Tuesday, 18 December 2012

HANGAT: Alyah Rasa Terhina Pasal Baju Je



ALYAH, bukan satu nama baharu dalam industri seni muzik tempatan. Alyah, atau nama sebenarnya, Noor Hasliah Abu Hasan, 31, juga terkenal dengan cita rasa fesyennya yang sering mengikut trend terkini.

Selama ini, tidak pernah tercetus cerita Alyah mempunyai masalah dengan sesiapa termasuklah pereka fesyen.

Namun baru-baru ini, timbul satu isu kontroversi Alyah dan pereka fesyen terkenal tanah air.

Tidak dinafikan, selain laman sosial Facebook, laman Twitter juga kini menjadi tempat luahan perasaan kebanyakan masyarakat termasuklah pereka fesyen terkenal, Rizman Nordin dan Wan Mohd. Ruzaini Wan Jamil yang merupakan tonggak di sebalik jenama Rizman Ruzaini serta Hatta Dolmat.

Tiga pereka fesyen tersebut dikatakan tidak puas hati berhubung pakaian Alyah yang ditaja mereka pada majlis Anugerah Planet Muzik (APM 2012) yang berlangsung di Max Pavilion, Singapura, pada Sabtu lalu.

Menerusi laman Twitter, Alyah disifatkan sebagai seorang yang tidak menghargai jasa pereka fesyen dan mereka telah serik untuk bekerjasama dengan penyanyi itu.

Alyah sebelum ini dilaporkan telah meminta Hatta dan Rizman Ruzaini serta seorang pereka fesyen iaitu Amir Luqman bagi menghasilkan busana untuk acara berkenaan.

Namun sebaliknya, dia dikatakan hanya memakai pakaian rekaan Amir sahaja untuk persembahan pentas serta miliknya sendiri bagi acara karpet merah.

Alyah bagaimanapun telah meminta maaf melalui laman Twitter kepada Hatta Dolmat sejurus pulang dari Singapura.

Namun, ketika menghubungi Alyah, suara kecewa jelas terserlah ketika menjawab persoalan yang diberikan. Ikuti luahan perasaan Alyah terhadap isu tersebut.

Kosmo!: Anda pasti sudah ketahui sebab ramai media mencari Alyah. Jadi boleh anda, jelaskan isu berkaitaan baju tajaan Hatta Dolmat dan Rizman Ruzaini pada Anugerah Planet Muzik 2012?

ALYAH: Saya tahu dan sebenarnya sudah letih untuk jelaskannya lagi. Saya akui ia merupakan kesalahan daripada pihak saya juga. Saya kini sedang jelaskan bagi pihak orang lain. Apa yang pasti, baju tersebut memang tidak boleh pakai langsung. Saya memang berniat ingin jelaskan semua setelah sampai di Kuala Lumpur. Namun, semuanya sudah terjadi begini.


Adakah Alyah kecewa dengan apa yang terjadi. Mungkinkah Alyah tidak akan bekerjasama lagi dengan Hatta Dolmat dan Rizman Ruzaini selepas ini?

Saya tidak kisah sebenarnya, saya masih lagi boleh bekerjasama dengan mereka. Bagaimanapun, jika orang sudah tidak mahu kita lagi, mana mungkin kita mahu pergi pula kepada mereka. Saya bukan riak tetapi itulah hakikatnya.

Pada majlis itu juga, Alyah berjaya membawa pulang sebuah trofi hasil dari kemenangan Lagu Terbaik Serantau Anugerah Planet Muzik 2012. Bolehkah kongsi perasaan anda ketika itu?

Ia bercampur baur sebenarnya antara positif dan negatif. Sepatutnya saya berasa gembira dengan kemenangan tersebut kerana setelah 12 tahun ceburkan diri dalam industri, itu merupakan anugerah kedua saya.

Namun disebabkan banyak perkara yang tidak diingini berlaku, tambahan pula masalah kesihatan yang masih belum pulih, saya tidak dapat meraikan kemenangan tersebut. Ditambah pula dengan isu ini, saya tidak dapat meraikan kemenangan itu.

Mungkinkah Alyah mempunyai perancangan ingin berjumpa mereka dan selesai secara baik?

Memang saya ingin jumpa mereka selepas pulang dari Singapura, namun belum sempat saya jelaskan apa-apa, mereka sudah bertindak sedemikian. Mereka kata saya tidak hargai mereka, ia tidak benar sama sekali. Saya sangat hargai jasa pereka yang mana bukan semua baju saya ditaja 100 peratus, ada juga yang dibeli daripada mereka.

Saya tidak mahu jawab dengan mendalam (cuma memohon maaf) melalui Twitter kerana tidak ingin mengaibkan sesiapa. Namun sejujurnya, untuk minta maaf (secara berdepan) mungkin tidak. Ia bukan kerana saya riak atau apa, namun saya rasa dihina dan maruah bagaikan dipijak.

Sepatutnya ini menjadi momen penting buat saya kerana saya tahu, sejak 12 tahun lalu memang susah saya ingin menggondol apa-apa anugerah.

Siapa yang mahukan perkara buruk yang terjadi. Tidak mengapalah, mungkin ini dugaan saya untuk menempuh dugaan pada tahun ini. Saya sentiasa berdoa agar Tuhan berikan yang terbaik buat saya.

Sumber

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...