Showing posts with label Berita. Show all posts
Showing posts with label Berita. Show all posts

Wednesday, 3 April 2013

OP DAULAT : Fasa Penstabilan


Operasi Daulat yang dilancarkan sejak 5 Mac lalu ekoran pencerobohan puak pengganas Sulu di negeri ini kini telah memasuki fasa ketiga iaitu fasa penstabilan yang memberi tumpuan untuk membina semula keyakinan penduduk yang terjejas.
Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin berkata, fasa ketiga itu yang secara rasmi bermula sejak kelmarin adalah kesinambungan daripada dua fasa awal yang telah dilaksanakan sebelum ini.
Katanya, Operasi Daulat bermula dengan fasa serangan pada 5 Mac lalu sebelum memasuki fasa kedua yang merupakan fasa pembersihan dan penggeledahan.
"Dalam fasa ketiga ini, tumpuan utama kita adalah untuk membina semula keyakinan rakyat terutama kepada penduduk-penduduk yang menerima kesan daripada pencerobohan musuh," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Beliau menjelaskan, antara tindakan yang dilakukan dalam fasa penstabilan ini adalah penglibatan pasukan keselamatan dalam memudahkan pemindahan keluarga yang terjejas ke rumah masing-masing.


Kosmo
-

Azzimuddie Kiram jadi pelarian


Pasukan keselamatan tidak menolak kemungkinan saki-baki puak pengganas Sulu yang dianggarkan kurang daripada 10 orang sudah keluar dari kawasan operasi penggeledahan dan pembersihan.
Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin berkata, usaha untuk menjejaki kumpulan musuh itu kini giat dijalankan dengan menggunakan taktik risikan.
"Kita akan mendapatkan maklumat daripada orang ramai selain menggunakan kepakaran risikan pasukan kita untuk menjejaki saki-baki musuh yang ada," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Turut hadir, Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Abdul Rahman Hussin.

Kosmo

-

Tuesday, 2 April 2013

Luahan Ketua Unit Gempur Marin Di Lahad Datu


Insiden Pencerobohan militan di Lahad Datu dan Semporna, Sabah seharusnya menjadi iktibar kepada semua bahawa betapa pentingnya menjaga dan mempertahankan keamanan negara.

Ketua Unit Gempur Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 1 Pulau Pinang Inspektor Hazri Zakaria berkata peperangan yang berlaku memberi banyak kesan buruk kepada rakyat dan negara selain mengakibatkan banyak kerosakan.

"Kalau boleh elakkan peperangan dan saya sebagai pasukan keselamatan takkan benarkan ini terjadi (lagi). Walaupun dengan kudrat saya, saya akan cuba mempertahankan (negara) bukan saja untuk saya, tetapi untuk generasi akan datang.

"Saya tak nak mereka susah dalam keadaan macam ni, memang cukup susah... cukup tertekan dan banyak kesulitan. Saya lihat penduduk kampung di sana, keresahan mereka untuk teruskan hidup, sampai kena keluar daripada kampung sendiri," katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan kepulangan petugas-petugas Operasi Daulat PPM Wilayah 1 Pulau Pinang, di sini Selasa.

Pada majlis itu, seramai 16 pegawai dan anggota dari PPM Wilayah 1 Pulau Pinang, Markas Langkawi, Kedah dan Markas Kampung Acheh, Perak menerima surat penghargaan dan cenderahati daripada Timbalan Ketua Ketua PPM Wilayah 1 negeri Supt R. Morgan.

Berikutan keadaan tegang di kawasan operasi, Hazri yang menyertai operasi itu selama lebih sebulan lebih berkata beliau tidak dapat menjawab panggilan mahupun pesanan ringkas (SMS) daripada isterinya kerana mahu memberi tumpuan 100 peratus kepada operasi.

"Tertekan saya tak boleh nak jawab (panggilan dan SMS), saya tak jawab sebab nak bagi tumpuan 100 peratus pada penugasan saya. Kerisauan keluarga ni secara tak langsung terdetik juga. Saya ada minta pegawai di sini untuk tengok-tengokkan isteri dan anak-anak saya," kata bapa kepada dua anak yang berumur antara lapan dan lima tahun.

Sementara itu, berkongsi pengalaman bertugas dalam Operasi Daulat, Koperal Norhazeni Ahmad yang mengetuai Jentera Bot PSC 52 yang berpangkalan di Lahad Datu berkata detik mencemaskan adalah apabila bot yang dinaiki hampir terkena bom pihak pengganas.

