Monday, 17 December 2012

HOT: K RAJAGOBAL DIGUGURKAN



BEKAS pemain kebangsaan dan pengkritik bola sepak, Serbegeth Singh berpendapat sudah tiba masanya tugas mengendalikan skuad Harimau Malaya diserahkan kepada Ong Kim Swee berikutan kegagalan ketua jurulatih, Datuk K Rajagobal mempertahankan kejuaraan Piala AFF 2012.

Menurut Serbegeth atau turut dikenali dengan panggilan Shebbie, pandangan disuarakan itu bukan hanya berasaskan kepada kegagalan di Piala AFF baru-baru ini, sebaliknya ia mengambil kira prestasi skuad negara yang merosot selepas bergelar juara rantau Asia Tenggara dua tahun lalu.

Bagi Penasihat Global kelab Liga Kejuaraan, Blackburn Rovers itu, skuad kebangsaan sepatutnya meningkat ke satu tahap yang lebih tinggi namun ia sebaliknya berlaku di bawah pimpinan Rajagobal.

“Selepas kita menjuarai Piala AFF, kita masih lagi dalam era eksperimen pemain, sepatutnya kita sudah melangkah ke satu tahap lagi, tapi sebaliknya kita seperti masih ‘meraba-raba’.

“Kita melakukan eksperimen dengan mengharapkan kita boleh berada di kemuncak prestasi dua tahun kemudian. Untuk maju ke depan, kita harus memiliki jurulatih yang boleh meningkatkan prestasi pasukan yang kita miliki sekarang dan bukannya membentuk pasukan baru.

“Jangan fikir pandangan saya ini satu kritikan, sebaliknya ia satu persoalan yang harus kita bincangkan bersama, adakah Rajagobal mampu meneruskan tugas sebagai ketua jurulatih kebangsaan?” katanya yang dihubungi Arena Metro semalam.

Shebbie yang kini berada di London mengakui tidak boleh memberi ulasan terperinci mengenai permainan skuad kebangsaan dalam kejohanan AFF kali ini kerana hanya melihat sebahagian aksi menerusi YouTube.

Namun berdasarkan pemerhatiannya dalam tempoh dua tahun selepas Malaysia menjadi juara kali pertama Piala AFF, skuad kebangsaan berada dalam era kemerosotan selepas gagal melayakkan diri dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2014, kejatuhan ranking negara berikutan beberapa aksi buruk dalam aksi persahabatan antarabangsa yang dianggap tidak penting oleh Rajagobal.

Rajagobal, 56, dianggap jurulatih tempatan paling berjaya apabila membimbing skuad negara memenangi pingat emas Sukan Sea Laos 2009 serta Piala AFF 2010 di Jakarta dengan menewaskan Indonesia menerusi agregat 4-2.

Biarpun menyaksikan anak buahnya tersingkir di peringkat separuh akhir menerusi agregat 3-1 di tangan Thailand pada kejohanan Piala AFF Khamis lalu, Rajagobal masih mahu meneruskan misi utamanya iaitu kelayakan Piala Asia 2015 bermula Februari depan.


Manakala Kim Swee yang terkenal dengan kepakarannya menggilap pemain muda seperti Mohd Nazmi Faiz Mansor, Wan Zack Haikal Wan Nor dan Gary Steven Robbart pula menggalas misi mempertahankan pingat emas Sukan Sea Myanmar tahun depan selepas kejayaan di Jakarta tahun lalu.


“Dua masalah timbul jika Rajagobal terus menjadi jurulatih iaitu adakah pemain percaya dengan kemampuannya serta tekanan daripada penyokong sendiri,” jelas Shebbie.

Ketika ditanya kenapa jurulatih Harimau Muda A, Kim Swee yang menjadi pilihannya, bekas pemain pertahanan kebangsaan itu berkata: “Sudah tiba masanya untuk Kim Swee diberikan tanggung jawab lebih besar. Kita kena tahu, kejayaan bola sepak negara berasaskan kepada sistem pembangunan bola sepak di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ).

“Kim Swee cukup arif dengan sistem ini kerana beliau membimbing Harimau Muda A yang memiliki ramai pemain yang bagus. Jika beliau diberi peluang, beliau boleh menggabungkan dua pemain dari dua generasi iaitu generasi pemain Rajagobal dan generasi pemain Harimau Muda A yang ada sekarang. Dengan dua generasi ini kita boleh memiliki satu pasukan yang mantap. Tapi masalahnya siapa yang boleh menggantikan tempat Kim Swee bersama Harimau Muda? Bagaimanapun, Shebbie mengingatkan agar sumbangan dan kepakaran yang dimiliki Rajagobal tidak boleh diketepikan begitu saja.

“Rajagobal banyak berjasa kerana sudah membawa kita ke satu tahap baru, mungkin beliau boleh dilantik menjadi penasihat teknikal untuk melihat keseluruhan sistem termasuk skuad belia. Kerana beliau juga pernah membimbing skuad belia sebelum ini,” jelasnya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...