Thursday, 7 March 2013

PANAS! Rupanya Nur Misuari Tiada Apa-Apa Dalam MNLF


Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) mengutuk keras keganasan yang dilakukan pengganas Sulu di Lahad Datu dan Semporna di Sabah, kata pengerusinya Muslimin Sema.

Muslimin, yang dilantik sebagai pengerusi badan pembuat keputusan tertinggi pertubuhan itu, Jawatankuasa Pusat MNLF, pada 2008, berkata Nur Misuari hanya seorang anggota biasa jawatankuasa itu dan tidak mempunyai pengaruh dalam MNLF.

MNLF, katanya, menganggap rakyat Sabah dan Malaysia sebagai saudara mereka.

"Kami (MNLF) tidak menyokong apa yang sedang berlaku di Sabah (pencerobohan dan tindakan pengganas). Kami menolaknya. Kejadian di Sabah dicetuskan untuk memecahbelahkan sesama kita.

"Ia juga dilakukan untuk memutuskan ikatan antara Sabah dan selatan Filipina dan antara Malaysia dan Filipina. Mereka ingin memusnahkan ikatan itu (antara rakyat)," katanya dalam temu bual ekslusif dengan Bernama melalui telefon dari Manila.

Dua hari lepas, Malaysia menggunakan jet pejuang, tentera darat dan kenderaan pengangkut tentera berperisai untuk menggempur penceroboh bersenjata yang bersembunyi di Kampung Tanduo, Lahad Datu.

Operasi yang menggabungkan pasukan polis dan tentera dikenali sebagai "Op Daulat" itu berterusan hingga kini.

Pertempuran antara pasukan keselamatan Malaysia dan pengganas di Lahad Datu dan Semporna meragut nyawa lapan anggota polis dan sekurang-kurangnya 52 pengganas.

Diminta mengulas tentang kenyataan Misuari baru-baru ini bahawa MNLF bersedia menghantar pejuang bersenjatanya ke Sabah untuk membantu pengganas Sulu, Muslimin berkata beliau kecewa dengan kenyataan bekas pemimpin MNLF itu.

"Beliau tidak sepatutnya membuat kenyataan yang tidak bertanggungjawab itu. Saya sedih kerana tidak dapat menyekatnya daripada membuat kenyataan itu. Sabah dan Malaysia bukan musuh kami," katanya.

Ditanya sama ada terdapat anggota MNLF yang terlibat dalam kejadian di Sabah, Muslimin berkata jawatankuasa pusat barisan itu telah menjalankan penyiasatan tentang perkara berkenaan.

"Bagaimanapun, siasatan yang dibuat anggota jawatankuasa pusat di Tawi-Tawi dan Sulu mendapati tidak ada anggota MNLF yang terlibat dalam pencerobohan di Sabah. Kami tidak terlibat dalam apa jua bentuk keganasan," katanya.

Beliau berkata sekiranya terdapat anggota MNLF yang terlibat dengan keganasan di Sabah, mereka melakukannya secara peribadi dan tidak pernah mendapat restu daripada kepimpinan barisan itu.

"Sekiranya mereka terlibat, ia dibuat atas dasar individu kerana MNLF tidak pernah merestuinya," kata beliau sambil menegaskan bahawa kebanyakan orang Filipina yang tinggal di Sabah menjalani kehidupan secara baik dan aman. BERNAMA

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...