Wednesday 20 March 2013

Matlamat Transformasi Kerajaan Berjaya Dicapai


Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa membentangkan kepada rakyat Malaysia bahawa sebahagian besar matlamat transformasi kerajaan yang dirancang telah berjaya dicapai dengan keadaan taraf hidup rakyat semakin baik, ekonomi negara semakin makmur manakala keadaan kewangan kerajaan terus bugar.

Perdana Menteri berkata perancangan dan pelaksanaan Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Program Transformasi Kerajaan (GTP) bukan sahaja membuktikan iltizam kerajaan terhadap falsafah pemandu negara 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, tetapi ia juga merupakan eksperimen paling berani yang pernah dilaksanakan oleh mana-mana kerajaan di dunia dalam mengamalkan prinsip ketelusan dan kepertanggungjawaban.

"GTP, ETP, NKRA (Bidang Keberhasilan Utama Negara), NKEA (Bidang Ekonomi Utama Negara) dan EPP (Projek Permulaan), semuanya dirangka serta digubal bagi meningkatkan kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia secara terancang.

"Sesungguhnya lagi, semua prakarsa ini, tidak lain dan tidak bukan, ialah langkah kerajaan untuk membolehkan setiap rakyat Malaysia mendapat akses kepada yang terbaik dalam kehidupan.

"Pekerjaan dengan pendapatan yang setimpal di mana, semakin tinggi kemahiran dan kepakaran yang dimiliki, semakin tinggi pula ganjarannya," katanya ketika membentangkan Laporan Tahunan Program Transformasi Negara di Auditorium Perdana, Angkasapuri, di sini malam Selasa, yang disiarkan secara langsung di RTM.

Najib berkata hasil perancangan teliti dan rapi serta pelaksanaan dasar-dasar pembangunan berkesan, Malaysia telah berubah daripada status negara pertanian berpendapatan rendah kepada sebuah negara perindustrian moden berpendapatan sederhana tinggi.

"Kita amat bersyukur bahawa Malaysia hari ini ialah manifestasi sebuah negara yang berjaya," katanya.

Katanya Malaysia juga ternyata bukti dan contoh sebagai sebuah negara yang amat progresif.

"Sejak kemerdekaan dan pada dekad-dekad awal, kerajaan telah menjadikan agenda membasmi kemiskinan, reformasi tanah, keadilan sosial, meningkatkan akses kepada setiap tahap pendidikan, perkhidmatan kesihatan untuk semua dan penjanaan kekayaan nasional sebagai agenda negara," katanya.

Beliau berkata selepas tiga tahun kerajaan memulakan inisiatif GTP, tujuh Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), antaranya NKRA menangani Kos Sara Hidup Rakyat telah berjaya membawa manfaat kepada kehidupan rakyat yang berpendapatan rendah.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...