Friday, 22 March 2013

PDRM Siap!!!!


Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersedia menghadapi pelbagai kemungkinan dalam pilihan raya kali ini biarpun dijangkakan lebih mencabar berbanding pilihan raya sebelum ini, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar.

Beliau berkata PDRM melakukan persiapan rapi kerana komited untuk merealisasikan hasrat dan dasar dalam menentukan ketenteraman awam diberi keutamaan demi kesejahteraan rakyat.

Katanya antara persiapan yang dibuat termasuklah mengadakan kursus, mengenal pasti bentuk penugasan pilihan raya, keperluan logistik dan kebajikan.

"Elemen tenaga sumber manusia dan sokongan logistik seperti kenderaan dan komunikasi perlu diaturkan penugasan secara strategik supaya semua situasi dapat ditangani. Persiapan juga termasuklah mentafsir tahap ancaman dan sebagainya," katanya dalam kenyataan yang disiarkan dalam laman Facebook PDRM pada Khamis.

Ismail berkata advokasi melalui media baharu seperti Facebook, Twitter, Portal Rasmi PDRM juga menjurus kepada kempen keamanan demi mencegah penularan hasutan dan berita palsu berkisar kepada PRU-13. Beliau menegaskan polis yang bertugas pada pilihan raya nanti tidak akan berkompromi dengan apa jua anasir dan bertindak tegas terhadap sesiapa yang melanggar undang-undang.

Katanya rakyat perlu diberi keyakinan bahawa ketenteraman dan keselamatan sepanjang proses pilihan raya kelak akan dijamin berjalan dengan lancar dan adil.

"Desas-desus dan hasutan yang mengapi-apikan keadaan huru-hara seperti rusuhan kaum dan keadaan kucar-kacir selepas PRU-13 haruslah ditangani dengan baik untuk tidak membangkitkan perasaan panik di kalangan masyarakat," katanya. -BERNAMA

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...