Showing posts with label Esscom. Show all posts
Showing posts with label Esscom. Show all posts

Sunday, 17 March 2013

PANAS Di Lahad Datu : The Gatekeeper!!!


Jabatan Imigresen akan bertanggungjawab sebagai 'gatekeeper' bagi mengawal pergerakan kemasukan warga asing terutama dari Filipina berikutan pewujudan kawasan Eastern Sabah Security Command(ESSCOM) di sepanjang perairan pantai timur Sabah.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Alias Ahmad berkata, ini sebahagian agenda utama jabatan itu untuk memudahkan kemasukan warga asing secara betul hanya melalui pintu masuk yang sah sejajar rancangan mewujudkan tiga kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di kawasan ESSCOM.

"Kita telah menyusun pendekatan strategi rancangan jabatan. Kita memberi fasilitasi, pada masa sama kita memperketatkan pintu masuk.

"Malaysia sebagai sebuah negara terbuka yang bebas tidak boleh menyekat orang masuk ke negara kita, tetapi mereka mesti mengikut peraturan dan undang-undang negara.

"Kita pastikan orang-orang yang berniat baik datang ke negara ini dan ia menjadi tugas bersama agensi-agensi yang mengawal pintu masuk," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat bersama jabatan dan pasukan keselamatan di Sandakan, Ahad.

Alias berkata, pihaknya telah mengenal pasti beberapa tempat mendarat yang menjadi pintu masuk tidak sah termasuk 31 lorong di daerah ini yang digunakan warga asing untuk memasuki secara haram dan 10 penempatan utama di perkampungan air yang juga didiami warga asing.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat dan risikan, pihaknya mengetahui beberapa pendaratan pengangkutan kapal kumpit yang tidak melalui pintu sah di CIQ di daerah ini.

"Kita lihat kepentingan ini (ESSCOM) dari aspek keselamatan sempadan kita, keselamatan negara, rakyat dan ekonomi yang mengambil kira semua sektor termasuk Sandakan yang merupakan satu daripada 10 daerah di bawah ESSCOM," katanya.

Menurutnya, agensi dan jabatan terlibat telah mengemukakan cadangan untuk melaksanakan koridor itu serta merta selaras permintaan Perdana Menteri, DatukSeri Najib Tun Razak untuk menjamin keselamatan di Sabah.

Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa pada Sabtu dipetik sebagai berkata, enam balai polis dan tiga lagi pusat CIQ akan diwujudkan di kawasan ESSCOM dalam tempoh sebulan.

Sementara itu Alias menafikan laporan media Filipina bahawa pihak berkuasa Malaysia merampas dan memusnahkan dokumen pengenalan sama ada pasport, kad pengenalan atau dokumen IMM13 kaum Suluk di Sabah.

"Saya nafikan laporan media (Filipina). Ia tidak benar dan itu dakwaan palsu yang bersifat propaganda," katanya.

Mengenai laporan bahawa warga Filipina yang tidak mempunyai dokumen sah ditangkap semasa Operasi Daulat di Lahad Datu, beliau berkata pihaknya masih menunggu kenyataan rasmi pasukan keselamtan yang menjalankan operasi itu dan menambah mereka yang ditahan itu boleh didakwa mengikut peruntukan bersesuaian di bawah Akta Imigresen serta Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012. - BERNAMA
-

HOT : Enam Balai Polis Di Kawasan ESSCOM Dalam Masa Sebulan


Enam balai polis dan tiga lagi pusat kastam, imigresen dan kuarantin akan diwujudkan di kawasan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) dalam tempoh sebulan, kata Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa, Sabtu.

"Itulah sasaran segera kami, perkara yang menjadi keutamaan kami ketika ini. Kami akan memulakannya dengan mewujudkan sebuah pejabat sementara sebagai pos kawalan polis dan imigresen.

