Tuesday 22 January 2013

Lelaki Cedera Di Perut Dan Peha Akibat Ditembak



IPOH: Seorang lelaki cedera pada bahagian perut dan kedua-dua belah peha akibat ditembak seorang lelaki dipercayai kenalannya di sebuah pusat hiburan di Taman Wawasan, Parit Buntar dekat sini, Isnin.

Ketua Polis Daerah Kerian Supt Mat Fauzi Nayan berkata, kejadian tembakan antara pukul 1 hingga 2 pagi Isnin dipercayai berlaku selepas perselisihan faham antara mangsa berumur 24 tahun dan suspek berusia lingkungan 30-an.

"Pada mulanya berlaku pertengkaran antara suspek dan mangsa yang dipercayai mengenali antara satu sama lain. Suspek bertindak melepaskan dua das tembakan ke bahagian perut dan peha mangsa," katanya ketika dihubungi Bernama pada Isnin.

Suspek yang dipercayai mempunyai hubungan persaudaraan dengan pemilik pusat hiburan itu kemudiannya melarikan diri dan polis telah mengenal pasti identitinya, katanya.

Polis masih menyiasat motif kejadian dan sedang memburu suspek, katanya dan menurutnya kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Mat Fauzi berkata, mangsa menerima rawatan di Hospital Taiping dan kini berada dalam keadaan stabil.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menyalurkan maklumat di mana-mana balai polis. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...