Saturday 9 March 2013

UPDATED 9 Mac 2.00 PM : Seorang Lagi Pengganas Sulu Ditembak Mati


Seorang lagi penceroboh militan Sulu maut ditembak pada 8 pagi tadi di Kampung Tanjung Batu, dekat sini, menjadikan jumlah keseluruhan kematian 53 orang.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, penceroboh itu ditembak mati pasukan keselamatan selepas bertindak keluar daripada kepungan pihak berkuasa seorang diri.

Selain itu, beliau berkata, 79 orang yang ditahan di beberapa kawasan di pantai timur Sabah kini disiasat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) bagi mengesahkan penglibatan mereka dengan kumpulan penceroboh berkenaan.

"Mereka ditahan kerana dipercayai terbabit dengan pencerobohan bersenjata yang menjadikan Kampung Tanduo dan Kampung Tanjung Batu sebagai kubu sejak 12 Februari lepas," katanya pada sidang media bersama Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin di markas operasi Op Daulat, Felda Sahabat 16, dekat sini hari ini.

Sejak pencerobohan itu lapan anggota polis terkorban, dua daripadanya gugur dalam pertempuran di Kampung Tanduo pada 1 Mac dan enam lagi dalam serang hendap di Kampung Sri Jaya, Simunul, Semporna sehari kemudian.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang meninjau markas Op Daulat di Felda Sahabat pada Khamis berkata, Malaysia menolak sebarang tawaran gencatan senjata dan menegaskan satu-satunya pilihan bagi penceroboh itu ialah meletak senjata dan menyerah diri tanpa syarat. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...