Sunday, 17 March 2013

TERKINI Di Lahad Datu : Keluarga Jamalul Kiram Ditahan


Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata, anggota keluarga Jamalul Kiram antara 104 orang yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

"Mereka yang ditahan berada di sini dipercayai anggota keluarga (Jamalul) Kiram yang menggunakan nama lain...di sini mereka guna nama lain, di Filipina mereka guna nama lain. Ini kita sedang siasat," katanya dalam sidang media bersama Panglima Medan Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk Seri Zulkiple Kassim di Felda Sahabat 16 di sini, Ahad.

Beliau berkata, operasi membanteras pengganas tidak hanya tertumpu kepada keluarga Jamalul Kiram, yang didakwa dalang insiden pencerobohan di Sabah sejak 12 Februari lepas, kerana polis turut menjejaki kaum keluarga anggota militan lainyang dipercayai terlibat insiden pencerobohan itu.

"Kita juga turut menyiasat orang lain yang mempunyai kaitan dengan pengganas di bawah Sosma," katanya tanpa memberitahu bila mereka akan didakwa di mahkamah.

Mengenai kematian seorang tahanan di bawah SOSMA di Semporna pada Sabtu, beliau berkata, individu itu meninggal dunia di hospital akibat sakit dan bukannya membunuh diri seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Sehingga kini seramai 104 orang telah ditahan di bawah SOSMA dan 232 lagi ditahan atas pelbagai kesalahan lain.

Dalam pada itu, Hamza berkata keadaan di seluruh Sabah adalah terkawal termasuk di Semporna dan Lahad Datu, kecuali di kawasan operasi di gugusan Tanjung Labian, yang kini dalam proses pembersihan. - BERNAMA

1 comment:

  1. Ucapan takziah di atas pemergian wira-wira negara. Pengorbanan mereka amat disanjung tinggi

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...