"Saya sebagai ketua jentera diarahkan ke zon merah iaitu di kawasan Tanjung Labian. Jarak antara perairan laut Tanjung Labian ke darat lebih kurang satu batu. "Waktu itu berlaku pertempuran di mana pihak keselamatan dan pihak musuh bertempur. Pada waktu tu kami telah diserang hendap dan berlaku tembakan menyebabkan bot kami hampir dibom dengan jarak bot lebih kurang 20 meter. Alhamdulillah, pada waktu itu kami semua terselamat," katanya. -BERNAMA
-

BREAKING NEWS : Ops Daulat 2 April 2013

Pemburuan saki-baki pengganas sulu diteruskan lagi bagi membersihkan keseluruhan kawasan-kawasan yang berisiko tinggi. Walaupun disesetengah tempat, warga tempatan sudah dibenarkan pulang, Pasukan Keselamatan masih menjaga kawasan-kawasan penempatan mereka bagi menjamin keselamatan rakyat. 

Rakyat tidak seharusnya bimbang  dan jangan mudah mendengar khabar-khabar angin dari sesetengah pihak yg cuba mencetuskan suasana panik rakyat.
-

Lahad Datu : Ternakan hilang angkara pengganas


Penduduk Kampung Tanjung Labian dan Kampung Tanjung Batu di sini bukan sahaja mengalami kemusnahan rumah dan harta benda malah turut kehilangan haiwan ternakan angkara pencerobohan puak pengganas Sulu.
Aldi Daris, 36, dari Kampung Tanjung Batu berkata, 30 ekor kambing milik keluarganya yang dikurung dalam kandang di belakang rumah telah hilang sebaik sahaja mereka memasuki kawasan kampung pagi semalam.
Menurutnya, kambing-kambing itu yang boleh dijual pada harga RM600 seekor dipelihara sejak tahun lalu untuk dijual bagi tujuan majlis korban dan kenduri.
"Pada hari kami tinggalkan rumah pada 4 Februari lalu, semua kambing itu kami masukkan ke dalam kandang bagi tujuan keselamatan. Bagaimanapun, hari ini (semalam), tiada seekor kambing yang tinggal dan kandang juga sudah kosong," katanya di sini semalam.
Aldi memberitahu, dia dan beberapa penduduk kampung cuba mencari haiwan peliharaan di sekitar kampung namun gagal menemui haiwan itu.

Kosmo
-

UPDATED : Muhammad Ridhwan Nafi Kenal Jamalul Kiram III


Individu yang dicari bagi membantu siasatan polis berhubung kes pencerobohan pengganas Sulu di Sabah tampil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya di sini semalam.
Datuk Seri Muhammad Ridhwan Sulaiman yang merupakan Presiden Pertubuhan Kebajikan Al-Ehsan Islamiah Malaysia tiba di IPD Ampang Jaya pukul 11.05 pagi dengan menaiki Nissan Sorento diiringi beberapa lelaki dipercayai pengikutnya.
Muhammad Ridhwan, 47, ketika ditemui sebelum masuk ke balai polis berkata, dia hadir untuk memberi kerjasama kepada polis selepas gambarnya disiarkan oleh akhbar-akhbar semalam.
Bagaimanapun, beliau menafikan terlibat dengan kumpulan pengganas dan mendakwa tidak pernah memberi dana kepada pemimpin puak pengganas Sulu, Jamalul Kiram III.
"Saya tidak mengenali Jamalul dan tidak pernah bertemu dengan Jamalul kerana dia berada di Tawi-Tawi, Filipina.
"Saya hanya mengenali Muedzul Lail Tan Kiram dan hanya memberi bantuan kewangan kepada Muedzul," katanya.
Kosmo
-

Lokasi Persembunyian Pengganas di Sabah Kini Bersih


Sembilan kampung yang menjadi lokasi pertempuran dan persembunyian militan dari selatan Filipina sepanjang Operasi Daulat telah digeledah dan disahkan bersih daripada ancaman pengganas.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata proses pemindahan penduduk yang mendiami pusat penempatan sementara ke kampung berkenaan giat dijalankan, kecuali Kampung Tanduo yang ditutup.

"Penduduk dari Kampung Sungai Nyamuk, Tanjung Batu, Tanjung Labian dan Tanagian yang ditempatkan di pusat penempatan sementara telah mula dipindahkan ke kampung masing-masing.

