Enam balai polis dan tiga lagi pusat kastam, imigresen dan kuarantin akan diwujudkan di kawasan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) dalam tempoh sebulan, kata Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa, Sabtu.
"Itulah sasaran segera kami, perkara yang menjadi keutamaan kami ketika ini. Kami akan memulakannya dengan mewujudkan sebuah pejabat sementara sebagai pos kawalan polis dan imigresen.
"Kami akan memulakannya dengan secepat mungkin. Malah, tempatnya sudah dikenal pasti dan kami akan mengambil tindakan segera," katanya kepada pemberita.Ali mempengerusikan mesyuarat pertama jawatankuasa peringkat kebangsaan ESSCOM di sini malam Jumaat.
Mesyuarat dihadiri Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar, Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin dan wakil jabatan serta agensi berkenaan termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.
Ali berkata peningkatan keupayaan dan kemampuan angkatan tentera serta polis menjadi keutamaan dalam penubuhan ESSCOM.
Kerajaan memberi keutamaan segera terhadap perkara itu, sejajar dengan komitmennya untuk memelihara keselamatan di Sabah, kata Ali.
Beliau berkata struktur organisasi ESSCOM akan disiapkan dalam tempoh terdekat oleh sebuah pasukan perundangan.
"Sebaik saja penubuhan ESSCOM dipersetujui dari segi undang-undang, pelantikan CEO (ketua pegawai eksekutif) ESSCOM akan dibuat dengan persetujuan kerajaan negeri," katanya sambil menjelaskan bahawa semua syor jawatankuasa ESSCOM akan dikemukakan kepada kerajaan persekutuan bagi mendapatkan kelulusan.
Ali berkata sebagai langkah jangka panjang, kerajaan mengkaji untuk mewujudkan lebih banyak pembangunan termasuk dalam bidang perumahan dan infrastruktur.
"Batalion yang diperlukan pasukan tentera dan polis pula akan didatangkan pada separuh penggal. Tapi bagi memenuhi keperluan segera, mereka mempunyai beberapa mekanisme yang menggunakan kaedah lain," katanya.
Ditanya tentang jumlah perbelanjaan yang diperlukan untuk membiayai ESSCOM, Ali berkata beliau telah meminta semua pihak berkenaan mengemukakan perancangan segera dan jangka sederhana serta keperluan masing-masing.
"Saya rasa, dari segi belanjawan, kerajaan persekutuan akan menyediakan peruntukannya...bagi kami, ia merupakan satu keperluan mendesak," katanya.
Diminta menjelaskan tentang pelantikan CEO ESSCOM, beliau berkata: "Nama sebenarnya (jawatan) kami belum pasti lagi, tapi nampaknya nama paling hampir ialah ketua pegawai eksekutif, bunyinya lebih sedap.
"Kami akan selaraskan pasukan polis, tentera dan semua jabatan awam. Ada beberapa calon. Biarlah negeri ini sendiri (kerajaan Sabah) mengemukakan beberapa calon dan kemudian kami akan pilih seorang," tegas beliau sambil menyatakan bahawa mesyuarat ESSCOM berikutnya akan diadakan di Putrajaya Isnin ini. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment