Tuesday, 29 January 2013

Yahya Bidas Pembangkang Politikkan Lawatan PM Ke Gaza



Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Yahya Hussin membidas pembangkang yang mendakwa lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke Gaza Selasa lepas bagi meraih sokongan rakyat menjelang pilihan raya akan datang.

Yahya menegaskan bahawa kerajaan sejak dulu lagi amat prihatin dan simpati terhadap nasib dan penderitaan penduduk Palestin termasuk di Gaza akibat kekejaman rejim Zionis Israel.

"Perdana Menteri sebenarnya ikhlas. Dulu dalam pasport (yang dicop) kita pun, kerajaan kita dengan jelas tidak membenarkan kita melawat Israel kerana kita tidak setuju tindakan Israel terhadap Palestin khususnya di Gaza.

"Jadi adalah tidak wajar pihak tertentu mengatakan bahawa lawatan Perdana Menteri ke Gaza adalah gimik politik semata-mata kerana dasar kita memang amat prihatin terhadap penderitaan penduduk Gaza," katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar persijilan Skim Amalan Ladang Ternakan (SALT) Burung Walit di sini, Selasa.

Yahya yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri diminta mengulas kenyataan pembangkang yang seolah-olah memperkecilkan lawatan Perdana Menteri ke Gaza. Lawatan kemanusiaan Perdana Menteri itu dilihat membuka mata masyarakat dunia berhubung keprihatinan Malaysia terhadap penderitaan rakyat Palestin dan betapa perlunya penindasan rejim Zionis Israel ke atas Palestin dihentikan segera.

Mengenai kenyataan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail semalam, bahawa kerajaan bersedia mengambil tindakan terhadap apa jua laporan dan resolusi daripada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai masalah berkaitan kerakyatan dan kehadiran pendatang tanpa izin di Sabah, Yahya berkata ia menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam menangani isu itu demi kebaikan semua pihak. Abdul Gani dipetik sebagai berkata bahawa sekiranya terdapat unsur jenayah maka tindakan akan diambil dan jika terdapat sesuatu yang tidak betul ia akan diperbetulkan. -BERNAMA

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...