaan yang mampu mereka miliki hasil usaha mereka mengerjakan tanah rancangan.

Masalah air yang melanda bukanlah penanda aras kerajaan Barisan Nasional mengabaikan masyarakat FELDA. Ia juga tidak boleh dijadikan alasan untuk masyarakat beralih sokongan kepada Pakatan Pembangkang yang ternyata banyak menunjukkan kepincangan dalam pentadbiran mereka.

Masyarakat FELDA selama ini mewah dengan pembangunan yang dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional. Bukan hanya peneroka FELDA sahaja yang mendapat manfaat, malahan generasi kedua dan seterusnya juga turut sama mendapat tempiasnya.

Kerajaan Barisan Nasional telah menyediakan pelbagai program untuk generasi kedua dan seterusnya untuk mereka menaikkan taraf hidup mereka. Program rumah mampu milik untuk generasi kedua member peluang kepada anak-anak peneroka FELDA untuk memiliki rumah sendiri mengikut kemampuan mereka.

Program kemahiran yang diberikan kepada anak-anak peneroka telah membuka peluang mereka untuk bersaing dengan golongan yang bukan daripada FELDA di dalam bidang yang diceburi. Selain itu anak-anak peneroka FELDA juga tidak terus dibiarkan ketinggalan dalam menuntut ilmu dengan pelbagai kemudahan disediakan oleh kerajaan.

Adakah masyarakat FELDA masih dilabel bodoh dan buta tuli juga lagi apabila mereka mensyukuri segala kemudahan dan kesenangan yang mereka perolehi kini berbanding kehidupan susah satu ketika dahulu dengan memberikan sepenuh sokongan kepada kerajaan Barisan Nasional?

Benar rezeki itu datangnya daripada Allah dan bukan daripada kerajaan Barisan Nasional. Malahan benar juga manusia wajib memanjatkan kesyukuran kepada Allah yang mengizinkan hasil kekayaan bumi dinikmati oleh manusia. Namun, jika bukan dengan izin Allah, maka tidak mungkin kerajaan Barisan Nasional berjaya memegang mandat mentadbir negara selama lebih 56 tahun.

Justeru, pada pendapat Wan Kuntum, pencacai Pakatan Pembangkanglah yang boleh dianggap bodoh dan buta tuli dengan tidak mensyukuri segala pembangunan yang telah dinikmati selama ini di bawah pentadbiran kerajaan Barisan Nasional.

Maka, nasihat Wan Kuntum kepada pencacai Pakatan Pembangkang, berhentilah menuduh masyarakat FELDA sebagai ayam tambatan Barisan Nasional yang bodoh dan buta tuli apabila mereka memberi sepenuh sokongan kepada kerajaan Barisan Nasional setiap kali pilihanraya umum diadakan.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...