"Malah kawasan Sungai Bilis, Lok Sembuang dan Lok Buani juga telah selesai digeledah dan dibersihkan, dengan itu, boleh dikatakan seluruh kawasan Operasi Daulat telah bersih dan orang kampung juga telah dibenar untuk kembali ke rumah masing-masing," katanya pada sidang akhbar di Markas Operasi di Felda Sahabat 16 pada Isnin.

Beliau berkata tiga daripada empat dewan serba guna di Felda Sahabat yang dijadikan pusat penempatan sementara iaitu Fajar Harapan, Cenderawasih dan Gemala Pura juga telah ditutup kecuali Embara Budi disebabkan ada rumah penduduk yang mendiami pusat itu rosak sepenuhnya. Beliau berkata walaupun pusat pemindahan sementara di kawasan Felda akan ditutup sepenuhnya, Operasi Daulat tetap diteruskan kerana fokus utama operasi ialah memastikan seluruh kawasan Lahad Datu, Semporna dan Sandakan benar-benar selamat.

Dalam perkembangan berkaitan, Hamza berkata lapan lagi individu yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 didakwa di Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu yang dijadikan mahkamah sementara.

"Sehingga kini, 16 orang yang ditahan di bawah Sosma telah dituduh di mahkamah," katanya.

Mengulas laporan media Filipina bahawa 100 orang memasuki perairan Sabah untuk membantu saki-baki pengganas, Hamza berkata: "Mereka boleh mengatakan apa sahaja tetapi saya telah nyatakan bahawa keselamatan di negeri Sabah adalah terjamin".

Dalam pada itu, Hamza berkata pasukan keselamatan mempunyai kepakaran tersendiri dalam menangani taktik pengganas yang mungkin cuba menyamar sebagai orang tempatan dengan berpakaian seperti penduduk kampung. -BERNAMA
-

Guru Trauma Akibat Pencerobohan Pengganas Di Lahad Datu Pulih


Guru yang mengalami trauma akibat kejadian pencerobohan pengganas di Lahad Datu dan Semporna, Sabah diyakini telah pulih dan dapat menjalankan tugas seperti biasa.

Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi berkata kementerian juga menghantar lima kaunselor yang pakar untuk melatih guru di sekolah yang terlibat dengan kejadian pencerobohan tersebut sebagai kaunselor, selain membantu guru yang trauma dengan insiden itu.

"Memang ada kes guru tidak datang mengajar kerana trauma, namun keadaan telah pulih dan mereka kembali bertugas seperti biasa," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Pemantapan Sarana Ibu Bapa dan Sarana Sekolah Parlimen Pokok Sena di Sekolah Menengah Sains Pokok Sena di sini, Isnin.

Turut hadir Ketua Umno bahagian Pokok Sena Datuk Ahmad Lebai Sudin dan setiausaha politik Perdana Menteri Datuk Shahlan Ismail.

Menurut Mohd Puad, guru yang tinggal di Semporna dan terpaksa menaiki bot ke Pulau Bumbum untuk mengajar, juga tidak perlu bimbang kerana mereka ditemani anggota keselamatan.

Mengenai penempatan baharu sekolah di Kawasan Keselamatan Khas Timur Sabah (ESSCOM), beliau berkata kementerian akan mematuhi arahan pihak berkuasa.

Katanya dua buah sekolah di Lahad Datu yang masih ditutup kerana kerosakkan teruk akibat terkena tembakan dalam kejadian itu, ialah Sekolah Kebangsaan (SK)Lok Buani dan SK Tanjung Labian.

"Kedua-dua sekolah rendah ini perlu dibaiki sebelum boleh dibuka semula," katanya.

Murid kedua-dua sekolah itu ditempatkan di beberapa lokasi termasuk di Dewan Kampung Cenderawasih, Dewan Kampung Embara Budi, Dewan Kampung Fajar Harapan dan Kampung Kembara Sakti.

Katanya murid dari Kampung Cenderawasih menumpang belajar di SK Cenderawasih, murid dari Kampung Embara Budi ditempatkan di Sekolah Agama Rakyat Embara Budi manakala murid dari Kampung Fajar Harapan dan Kampung Embara Sakti menumpang di SK Cenderawasih. -BERNAMA
-

HOT NEWS: Penduduk Jumpa Bom di Kg Tanjung Batu


Sebutir grenad, dipercayai milik militan dari selatan Filipina, ditemui berhampiran sebuah rumah di Kampung Tanjung Batu, Felda Sahabat dekat sini pada Isnin.

Bom yang dikatakan masih aktif itu ditemui dua kanak-kanak berusia 7 dan 10 tahun yang bermain di kawasan rumah berkenaan pada kira-kira 8 pagi.

