Sunday 17 March 2013

PANAS Di Lahad Datu : The Gatekeeper!!!


Jabatan Imigresen akan bertanggungjawab sebagai 'gatekeeper' bagi mengawal pergerakan kemasukan warga asing terutama dari Filipina berikutan pewujudan kawasan Eastern Sabah Security Command(ESSCOM) di sepanjang perairan pantai timur Sabah.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Alias Ahmad berkata, ini sebahagian agenda utama jabatan itu untuk memudahkan kemasukan warga asing secara betul hanya melalui pintu masuk yang sah sejajar rancangan mewujudkan tiga kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di kawasan ESSCOM.

"Kita telah menyusun pendekatan strategi rancangan jabatan. Kita memberi fasilitasi, pada masa sama kita memperketatkan pintu masuk.

"Malaysia sebagai sebuah negara terbuka yang bebas tidak boleh menyekat orang masuk ke negara kita, tetapi mereka mesti mengikut peraturan dan undang-undang negara.

"Kita pastikan orang-orang yang berniat baik datang ke negara ini dan ia menjadi tugas bersama agensi-agensi yang mengawal pintu masuk," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat bersama jabatan dan pasukan keselamatan di Sandakan, Ahad.

Alias berkata, pihaknya telah mengenal pasti beberapa tempat mendarat yang menjadi pintu masuk tidak sah termasuk 31 lorong di daerah ini yang digunakan warga asing untuk memasuki secara haram dan 10 penempatan utama di perkampungan air yang juga didiami warga asing.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat dan risikan, pihaknya mengetahui beberapa pendaratan pengangkutan kapal kumpit yang tidak melalui pintu sah di CIQ di daerah ini.

"Kita lihat kepentingan ini (ESSCOM) dari aspek keselamatan sempadan kita, keselamatan negara, rakyat dan ekonomi yang mengambil kira semua sektor termasuk Sandakan yang merupakan satu daripada 10 daerah di bawah ESSCOM," katanya.

Menurutnya, agensi dan jabatan terlibat telah mengemukakan cadangan untuk melaksanakan koridor itu serta merta selaras permintaan Perdana Menteri, DatukSeri Najib Tun Razak untuk menjamin keselamatan di Sabah.

Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa pada Sabtu dipetik sebagai berkata, enam balai polis dan tiga lagi pusat CIQ akan diwujudkan di kawasan ESSCOM dalam tempoh sebulan.

Sementara itu Alias menafikan laporan media Filipina bahawa pihak berkuasa Malaysia merampas dan memusnahkan dokumen pengenalan sama ada pasport, kad pengenalan atau dokumen IMM13 kaum Suluk di Sabah.

"Saya nafikan laporan media (Filipina). Ia tidak benar dan itu dakwaan palsu yang bersifat propaganda," katanya.

Mengenai laporan bahawa warga Filipina yang tidak mempunyai dokumen sah ditangkap semasa Operasi Daulat di Lahad Datu, beliau berkata pihaknya masih menunggu kenyataan rasmi pasukan keselamtan yang menjalankan operasi itu dan menambah mereka yang ditahan itu boleh didakwa mengikut peruntukan bersesuaian di bawah Akta Imigresen serta Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...