Tuesday 18 December 2012

LAGI BERBULU LA PAKATAN RAKYAT DENGAN DS ROSMAH



SATU demi satu khabar angin dan tohmahan dilemparkan ke atas wanita berhati waja ini. Pelbagai cerita tidak berasas sengaja dicipta oleh pihak tertentu dengan niat untuk menjatuhkan kredibilitinya.

Namun, itu semua sama sekali tidak mematahkan semangat beliau untuk terus berbakti kepada masyarakat, terutama golongan yang kurang bernasib baik.

Kecekalan dan kegigihan seorang isteri kepada Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dalam meneruskan liku-liku hidup sebagai Wanita Pertama Malaysia kini diabadikan dalam sebuah biografi khas yang bertajuk Rosmah Mansor.

Pengenalan terhadap buku yang bakal memasuki pasaran pada Januari 2013 itu telah diadakan dalam satu majlis prapelancaran buku Rosmah Mansor yang diadakan di Hotel Grand Hyatt, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah turut berkenan mencemar duli dan menyempurnakan majlis memperkenalkan buku yang diterbitkan Yayasan Amanah Perdana Malaysia (YAPM) itu.

Turut berangkat ke majlis itu ialah Sultanah Pahang, Sultanah Kalsom; Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan dan Pengerusi YAPM, Shamsulbahrin Ludin.

Naskhah hasil tulisan Siti Rohayah Attan dan Noraini Abdul Razak itu antara lain turut memaparkan mengenai kisah hidup Rosmah semenjak dari zaman kanak-kanak sehinggalah sekarang, yang boleh dianggap sebagai sebahagian daripada sejarah negara.

Pelbagai kisah

Menurut Shamsulbahrin, segala persoalan dan khabar angin mengenai Rosmah akan terjawab melalui buku setebal 162 muka surat itu yang akan mengupas dengan lebih mendalam lagi kisah hidup wanita yang dilahirkan di Negeri Sembilan itu.


“Ada antara fakta yang terdapat dalam buku tersebut tidak pernah diceritakan kepada sesiapa pun sebelum ini.

“Terlalu banyak cerita menarik yang akan didedahkan seperti kisah ketika Rosmah belajar di Kolej Tunku Kursiah, Negeri Sembilan, ketika dia belajar di universiti dan ketika memasuki alam pekerjaan,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis perasmian itu berakhir.

Tambah Shamsulbahrin lagi, turut diceritakan dalam buku tersebut ialah mengenai penglibatan Rosmah yang gigih dalam membangunkan program Permata Negara, selain aktiviti kemasyarakatan yang membabitkan pertubuhan bukan kerajaan dan pelbagai program di peringkat antarabangsa.

Sementara itu, penulis buku tersebut, Siti Rohayah berkata, segala kisah yang diceritakan dalam karya berkenaan merupakan kisah benar yang ditulis hasil temuramahnya bukan sahaja dengan Rosmah, malah individu lain yang turut mengenali beliau.

“Sejujurnya, saya sudah mengenali Rosmah semenjak dia belum bergelar isteri kepada Perdana Menteri lagi dan saya kenal hati budinya.

“Oleh itu, saya ingin mengajak masyarakat di luar sana untuk turut mengenali siapakah Rosmah Mansor yang sebenar, seterusnya membuang segala persepsi negatif yang pernah dilemparkan terhadapnya,” kata Siti Rohayah.

Sumber

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...