Seorang penduduk, Mad Ali Hassan, 60, berkata beliau dimaklum berkaitan penemuan berkenaan ketika mengemas rumahnya, tidak jauh dari kawasan bom itu ditemui.

"Sebagai seorang pesara askar wataniah, saya kenal itu adalah grenad yang masih aktif dan boleh meletup bila-bila masa. "Kami harap pihak keselamatan membantu penduduk untuk membersihkan kawasan kampung daripada bahan letupan yang masih aktif demi keselamatan orang ramai, terutama kanak-kanak," katanya ketika ditemui pemberita.

Penduduk Kampung Tanjung Batu dan Kampung Tanjung Labian, yang mempunyai dokumen, dibenar pulang ke rumah masing-masing secara berperingkat mulai Sabtu, selepas pasukan keselamatan memastikan kawasan itu selamat daripada ancaman penceroboh militan dari selatan Filipina.

Sementara itu, Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman Datuk Seri Salleh Mat Rashid yang berada di lokasi berkenaan menasihatkan penduduk yang menemui peluru hidup atau bom yang masih aktif agar melaporkan segera kepada pasukan keselamatan.

"Kami harap penduduk jangan ambil mudah perkara ini kerana bom yang masih aktif boleh meletup dan menyebabkan kecederaan... kami minta mereka kawal anak-anak daripada bermain dengan bahan berbahaya itu," katanya. -BERNAMA
-

Monday, 1 April 2013

UPDATED LAHAD DATU: Anggota Polis Didakwa Bersubahat Dengan Pengganas


Tujuh warga selatan Filipina pada Isnin didakwa di Mahkamah Majistret yang bersidang khas di Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu di sini atas pertuduhan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong dan menjadi ahli kumpulan pengganas.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tujuh lelaki berumur lingkungan 20-an hingga 63 tahun itu ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Lahad Datu, Rajalingam a/l S.S.Maniam yang bersidang sebagai Majistret.
Pertuduhan asal dalam bahasa Melayu diterjemah ke dalam dua bahasa iaitu Bajau dan Suluk.
Lima tertuduh didakwa terhadap dua pertuduhan iaitu melancarkan perang ke atas Yang di-Pertuan Agong mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati dan menjadi ahli kumpulan pengganas di bawah Seksyen 130KA kanun sama yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan boleh didenda jika sabit kesalahan.
Seorang lagi tertuduh menghadapi empat pertuduhan mengikut Seksyen 121, 130KA dan Seksyen 130E iaitu merekrut orang sebagai ahli kumpulan pengganas atau untuk menyertai perbuatan pengganas yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh didenda dan Seksyen 130K iaitu melindungi orang yang melakukan perbuatan pengganas yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan boleh didenda atau penjara maksimum 20 tahun dan boleh denda jika sabit kesalahan. Seorang lagi tertuduh pula menghadapi satu pertuduhan mengikut Seksyen 130KA.
Pendakwaan diketuai Ketua Unit Pendakwaan Sabah Jamil Aripin dan Timbalan Pendakwa Raya Lahad Datu Shukor Abu Bakar.
Mahkamah juga membenarkan permohonan pihak pendakwaan mengikut Seksyen 177A (2) Kanun Acara Jenayah bagi memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi Tawau.
Bagaimanapun tiada tarikh ditetapkan untuk sebutan kes itu di Mahkamah Tinggi.
Sementara itu seorang anggota polis berpangkat Koperal juga didakwa di tempat sama Jumaat lepas mengikut Seksyen 130M iaitu dengan sengaja meninggalkan daripada memberi maklumat mengenai tindakan pengganas, yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Ini menjadikan sehingga hari ini 16 orang didakwa di mahkamah.
Pada 20 Mac lepas, lapan warga Filipina didakwa di tempat sama mengikut Seksyen 121 dan Seksyen 130KA dan sehari selepas itu kes berkenaan disebut di Mahkamah Tinggi Tawau.
Kes itu akan disebut semula di Mahkamah Tinggi 12 April ini bagi mengetahui perkembangan perbincangan Peguam Negara dengan Persatuan Undang-Undang Sabah, Majlis Peguam dan kerajaan Filipina berhubung khidmat guaman yang akan diberikan kepada tertuduh. -BERNAMA
-

PANAS! Ridhwan Sulaiman Dakwa Jamalul Kiram Sultan Sulu Palsu


Terkini! Presiden Pertubuhan Kebajikan Al-Ehsan Islamiyah Datuk Seri Muhammad Ridhwan Sulaiman mendakwa Jamalul Kiram, yang dipercayai dalang pencerobohan pengganas di Sabah, bukan keturunan sultan Sulu sebenar.

