Saturday 30 March 2013

SPR sangkal dakwaan rakyat Malaysia di luar negara tidak berpeluang mengundi


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menyangkal dakwaan segelintir pihak kononnya rakyat Malaysia di luar negara tidak diberi peluang untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, dakwaan itu tidak berasas sama sekali kerana Akta Pilihan Raya 1958 telahpun dipinda bagi membolehkan mereka mendaftar sebagai pemilih.

"Saya dapat tahu ada pihak yang mengatakan berjuta-juta rakyat Malaysia di luar negara tidak dihiraukan dan menjadi mangsa pada sistem pilihan raya kali ini,” katanya.

Setakat pagi ini, SPR hanya menerima 5,167 permohonan daripada rakyat Malaysia di luar negara untuk mengundi melalui pos pada pilihan raya kali ini, katanya kepada pemberita selepas memberikan taklimat akhir PRU-13 kepada ketua-ketua jabatan dan pegawai kanan kerajaan negeri Selangor di sini.

Mengikut rekod, Abdul Aziz berkata, negara paling ramai rakyat Malaysia mendaftar sebagai pengundi ialah Australia iaitu 1,206 orang diikuti United Kingdom (871), China (513), Amerika Syarikat (342) dan Taiwan seramai 183 pengundi. - Bernama

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...