"Kami akan memulakannya dengan secepat mungkin. Malah, tempatnya sudah dikenal pasti dan kami akan mengambil tindakan segera," katanya kepada pemberita.Ali mempengerusikan mesyuarat pertama jawatankuasa peringkat kebangsaan ESSCOM di sini malam Jumaat.

Mesyuarat dihadiri Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar, Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin dan wakil jabatan serta agensi berkenaan termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

Ali berkata peningkatan keupayaan dan kemampuan angkatan tentera serta polis menjadi keutamaan dalam penubuhan ESSCOM.

Kerajaan memberi keutamaan segera terhadap perkara itu, sejajar dengan komitmennya untuk memelihara keselamatan di Sabah, kata Ali.

Beliau berkata struktur organisasi ESSCOM akan disiapkan dalam tempoh terdekat oleh sebuah pasukan perundangan.

"Sebaik saja penubuhan ESSCOM dipersetujui dari segi undang-undang, pelantikan CEO (ketua pegawai eksekutif) ESSCOM akan dibuat dengan persetujuan kerajaan negeri," katanya sambil menjelaskan bahawa semua syor jawatankuasa ESSCOM akan dikemukakan kepada kerajaan persekutuan bagi mendapatkan kelulusan.

Ali berkata sebagai langkah jangka panjang, kerajaan mengkaji untuk mewujudkan lebih banyak pembangunan termasuk dalam bidang perumahan dan infrastruktur.

"Batalion yang diperlukan pasukan tentera dan polis pula akan didatangkan pada separuh penggal. Tapi bagi memenuhi keperluan segera, mereka mempunyai beberapa mekanisme yang menggunakan kaedah lain," katanya.

Ditanya tentang jumlah perbelanjaan yang diperlukan untuk membiayai ESSCOM, Ali berkata beliau telah meminta semua pihak berkenaan mengemukakan perancangan segera dan jangka sederhana serta keperluan masing-masing.

"Saya rasa, dari segi belanjawan, kerajaan persekutuan akan menyediakan peruntukannya...bagi kami, ia merupakan satu keperluan mendesak," katanya.

Diminta menjelaskan tentang pelantikan CEO ESSCOM, beliau berkata: "Nama sebenarnya (jawatan) kami belum pasti lagi, tapi nampaknya nama paling hampir ialah ketua pegawai eksekutif, bunyinya lebih sedap.

"Kami akan selaraskan pasukan polis, tentera dan semua jabatan awam. Ada beberapa calon. Biarlah negeri ini sendiri (kerajaan Sabah) mengemukakan beberapa calon dan kemudian kami akan pilih seorang," tegas beliau sambil menyatakan bahawa mesyuarat ESSCOM berikutnya akan diadakan di Putrajaya Isnin ini. - BERNAMA
-

Saturday, 16 March 2013

ESSCOM & Kepentingannya Kepada Sabah


Baru-baru ini Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan kesediaan Kerajaan Pusat & Kerajaan Negeri Sabah untuk menubuhkan kawasan keselamatan khas di Sabah atau pun dikenali sebagai ESSCOM ( Eastern Sabah Security Command).

Insiden pencerobohan di Lahad Datu oleh pengganas Sulu serta pembunuhan ngeri enam orang anggota keselamatan di Semporna baru-baru ini menjadi faktor utama yang mendorong kepada penubuhan kawasan keselamatan khas ini.

Sebanyak lima batalion tambahan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan bantuan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) akan di tempatkan di ESSCOM, manakala lima lagi Balai Polis akan di bina di Sabah bagi memperkukuhkan keselamatan orang awam dan ketenteraman negeri.

Kawasan keselamatan khas ini akan berpusat di Lahad Datu, sementara empat lagi daerah yang termasuk dalam ESSCOM ialah Kudat, Kunak, Sandakan dan Tawau, yang ke semuanya berada di pantai timur Sabah meliputi kawalan ketat sepanjang 1,400 kilometer.

