Friday 29 March 2013

Papar Gambar: Syed Ali Beri Tempoh Seminggu Kepada PKR Pahang Mohon Maaf


Ketua Umno Bahagian Cheras Datuk Seri Syed Ali Alhabshee memberi tempoh seminggu bermula pada Khamis kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pahang untuk memohon maaf secara terbuka kerana meletak gambarnya pada poster sebuah program anjuran parti pembangkang itu.

"Saya beri tempoh seminggu untuk mereka membuat permohonan maaf secara terbuka menerusi media cetak dan elektronik, jika tidak saya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak terbabit," katanya di sini.

Syed Ali melahirkan rasa kesal, kecewa dan dukacita atas tindakan tidak bertanggungjawab PKR Pahang yang dengan sengaja memuatkan gambarnya pada satu poster ceramah/pidato Lahad Datu yang dijadualkan di Markas PKR Ranting Indera Mahkota 2, Kuantan malam Jumaat ini.

Beliau berkata poster itu turut dipaparkan dalam laman sesawang pahangdaily.blogspot.com.

"Sesungguhnya saya, secara sedar atau tidak, tidak ada kaitan dan tidak pernah terbabit dalam apa jua program anjuran pembangkang khususnya PKR Pahang, kerana jiwa dan perjuangan saya adalah untuk Umno, Barisan Nasional (BN) dan Malaysia," katanya.

Beliau menyifatkan perbuatan itu sebagai satu perbuatan khianat, sabotaj dan berniat jahat bertujuan untuk mencemarkan reputasi dan kredibilitinya selaku pemimpin politik dan ketua Umno Bahagian Cheras serta setiausaha badan perhubungan Umno/BN Wilayah Persekutuan.

"Perbuatan khianat dan tidak bertanggungjawab itu pada hemat saya, jelas bermotifkan politik dengan sengaja melakukan hasutan, provokasi dan cuba memecahbelahkan perpaduan di kalangan anggota Umno dan BN khususnya ketika bahang pilihan raya umum (PRU) ke-13 semakin hampir," tegas beliau. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...