Sebaliknya, Muhammad Ridhwan berkata keturunan kesultanan Sulu sebenar adalah Muedzul Lail Tan Kiram, iaitu anak kandung kesultanan Sulu terakhir yang diiktiraf kerajaan Filipina.

Beliau berkata atas faktor itu pertubuhannya menjalankan urusan transaksi kebajikan dengan Muedzul Lail.

Mykmu.net
-

UPDATED : Pengganas menyamar jadi orang tempatan


Saki-baki pengganas Sulu yang diburu pasukan keselamatan dikesan menukar strategi apabila kebanyakan mereka kini didakwa mengaku sebagai orang tempatan dan bercakap dalam loghat Bajau.
Pengganas Sulu juga tidak akan membawa senjata ketika keluar di tempat awam seperti pasar dan pekan bagi menggelak mereka diketahui oleh orang awam dan juga pihak berkuasa yang kerap melakukan pemeriksaan.
"Strategi baharu pengganas Sulu itu menyukarkan pihak berkuasa mengesan saki-baki pengganas Sulu," kata sumber itu.

Kosmo
-

Sunday, 31 March 2013

TERKINI LAHAD DATU : Kenyataan Dato Seri Muhammad Ridhwan Yang Dicari Polis


Assalamualaikum, Ayahanda Dato Seri’ Muhammad Ridhwan Bin Sulaiman Merangkap Presiden Pertubuhan Kebajikan Al-Ehsan Islamiah Malaysia akan membantu pihak Polis berkaitan siasatan Operasi Isu Pencerobohan Lahad Datu, Sabah.

Untuk pengetahuan, ayahanda tidak berkaitan dengan pengganas mahupun Jamalul Kiram III.

Beliau hanya mengenali SULTAN MUEDZUL-LAIL TAN KIRAM merangkap Raja Muda (Crown Prince) yang disahkan oleh Kerajaan Filipina.

Tujuan beliau menolong adalah hanya untuk membantu Umat Islam yang tidak berkemampuan Di Sulu.

Diminta pihak-pihak tertentu supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan isu ini. Ikuti perkembangan melalui media massa dari semasa ke masa.

Amar Maaruf Nahi Mungkar,

Sekian, Harap Maklum.

Mynewshub
-

UPDATED LAHAD DATU : Pengganas Sulu lepas geram


Kehidupan kira-kira 1,400 penduduk di Kampung Tanjung Labian di sini ibarat sudah jatuh ditimpa tangga apabila mereka terpaksa menghadapi masa depan suram dan beban hutang gara-gara pencerobohan pengganas Sulu sejak 12 Februari lalu.
Selepas sebulan meninggalkan rumah dan menghuni pusat pemindahan ekoran insiden pencerobohan pengganas Sulu, sebahagian penduduk dibawa memasuki kawasan kampung itu sebelum dikejutkan dengan penemuan banyak harta masing- masing yang musnah terbakar atau dirosakkan.
Tidak cukup dengan rumah, kedai runcit dan bengkel kenderaan, peralatan untuk mencari sesuap nasi seperti bot nelayan turut dimusnahkan.
Sedih dengan apa yang dilihat, beberapa orang penduduk meraung, menangis, menjerit, terduduk dan bertakbir.
Siti Aminah Hiya, 21, berkata, kehidupannya kini sudah tidak bermakna apabila rumah yang dihuni beberapa tahun lalu musnah.
Lebih memburukkan keadaan apabila bot dan enjin yang diguna oleh suami ke laut menangkap ikan turut terbakar.
"Bot dan enjin ini saya dapat hasil pinjaman Amanah Ikhtiar Malaysia sebanyak RM1,500 beberapa bulan lalu dan baru sekali saya bayar balik pinjaman.
"Sekarang bot sudah hancur, bagaimana saya dan suami hendak mencari rezeki bayar balik pinjaman? Rumah juga dibakar dan apa yang ada sekarang hanyalah baju yang kami pakai ini," katanya.

Kosmo
-

TERKINI LAHAD DATU : Tangan Saya Hampir Putus Ditetak!


“Lalat, semut penuh menghurung tangan saya yang hampir putus ditetak, tetapi saya katakan pada diri akan terus bertahan,” kata Inspektor Mohamad Hasnal Jamil, anggota polis yang cedera parah dalam serangan hendap pengganas Sulu di Kampung Sri Jaya, Simunul, Semporna, Sabah, 2 Mac lalu.

