Friday 29 March 2013

PDRM jamin keselamatan kawasan terjejas akibat pertempuran


Polis hari ini memberi jaminan keselamatan kepada penduduk di empat daripada lima kawasan yang terjejas akibat pertempuran antara penceroboh militan dan pasukan keselamatan di Lahad Datu, Sabah.
Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Salleh Mat Rasid berkata, keempat-empat kampung itu ialah Kampung Tanduo, Kampung Tanjung Batu, Kampung Labian dan kawasan Tanjung Bilis.
"Rancangan seterusnya ialah untuk membawa masuk semula penduduk kampung ke kediaman masing-masing dan hidup seperti sedia kala,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan sumbangan Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan kepada lapan keluarga anggota polis yang terkorban dalam krisis pencerobohan itu di Pusat Latihan Polis, di sini hari ini.
Sumbangan berbentuk bantuan RM10,000 untuk setiap balu, 19 netbook dan RM200 untuk anak-anak wira yang terkorban itu disampaikan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim.
Turut hadir Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar.
Ismail dalam ucapannya berkata sumbangan itu menunjukkan keprihatinan kementerian itu terhadap pengorbanan anggota pasukan keselamatan dalam menjamin kedaulatan dan keselamatan negara. - Bernama

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...