Wednesday, 20 March 2013

PRU-13: Pemimpin BN, Pakatan Rakyat Digesa Tolak Keganasan Politik


Pemimpin Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat digesa untuk menolak keganasan politik, memandangkan pengundi menuntut 'tahap integriti dan kelakuan tertinggi' dari mereka.

Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bebas dan Adil (Bersih), Datuk S. Ambiga berkata, beberapa siri insiden ugutan dan ancaman termasuk serangan terhadap Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tian Chua dalam satu ceramah baru-baru ini perlu dihentikan.

"Keganasan politik adalah gejala pilihan raya kotor selain pilihan raya yang tidak bebas dan adil.

"Kita dengar mengenainya setiap hari. Jadi kami amat prihatin mengenainya kerana insiden itu sudah berlaku sebelum pilihan raya umum akan datang," katanya pada pelancaran buku Proham pada Isnin.

Ambiga mendesak pengundi untuk menolak calon yang mempunyai kaitan dengan keganasan politik.

Beliau berkata, sebuah kempen mengenai keganasan politik dan tata kelakuan untuk calon pilihan raya akan dilancarkan pada minggu depan.

Mengenai pemerhati pilihan raya, Ambiga berkata 10,000 sukarelawan diperlukan untuk memerhati proses Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Pertubuhan itu mempunyai hanya kira-kira 1,000 sukarelawan setakat ini.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah yang turut berada di majlis tersebut menggesa masyarakat untuk fokus kepada 30% pengundi atas pagar.

"Ini merupakan peluang kepada masyarat untuk melabur dalam 30% yang boleh melakukan kelainan dalam mengundi terhadap calon yang mereka percaya layak untuk dihantar ke Parlimen," katanya.

mStar

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...