Hasnal, 31, berkata, sepanjang 21 jam berlindung di sebuah rumah papan, anggotanya menyuap air hujan bagi menghilangkan dahaga kerana tangannya tidak boleh bergerak akibat ditetak pengganas.
“Darah di muka dan tangan kanan hampir kering, manakala seluar serta baju mengeras akibat terlalu banyak darah mengalir. Bila cuba berdiri mahu pitam jadi terpaksa hanya berbaring. “Anggota yang terselamat berada di sisi saya, mereka tunggu dan bertahan kerana tidak tergamak meninggalkan saya dan jenazah rakan yang terbunuh,” katanya ketika ditemui selepas pada majlis penyerahan sumbangan Tabung Perwira Lahad Datu kepada balu dan waris anggota keselamatan yang terkorban dan tercedera di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), di sini, semalam.

Antara yang hadir ialah semua tujuh balu dan waris anggota keselamatan yang terkorban dalam operasi itu termasuk balu Sarjan Salam Togiran, Marlinah Utan dan dua anaknya Umie Amira Umairah Salam dan Umie Alia Aulia Salam.

Dalam kejadian jam 7.30 petang itu, enam polis terkorban, manakala anggota keselamatan yang terselamat dibawa keluar pasukan VAT69 kira-kira jam 5.30 malam keesokan harinya berikutan keadaan di kawasan perkampungan air itu belum selamat sepenuhnya ketika itu.

Hasnal cedera parah dan kehilangan banyak darah berkata, dia hanya mampu berserah dan berdoa segera diselamatkan selain sokongan daripada anggota supaya terus bertahan sehingga bantuan tiba.

“Saya tidak dapat membayangkan apa-apa cuma tunggu diselamatkan saja, bila semangat datang kembali saya cakap pada diri, ini bukan masa untuk mati, saya akan bertahan sampai siang atau lebih lama lagi, malah nekad kalau tiada yang datang menyelamat, saya akan cuba berjalan keluar,” katanya yang terkena enam tetakan masing-masing tiga di atas kepala dan tangan menyebabkannya hampir putus selain tiga tembakan menembusi perut serta tangan kiri.

Bapa kepada seorang anak berusia dua tahun tujuh bulan itu berkata, dia menerima rawatan kira-kira dua minggu di Hospital Tawau dan Selayang, tetapi sehingga kini tangan kanannya belum boleh digerakkan lagi, manakala tiga jari tangan kiri sudah boleh digerakkan.

Menceritakan kembali peristiwa yang berlaku, Hasnal berkata, sepanjang malam bertahan di sebuah rumah, dia terjaga setiap sejam, manakala anggota lain berkubu di luar. “Saya sempat menghubungi isteri, Wan Zukarneti Wan Said, 28, pada pagi 3 Mac untuk memaklumkan saya sudah melaksanakan tugas dan berjanji akan menghubungi semula pada sebelah petang.

“Bagaimanapun, saya tidak memaklumkan kecederaan yang saya alami atau keadaan saya yang masih terperangkap di perkampungan air bagi mengelakkan keluarga risau,” katanya.
Menurutnya, dia juga terkejut apabila dimaklumkan keluarga di Felda Telur Timur, Kuala Ketil, Kedah sudah mengadakan bacaan surah Yasin kerana beranggapan dia meninggal dunia dalam pertempuran itu.

Hasnal berkata, pada kejadian serang hendap itu, pertempuran berlaku dalam gelap tanpa henti selama 15 minit dan selang sejam sekali, selain dia dapat melihat percikan api peluru ke arah mereka.
“Ketika menghampiri sebuah rumah yang disyaki ada pengganas pasukan saya terus ditembak dari dalam, kebanyakan anggota dan pegawai yang terkorban berada dalam barisan hadapan. Saya terkena tembakan di perut dan dua di tangan, tapi saya bernasib baik kerana sempat tunduk.

“Selepas ditembak, saya ditetak dengan parang barong sebanyak tiga kali di kepala, saya melawan dengan menepis menggunakan tangan sebelum lari ke sebuah rumah yang terletak kira-kira 15 meter dari kawasan pertempuran bersama sembilan anggota yang sempat memapah seorang rakan yang terkorban.

“Saya tidak nampak dengan jelas wajah pengganas kerana keadaan gelap, tetapi ketika dikejar mereka kelihatan masih muda dan macam orang kampung, di situ,” katanya. 

Berita Harian
-

TERKINI LAHAD DATU! Rupanya Pengganas Sulu Bukan Beragama Islam!


