Penyanyi dan pelakon Azza (Elite) mendedahkan watak yang dilakonkannya sebagai wanita muslimah bertudung menerusi drama Mujahid pada tahun lalu telah membuka hatinya untuk terus menutup aurat.
Azza atau nama sebenarnya Nor Azzarima Zawari, 35, berkata, dia bersyukur kerana mendapat rahmat berkenaan ketika sedang mencari rezeki dalam dunia lakonan yang menjadi punca rezekinya selama ini.
"Itulah, orang kata, rahmat yang Allah berikan kepada setiap manusia berbeza-beza dan apabila sudah sampai waktunya, apa salahnya kita berhijrah terus.
"Sebenarnya, sebelum Mujahid, saya dah mula berselendang sepanjang penggambaran drama Kiah Pekasam bersama Rozita Che Wan di Jepun, tahun lalu.
"Alhamdulillah, menerusi bidang lakonan yang menjadi punca rezeki utama juga menyedarkan saya kepada sebuah penghijrahan yang indah dalam hidup ini," katanya yang dihubungi mStar Online, di sini, Isnin.
Tambah Azza yang mula bertudung pada 6 Januari lalu, dia juga bersyukur apabila keluarga dan suaminya, Azlan Zulaily memberi sokongan terhadap perubahan penampilan barunya itu.
Kata Azza, suaminya juga pernah menyuarakan hasrat untuk melihat dia bertudung selepas mendirikan rumah tangga pada April tahun lalu, namun lelaki itu tidak memaksanya untuk melakukan perubahan secara drastik.
"Kalau nak tahu, sebelum ini hanya saya seorang dalam keluarga yang tidak bertudung dan sedikit rasa janggal lebih-lebih lagi ketika seluruh keluarga berkumpul untuk menghadiri sebuah majlis perkahwinan di Pulau Pinang pada pertengahan Disember lalu.
"Kemudian saya terfikir, kasihan pula pada ibu apabila anaknya seorang ini sahaja yang tidak bertudung dalam keluarga," tuturnya yang turut diberikan hadiah pelbagai jenis tudung daripada rakan-rakannya termasuk daripada pelakon Sheila Rusly.
Sementara itu, Azza berkata, bertudung litup juga tidak menghalangnya untuk berlakon dan menyanyi seperti biasa.
Malah dia bersyukur apabila perubahan imej baru itu tidak mengganggu karier seninya.
"Ini (berlakon) adalah sumber pendapatan saya. Selama ini, lakonan saya tidak pernah melebihi batas-batas atau mengundang rasa tidak senang kepada orang ramai.
"Saya akan terus berlakon dan menyanyi seperti biasa. Cuma yang bezanya hanyalah penampilan diri sahaja.
"Apa-apa pun diharap, setiap tutur kata dan perlakuan saya lebih bersifat sederhana, Insya-Allah," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Azza bakal muncul dengan drama Mujahid, Musim Cinta Atuk dan Sepai di TV1 serta Kiah Spy di Astro Warna. (mStar Online)
No comments:
Post a Comment