Tuesday 22 January 2013

3 Rockers Duda Gabung Hasilkan Album



Tiga penyanyi rock iaitu Radhi (OAG), Asheed (Def Gab C) dan CD Naz (Silkhanaz) memilih judul album mini Projek 3D (3 Duda: Dadidu) bersempena status duda yang mereka lalui.

Asheed, 39, berkata, walaupun dia sudah berkahwin semula pada Jun tahun lalu, perancangan berhubung album berkenaan sudah dibincangkan kira-kira tiga tahun lalu.

"Ketika projek khas ini dibincangkan kira-kira tiga tahun lalu, kami bertiga berstatus duda. Atas persamaan itu kami pilih tajuk 3 Duda untuk album mini.

"Memandangkan ia tertangguh agak lama sebelum dilancarkan, saya pun sudah berkahwin semula pada Jun tahun lalu," katanya.

Asheed ditemui pada majlis pelancaran album terbitan IMG Music Entertainment di Hard Rock Cafe di sini, petang Isnin.

Selain status duda, ketiga-tiga penyanyi ini juga mempunyai persamaan iaitu memiliki seorang anak hasil perkahwinan lalu.

Asheed berkata, dia tidak berniat untuk menyembunyikan status terkininya dengan pemilihan judul itu bagi projek tersebut.

"Bukan saya hendak sorok atau tipu peminat kerana mengekalkan judul 3 Duda tetapi projek ini lambat bermula sehinggakan saya sudah berkahwin terlebih dahulu.

"Tajuk ini kami kekalkan sebagai jenama projek kerana saya pernah bergelar duda sebelum ini manakala Radhi masih duda dan CD Naz pula bakal berkahwin semula pada pertengahan 2013," katanya.

Dalam pada itu, Radhi berkata, dia menghargai penantian dua rakannya untuk melancarkan projek tersebut walaupun ia tertangguh agak lama.

"Kalau diikutkan memang sudah lama album khas ini keluar tetapi saya berdepan kes cerai dan pemulihan dadah pula.

"Asheed dan CD Naz sanggup tunggu sampai saya keluar dari Rumah Pengasih untuk sambung projek ini.

"Malah, disebabkan penangguhan itu juga Asheed sudah berkahwin semula dan CD Naz akan berkahwin tidak lama lagi," katanya.

Bekas gitaris kumpulan Silkhanaz iaitu CD Naz pula berkata, pemilihan judul itu akan mudah diingati walaupun ia kedengaran lucu.

"Pada mata umum, mungkin status duda kelihatan kelakar tetapi bagi kami yang melaluinya ia tidak kelakar.

"Tidak seronok sebenarnya jadi duda tetapi kami pilih nama ini kerana ia menarik dan mudah diingati," katanya.

Album mini yang memuatkan empat lagu iaitu Roman Arogan, Lagu Baru, Gadis Rahsia 003 dan Pabila Hujan Turun turut diedarkan dalam bentuk digital.

Sumber

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...