Showing posts with label Jenayah. Show all posts
Showing posts with label Jenayah. Show all posts

Tuesday, 22 January 2013

Lelaki Cedera Di Perut Dan Peha Akibat Ditembak



IPOH: Seorang lelaki cedera pada bahagian perut dan kedua-dua belah peha akibat ditembak seorang lelaki dipercayai kenalannya di sebuah pusat hiburan di Taman Wawasan, Parit Buntar dekat sini, Isnin.

Ketua Polis Daerah Kerian Supt Mat Fauzi Nayan berkata, kejadian tembakan antara pukul 1 hingga 2 pagi Isnin dipercayai berlaku selepas perselisihan faham antara mangsa berumur 24 tahun dan suspek berusia lingkungan 30-an.

"Pada mulanya berlaku pertengkaran antara suspek dan mangsa yang dipercayai mengenali antara satu sama lain. Suspek bertindak melepaskan dua das tembakan ke bahagian perut dan peha mangsa," katanya ketika dihubungi Bernama pada Isnin.

Suspek yang dipercayai mempunyai hubungan persaudaraan dengan pemilik pusat hiburan itu kemudiannya melarikan diri dan polis telah mengenal pasti identitinya, katanya.

Polis masih menyiasat motif kejadian dan sedang memburu suspek, katanya dan menurutnya kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Mat Fauzi berkata, mangsa menerima rawatan di Hospital Taiping dan kini berada dalam keadaan stabil.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menyalurkan maklumat di mana-mana balai polis. - BERNAMA
-

Enam lelaki diserang kerana hutang RM30

IPOH – Seorang pemberi pinjaman dan lima rakannya cedera selepas diserang sekumpulan lelaki bersenjata kayu besbol dan parang di Tambun hanya kerana menuntut hutang RM30.

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Sum Chang Keong berkata, kejadian itu berlaku di Dataran Sunway di sini, pada pukul 7.30 malam Sabtu lepas selepas penganggur berumur 20 tahun itu berang dengan tindakan pemberi pinjaman itu.

"Suspek tidak puas hati dengan cara lelaki itu (pemberi pinjaman) meminta duitnya. Suspek bersama 14 lagi rakannya menyerang pemberi pinjam wang itu yang ketika itu bersama lima lagi rakannya,” katanya kepada pemberita.

Katanya, keenam-enam mangsa menerima rawatan pesakit luar di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini.

Beliau berkata, berdasarkan laporan, polis menahan tiga suspek dipercayai terlibat dalam kejadian itu di Taman Perpaduan, Tambun.

Katanya, enam yang lain ditahan 3 petang Isnin lepas di sebuah stesen minyak di Tambun, manakala enam suspek lagi ditahan pada hari yang sama di dua lokasi berbeza di Bercham. – BERNAMA
-

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...