Saturday 26 January 2013

Ini Yang Buat Anwar Tak Tahan!


Media Amerika Syarikat (AS) di pantai timur memberikan liputan meluas lawatan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini ke kawasan Semenanjung Gaza di bawah pentadbiran Hamas. 

Banyak laporan berita memaparkan gambar Najib, memakai jaket hitam dan seluar kuning air tetapi tanpa tali leher, tiba di Semenanjung Gaza untuk melihat sendiri situasi di kawasan itu. 
Bagaimanapun, banyak daripada laporan itu mencadangkan lawatan Najib itu dipergunakan oleh Hamas untuk memperlihatkannya sebagai "pendirian menentang Israel". 

Malahan, New York Times dalam laporannya menggunakan kapsyen “Hamas Paints Malaysian Premier’s Visit as a Stand Against Israel” (Hamas Gambarkan Lawatan Perdana Menteri Malaysia Sebagai Pendirian Menentang Israel), menggunakan gambar menunjukkan Najib sedang keluar dari kereta sebaik beliau tiba di Bandaraya Gaza. 

Menurut laporan New York Times, walaupun Najib menyifatkan lawatannya ke Semenanjung Gaza di bawah pentadbiran Hamas sebagai misi kemanusiaan, Hamas memilih untuk menggambarkannya sebagai "pendirian ingkar" terhadap sekatan Israel di Gaza. 

"Ini merupakan deklarasi Islam untuk memecahkan kepungan Israel ke atas Gaza," kata Perdana Menteri Hamas, Ismail Haniya ketika menyambut ketibaan Perdana Menteri Malaysia itu, isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Anifah Aman di Rafah, terletak di antara sempadan Gaza dan Mesir. 

Walaupun sekatan itu baru-baru ini dilonggarkan sedikit, kebanyakan eksport dari Gaza masih dilarang dan keadaan itu mengakibatkan perdagangan luarnya terjejas teruk. 
Lawatan Najib turut dilaporkan penerbitan lain seperti World Politics Review, laman web dasar luar berpejabat di Washington DC. 

Media AS dalam liputan mereka pada umumnya menyatakan walaupun Najib menyifatkan ia adalah lawatan kemanusiaan, tuan rumah cuba menunjukkannya sebagai tanda sokongan tidak berbelah-bahagi terhadap Hamas. 

Lawatan Najib itu juga dilakukan tatkala Israel sibuk dengan pengundian bagi pilihan raya Parlimen. 

“Haniya menyifatkan lawatan Najib sebagai "respons rakyat Palestin, Arab dan Islam" terhadap lawatan pada Selasa lalu oleh Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu ke Western Wall di Baitulmaqdis,” menurut laporan New York Times. 

Haniya dipetik sebagai menggelar Western Wall, dikenali sebagai Al Buraq dalam kalangan umat Islam, sebagai “dinding Arab dan Islam”, dan menambah “Baitulmaqdis adalah Islam”. 

Dalam lawatan lima jam beliau ke Gaza, Najib turut meletakkan batu asas sebuah kolej perindustrian yang dibiayai Malaysia dan juga menandatangani perjanjian dengan kerajaan Hamas bagi pembinaan semula pejabat perdana menteri yang dimusnahkan oleh Israel pada November ketika pertempuran dengan Hamas. 

Media AS juga melaporkan gesaan Najib kepada rakyat Palestin supaya berdamai, menyatakan beliau berharap rundingan baru-baru ini antara Hamas dan Fatah, dua kumpulan Palestin yang mengawal Tebing Barat akan membawa kepada pembentukan kerajaan perpaduan. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...