Friday 29 March 2013

HOT! Anggota Kontrak & Sementara Nikmati Faedah Perkeso


Cuepacs menyambut baik langkah kerajaan meletakkan 63,000 anggota perkhidmatan awam berstatus sementara dan kontrak di bawah skim Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) mulai 1 Mei depan.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata keputusan ini merupakan satu jaminan kepada pekerja berkenaan dari segi keselamatan mereka.

"Ini satu keputusan penting yang amat dihargai. Ia dapat memberi jaminan dan masa depan yang lebih baik kepada pekerja kontrak dan sementara yang telah lama berkhidmat dengan kerajaan," katanya kepada Bernama di sini Khamis.

Menurut Omar kemudahan itu juga merupakan pencetus semangat kepada golongan itu untuk bekerja dengan lebih bersemangat di samping meningkatkan produktiviti.

Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd Khalid Atan berkata langkah kerajaan itu merupakan sesuatu yang ditunggu-tunggu sejak sekian lama memandangkan ada antara pekerja itu sudah berkhidmat lama.

"Maka wajarlah mereka mendapat faedah yang sama dengan kakitangan tetap lain," katanya.

Dalam pada itu Omar dan Mohd Khalid sama-sama mencadangkan agar kerajaan menyerap kakitangan kontrak dan sementara itu ke dalam perkhidmatan tetap berbanding memberi peluang tersebut kepada kakitangan baharu.

"SPA (Suruhanjaya Perkhidmatan Awam) ada mengumumkan 60,000 peluang pekerjaan akan disediakan kerajaan tahun ini, saya rasa adalah lebih baik sekiranya staf kontrak dan sementara ini diserapkan.

"Oleh itu kerajaan perlu memberi lebih perhatian kepada kakitangan kontrak dan sementara yang berkelayakan ini untuk menyandang jawatan terbabit terutama mereka yang telah berkhidmat lebih dari 10 tahun," kata Omar.

Mohd Khalid pula berkata, "Telah tiba masa kerajaan mempertimbangkan untuk mereka diserap ke dalam jawatan tetap kerana mereka juga banyak menyumbang dalam kerja-kerja pentadbiran kerajaan," katanya.

Pengumuman mengenai 63,000 anggota perkhidmatan awam itu diletakkan di bawah skim PERKESO diumumkan oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S Subramaniam hari ini. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...