Rata-rata pengganas Sulu yang ditahan oleh pasukan keselamatan sepanjang 25 hari Ops Daulat didapati tidak tahu mengucap dua kalimah syahadah walaupun mereka mengakui beragama Islam.

Menurut sumber, perkara tersebut terbongkar apabila anggota keselamatan melakukan soal siasat terhadap pengganas-pengganas terbabit yang ditahan di daerah ini dan Lahad Datu sepanjang operasi itu.

“Soal siasat yang dijalankan mendapati rata-rata pengganas tersebut mengaku diri mereka beragama Islam.

“Bagaimanapun, apa yang mengejutkan, ada dalam kalangan mereka yang tidak tahu mengucap dua kalimah syahadah.

“Tindakan itu membayangkan seolah-olah mereka yang terlibat ini tidak mempunyai asas dalam ilmu agama Islam,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Selain itu, anggota kumpulan pengganas tersebut yang ditahan dan terbunuh juga didapati memakai tangkal pada anggota badan mereka yang dipercayai boleh menjadikan mereka kebal ketika berdepan dengan pihak keselamatan.

Sebahagian besar pengganas Sulu yang maut dan diberkas pihak berkuasa didapati memakai pelbagai tangkal yang tertulis ayat khurafat di leher, lengan, tangan dan pinggang masing-masing yang dikatakan boleh menjadikan mereka kebal.

Mengulas lanjut, sumber itu memberitahu, berdasarkan soal siasat, anggota pengganas yang ditahan itu mendakwa mereka sanggup berperang dengan pasukan keselamatan Malaysia kerana ia dianggap jihad kepada ketua kumpulan pengganas Sulu, Jamalul Kiram III.

Sumber itu menjelaskan, seorang tahanan pengganas yang berusia 25 tahun bertindak membunuh diri di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau pada 15 Mac lalu didakwa bertindak demikian atas alasan sama iaitu jihad.

“Kita telah menahan bapa si mati di balai yang sama dan dia tidak sedih dengan tindakan anaknya itu malah berbangga dan kematian anaknya itu selain membuatkan dia lebih kuat,” katanya.

Difahamkan, bapa si mati merupakan seorang berpangkat panglima dalam kumpulan pengganas tersebut dan ditugaskan melakukan keganasan di daerah ini bersama anaknya.

Punca kematian suspek yang ditahan di bawah Seksyen 130(c) Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama dengan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) tidak didedahkan.

Untuk rekod, setakat semalam, seramai 68 anggota pengganas Sulu terbunuh dalam Ops Daulat yang dilancarkan awal bulan ini manakala jumlah yang ditahan di bawah SOSMA ialah seramai 103 orang.

sumber
-

TERKINI LAHAD DATU! Sekitar dan Suasana Pilu di Kampung Tanjung Batu


Gambar terkini kampung Tanjung Batu, Lahad Datu setelah perang dengan pengganas sulu. Keadaan kampung yang terletak di Felda Sahabat itu sangat teruk akibat dari kesan tembakan dan bom. 

Peluru bertaburan di jalan raya, rumah yang dibina dan dihuni sejak 40 tahun lepas penuh berlubang dengan kesan tembakan dan ada di antaranya musnah sama sekali akibat dibakar kumpulan militan dari selatan Filipina yang bertempur dengan pasukan keselamatan.


Keadaan sayu itu menyambut kepulangan ketua-ketua keluarga penduduk Kampung Tanjung Batu yang pertama kali menjejakkan kaki ke perkampungan mereka setelah hampir sebulan ditempatkan di pusat pemindahan berikutan kejadian pencerobohan militan Sulu.

Kampung Tanjung Batu adalah lokasi yang menjadi pilihan penceroboh militan Sulu untuk menyusup masuk ke negara ini melalui jalan pantai dan hutan selepas mendarat di Kampung Tanduo 12 Feb lepas.

Kumpulan militan itu dipercayai menggunakan perkampungan berkenaan untuk berteduh dan mengumpulkan anggota mereka sebelum mula menyerang dan menawan kampung itu.


-

Saturday, 30 March 2013

FUYOO! Komando VAT69 Terbaik Didunia

Pasukan Komando Vat 69 Malaysia adalah satu2nya pasukan didunia iaitu pasukan komando unit polis Malaysia yg mempunyai keupayaan tempur di hutan setanding pasukan komando tentera negara2 lain dengan kejayaan menawan satu kem komunis yg berkekuatan 82 pengganas pada 1975 tanpa ada kecelakaan dari pihak Unit mereka. 

