Saturday 9 March 2013

PM Lancar Skim Perumahan Pekerja, Bekas Pekerja Sime Darby


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat melancarkan Skim Perumahan Pekerja dan Bekas Pekerja Ladang Sime Darby Plantation di sini yang akan dijual pada harga RM100,000 seunit.

Di bawah skim tersebut, sebanyak 400 unit rumah teres setingkat berkeluasan lantai 800 kaki persegi akan dibina di kawasan seluas 40 ekar (kira-kira 16 hektar) di sini untuk dimiliki pekerja dan bekas pekerja syarikat perladangan itu.

Memuji inisiatif Kumpulan Sime Darby Berhad terhadap kebajikan pekerja dan bekas pekerja yang banyak berjasa, Najib ketika melancarkan skim itu berkata ia juga boleh disifatkan sebagai satu lagi janji kerajaan yang ditepati.

"Langkah ini menjadikan Sime Darby pendahulu dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta dalam menjaga kebajikan para pekerja," katanya, sambil menambah bahawa projek yang akan memakan masa selama 24 bulan untuk disiapkan itu akan dimulakan sebaik mendapat kelulusan pelan dan berkaitan.

Turut hadir ialah Pengerusi Sime Darby Berhad Tan Sri Samsudin Osman, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Sime Darby Berhad Datuk Mohd Bakke Salleh, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri G. Palanivel dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar.

Najib berkata ungkapan bahawa manusia atau pekerja adalah aset yang paling bernilai pada mana-mana syarikat tidak wajar hanya tinggal sebagai ungkapan sahaja kerana ia mesti diterjemahkan ke dalam bentuk tindakan.

"Ini supaya pekerja-pekerja kita apabila kebajikan mereka dijaga dengan sebaik-baiknya, mereka akan menjadi pekerja yang setia dan produktif kepada syarikat mereka," katanya.

Perdana Menteri berkata ia merupakan ramuan yang terbaik kerana kesejahteraan rakyat mestilah dikongsi bersama dan kekayaan negara tidak hanya dirasai sebahagian daripada penduduk sahaja.

"Apabila ketidakseimbangan menjadi semakin lebar lagi jurangnya, maka kesan buruk akan kita lihat, bukan sahaja daripada segi masalah sosial tetapi 'the long-term competitiveness' (daya saing jangka panjang) akan terjejas," katanya.

Beliau berkata sesuai dengan model pembangunan negara dan falsafah yang diamalkan, kerajaan akan memastikan bahawa kadar pertumbuhan negara akan berkembang pada tahap yang setinggi mungkin.

"Kita akan buat langkah-langkah intervensi supaya jaringan keselamatan sosial dalam negara kita dan pengagihan kekayaan itu akan menjurus kepada yang lebih adil dan saksama," katanya.

Najib juga meminta GLC agar berpegang kepada falsafah yang ditekankan kerajaan iaitu menyediakan kepimpinan dan pengurusan GLC yang cekap dan berintegriti untuk meningkatkan daya saing mereka.

"Apabila keadaan ini wujud, maka syarikat-syarikat GLC akan dapat meraih peluang perniagaan secara lebih meluas sama ada di dalam mahupun di luar negara.

"Dengan cara ini, maka pencapaian syarikat GLC tersebut akan turut menyaksikan kadar pertumbuhan yang sangat meyakinkan," katanya.

Sementara itu, Samsudin dalam ucapannya berkata Pulau Carey merupakan penempatan kepada lebih 1,200 pekerja ladang atau 3.2 peratus daripada jumlah tenaga kerja perladangan Sime Darby di seluruh Malaysia.

"Kawasan yang dipilih ini adalah sangat strategik kerana ia memiliki beberapa infrastruktur sedia ada seperti jalan raya berturap yang menghubungkan kawasan ini ke lebuh raya berhampiran serta akses kepada kemudahan-kemudahan awam seperti sekolah," katanya.

Beliau berkata Sime Darby juga akan membina hab komersil yang akan merangkumi kemudahan seperti klinik serta Kedai Rakyat 1Malaysia dan dewan serba guna untuk kawasan penempatan baharu itu nanti.

Setiap unit rumah tiga bilik tidur dan dua bilik air itu akan dibina menggunakan reka bentuk inovasi bermodul, ruang reka bentuk yang cekap dan bahan berkualiti. Skim perumahan itu adalah usaha sama Sime Darby Plantation, Sime Darby Property dan Yayasan Sime Darby. BERNAMA

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...