Thursday 17 January 2013

L. Krishnan Terima Anugerah Tokoh Perfileman Malaysia



Penerbit dan pengarah filem, Tan Sri Dr. L. Krishnan telah diberi penghormatan dan penghargaan dengan menerima Anugerah Tokoh Perfileman Malaysia.

Anugerah itu diberikan oleh Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) atas sumbangannya kepada industri filem tempatan serta kejayaan beliau dalam melahirkan ramai bintang filem terkenal sejak zaman Shaw Bros. Studio pada tahun 40-an di Singapura sehingga kini.

"Sepanjang 66 tahun berkecimpung dalam industri perfileman, ini adalah anugerah yang paling besar buat saya berbanding anugerah lain yang pernah diterima.

"Saya rasa dihargai lebih-lebih lagi mengenangkan jatuh bangun kerjaya yang pernah dilalui bersama rakan seperjuangan lain dahulu," katanya.

L.Krishnan, 90, ditemui selepas majlis Malam Penghargaan Anugerah Tokoh Perfileman Malaysia yang diadakan di Hotel Sheraton Imperial di sini, malam Selasa.

Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Menteri KPKK, Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim. Turut sama Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Seri Kamarudin Siaraf dan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Datuk Md Afendi Hamdan.

Selain itu, L. Krishnan atau nama sebenarnya Lakashmanan Krishnan turut diberikan pingat, sijil penghargaan dan wang tunai berjumlah RM30,000.

Seniman Tan Sri P. Ramlee antara bintang filem yang diasah bakat lakonannya oleh L. Krishnan menerusi filem arahan beliau, Bakti di samping bintang filem lain yang masih hidup seperti Datuk Mustapha Maarof, Wahid Satay, Latifah Omar, Datuk Maria Menando dan Datin Rosnani Jamil.

Malam Penghargaan Tokoh Perfileman Malaysia anjuran Finas turut menyaksikan kehadiran bintang-bintang filem lain dari Singapura yang antaranya seperti Neng Yatimah, Momo Latif, Hashimah Yon dan Kassim Masdor.

Anugerah Tokoh Perfileman ini merupakan sebahagian daripada inisiatif kerajaan dalam menghargai jasa dan pengorbanan insan seni terutamanya di bidang perfileman sehingga menjadikan industri kreatif ini sebagai salah satu sektor yang menyumbang pembangunan ekonomi negara. (mStar Online)

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...