Pada 2005, Lima pegawai dan 32 anggota dari Pasukan Anti-Pengganas 69 Komando Ulu Kinta telah diterbangkan ke Kukup bagi melaksanakan operasi merampas semula sebuah kapal MV Natris yg telah ditukar nama kepada MV Paulijing dipercayai dilarikan di perairan Bertam,Indonesia. Kapal tersebut telah dikesan oleh Pasukan Gerakan Marin di perairan Selat Melaka setelah dilaporkan hilang pada tahun 2003. Operasi ini telah dinamakan sebagai Ops MV Paulijing. Akhirnya mereka berjaya menawan semulakapalini & dibawa pulang ke Malaysia. 

Pada 1985 pula, Vat 69 & UTK terlibat dalam satu operasi menyelamat tebusan seorang doktor dan pembantu perubatan oleh enam banduan yg bersenjata api di Penjara Pudu, Kuala Lumpur. 

Enam hari kemudian, serbuan yg dijalankan berjaya membuahkan hasil apabila tebusan tersebut berjaya diselamatkan, manakala Jimmy Chua, seorang penjenayah warga Singapura yg merupakan dalang disebalik drama tebusan tersebut berjaya ditangkap dan dijatuhi hukuman gantung sampai mati.

Admin amRF
-

OPS Daulat Sidang Media YDH PJP Sabah – 30 Mac 2013 Jam 4.30 petang.

Keadaan keselamatan di Negeri Sabah adalah terkawal dan selamat kecuali di kawasan-kawasan operasi.

Pada jam lebih kurang 9.30 pagi tadi, pasukan keselamatan bersama Pasukan Penilaian Keselamatan (MKN), Jabatan Kerja Raya (JKR), Pegawai Pejabat Daerah, Ketua Kampung serta ketua keluarga telah membuat lawatan ke kawasan Tanjung Labian. Lawatan ini diadakan adalah bertujuan untuk menilai kerosakkan yang berlaku terhadap rumah penduduk kampung yang terlibat di dalam Op Daulat ini. Penduduk kampung Tanjung Batu dan Tanjung Labian dibenarkan balik pada hari ini.

Pada jam 11.00 pagi tadi, Pasukan Keselamatan telah membawa keluar satu mayat pengganas bertempat di Tanjung Batu di mana mayat pengganas tersebut adalah mayat yang telah ditembak dalam kejadian pada 6 Mac 2013. Mayat telah dihantar ke hospital untuk post mortem.

Statistik terkini jumlah keseluruhan tangkapan ialah seramai 453 orang dengan pecahan 126 tangkapan disiasat di bawah Security Offences (Special Measures) Act 2012, (SOSMA) manakala tangkapan kes-kes lain seramai 327 orang.

Jumlah mayat pengganas yang berjaya dibawa keluar adalah seramai 43 orang dan 03 mayat kanak-kanak serta jumlah pengganas yang ditembak mati adalah seramai 66 orang dan 03 orang mayat kanak-kanak.

Jumlah pegawai/anggota pasukan keselamatan yang tercedera seramai 11 orang dengan pecahan 8 orang PDRM dan 3 dari ATM.

Jumlah mayat yang telah dikebumikan adalah seramai 29 orang.
-

Friday, 29 March 2013

PDRM jamin keselamatan kawasan terjejas akibat pertempuran


Polis hari ini memberi jaminan keselamatan kepada penduduk di empat daripada lima kawasan yang terjejas akibat pertempuran antara penceroboh militan dan pasukan keselamatan di Lahad Datu, Sabah.
Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Salleh Mat Rasid berkata, keempat-empat kampung itu ialah Kampung Tanduo, Kampung Tanjung Batu, Kampung Labian dan kawasan Tanjung Bilis.
"Rancangan seterusnya ialah untuk membawa masuk semula penduduk kampung ke kediaman masing-masing dan hidup seperti sedia kala,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan sumbangan Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan kepada lapan keluarga anggota polis yang terkorban dalam krisis pencerobohan itu di Pusat Latihan Polis, di sini hari ini.
Sumbangan berbentuk bantuan RM10,000 untuk setiap balu, 19 netbook dan RM200 untuk anak-anak wira yang terkorban itu disampaikan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim.
Turut hadir Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar.
Ismail dalam ucapannya berkata sumbangan itu menunjukkan keprihatinan kementerian itu terhadap pengorbanan anggota pasukan keselamatan dalam menjamin kedaulatan dan keselamatan negara. - Bernama
-

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...