Tuesday 26 March 2013

HOT NEWS: DUN Negeri Sembilan Bubar


Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Datuk Razak Mansor akan memaklumkan secara rasmi mengenai pembubaran secara sendiri DUN negeri ini kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Rabu.
Beliau berkata pemakluman itu bagi membolehkan badan pengendali pilihan raya mengadakan pilihan raya bagi negeri ini dalam tempoh 60 hari selepas DU Nterbubar secara sendiri pada Khamis.
"Itupun jika Yang Dipertuan Besar Tuanku Muhriz Tuanku Munawir tidak membubarkan DUN esok di mana baginda masih boleh berbuat demikian di bawah Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri.
"Tapi jika tidak ada pembubaran pada Rabu, mungkin pada sebelah petang saya akan menghantar makluman kepada SPR kerana pada tengah malamnya DUN sudah terbubar," katanya.
Sementara itu, Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata pihaknya mempunyai tempoh selama 60 hari selepas Khamis ini untuk menentukan tarikh bagi penamaan calon dan pilihan raya bagi negeri ini.
Bagaimanapun katanya, SPR mempunyai masa yang cukup untuk menunggu sehingga semua DUN di negeri lain dan Dewan Rakyat terbubar dengan sendirinya sebelum membuat sebarang keputusan untuk mengadakan pilihan raya.
"SPR juga akan mengadakan mesyuarat khas mengenai perkara ini pada masa yang sesuai yang akan ditentukan kelak," katanya.
Negeri Sembilan yang mempunyai 36 kerusi DUN adalah negeri pertama yang terbubar secara automatik pada Khamis ini selepas cukup tempoh lima tahun.
Tempoh lima tahun Dewan Rakyat pula berakhir 28 April depan.
Pada pilihan raya umum lalu, Barisan Nasional membentuk kerajaan Negeri Sembilan selepas memenangi 21 kerusi sementara selebihnya dimenangi DAP (10), Parti Keadilan Rakyat (4) dan PAS satu kerusi.
Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata pimpinan parti-parti pakatan pembangkang membincangkan pada mesyuarat pada Selasa mengenai tarikh pembubaran dewan undangan negeri yang ditadbir oleh pembangkang iaitu Selangor, Kelantan, Kedah dan Pulau Pinang.
Sebelum itu, penasihat DAP Lim Kit Siang mencadangkan dewan undangan di empat negeri itu dibubar serentak dengan pembubaran Parlimen untuk memudahkan pengundi menunaikan tanggungjawab. BERNAMA

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...