Wednesday 27 March 2013

Guan Eng Main Tarik Tali!


Kerajaan Negeri Pulau Pinang dilihat tidak bersungguh-sungguh untuk mengekalkan kemasukan pelaburan asing ke negeri ini dan terus berdiam daripada menjawab persoalan mengenai perkembangan ekonomi, kata Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Uban, Goh Kheng Sneah.

Beliau berkata kerajaan DAP itu juga sehingga Selasa masih gagal membuat penjelasan mengenai pembatalan kontrak pelaburan sebuah syarikat asing melibatkan nilai sebanyak RM2.2 bilion.

"Sekarang kita mahu beliau (Ketua Menteri Lim Guan Eng) jelaskan berapa nilai sebenar pelaburan asing ke negeri ini bagi tahun 2010 hingga 2012 dan apakah sasaran nilai pelaburan untuk tahun ini dan dua tahun akan datang.

"Semua ini penting kerana ia melibatkan soal ekonomi negeri yang nyata akan memberi kesan kepada seluruh rakyat," katanya kepada pemberita, di sini pada Selasa.

Khamis lepas, Goh bersama Naib Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Ong Thean Lye membuat pendedahan mengenai keadaan semasa ekonomi negeri yang terus merudum apabila mencatatkan jumlah pelaburan bernilai RM2.47 bilion pada 2012 berbanding RM9.11 bilion pada 2011 dan RM12.24 bilion (2010).

"Kita tidak mahu kerajaan negeri hanya pandai mensensasikan kemasukan pelaburan asing yang belum pasti tetapi menyembunyikan jumlah pelabur yang telah keluar," katanya.

Dalam perkembangan lain, pihaknya juga menyelar dakwaan yang menyatakan kerajaan negeri berjaya membawa masuk sebuah syarikat asing ke negeri ini.

"Kenyataan itu jelas tidak benar kerana syarikat yang dimaksudkan itu mempunyai operasi di China dan bukannya di negara ASEAN seperti yang didakwa," kata Goh. BERNAMA

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...