Kawasan yang sebegini panjang dan luas sememangnya terdedah kepada risiko keselamatan dan pembentukan ESSCOM ini menunjukkan Kerajaan Pusat telah mengambil iktibar dari insiden pencerobohan itu sebagai pengajaran berguna.

Usaha menambah baik aspek keselamatan sempadan Sabah ini merupakan langkah pro aktif yang membuktikan keprihatinan Kerajaan dalam menjaga keselamatan rakyat negeri ini. Dari sudut lain, kebanjiran pendatang asing juga akan dapat di kekang.

Kewujudan ESSCOM juga selain bermatlamat untuk membendung pencerobohan di Lahad Datu dari terus berulang di masa depan, di masa yang sama ia meningkatkan keyakinan para pelabur yang sebelum ini telah menjauhkan diri berikutan insiden tersebut.

Sekitar tahun 1970-an dulu di Sarawak pernah wujud Markas Keselamatan Kawasan Rajang (RASCOM) yang terbukti berjaya menghapuskan ancaman pengganas komunis di Sarawak yang kemudiannya diikuti dengan limpahan keamanan dan tumpuan pembangunan ekonomi dapat dilaksanakan.

Justeru itu kewujudan ESSCOM di Sabah juga diyakini mampu mencapai matlamatnya sama seperti kejayaan RASCOM sekaligus mengembalikan semula ketenteraman dan merancakkan semula kegiatan ekonomi di negeri ini.

Jering Daily
-

Tuesday, 12 March 2013

Kawasan Keselamatan Khas Sabah Dikenali Sebagai Esscom


Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman pada Isnin mengumumkan bahawa kawasan keselamatan khas sepanjang 1,400 kilometer di pantai timur Sabah akan dikenali dengan nama Eastern Sabah Security Command (Esscom).

Beliau berkata, nama Esscom itu dipersetujui oleh Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Sabah (JKKN) pada mesyuaratnya di sini, Isnin.

"Penggunaan nama Esscom juga dipersetujui oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan perincian butiran lanjut mengenai hal ini akan diumumkan oleh Perdana Menteri nanti," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa itu.

Khamis lepas, Najib mengumumkan pembentukan kawasan keselamatan khas ketika meninjau operasi pasukan keselamatan membanteras pencerobohan pengganas Sulu di Felda Sahabat 16, berdekatan dengan Kampung Tanduo, Lahad Datu.

Kumpulan pengganas dari selatan Filipina itu memasuki Kampung Tanduo pada 12 Februari lalu dan sejak itu menjadikan kampung tersebut sebagai kubu mereka serta enggan menyerah diri atau meletakkan senjata.

Pada 1 dan 2 Mac lalu, kumpulan pengganas itu telah bertindak ganas dengan melakukan serangan hendap terhadap pasukan keselamatan negara, mengakibatkan lapan anggota polis terkorban di Kampung Tanduo dan Kampung Simunul, Semporna.

Musa, semasa mengadakan persidangan video dengan Najib di Putrajaya pada Isnin, berkata rakyat menyambut baik pengumuman perdana menteri mengenai pembentukan kawasan keselamatan khas dari Kudat hingga ke Tawau.

Selain itu, lima batalion tambahan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan ditempatkan di lokasi strategik sepanjang kawasan itu dengan pusat kawalannya di Lahad Datu.

"Saya yakin, langkah ini akan meningkatkan lagi keyakinan rakyat, pelabur dan pelancong terhadap tahap keselamatan khususnya di kawasan pantai timur Sabah," katanya.

Pada persidangan video itu, Musa turut menghargai pengorbanan anggota keselamatan yang sedang bertugas menjaga keselamatan rakyat di Sabah khususnya di Lahad Datu.

"Pengorbanan anggota keselamatan tidak sekali-kali akan dilupakan sebaliknya rakyat Sabah akan terus mengingati dan menyanjung tinggi segala bakti dan pengorbanan mereka," katanya. - BERNAMA
-

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...