Tuesday, 5 March 2013

Berapa Ramai Lagikah Yang Perlu Dikorbankan Untuk Survival Politik Anwar?


Di saat ini majoriti rakyat Malaysia sedang memberikan tumpuan kepada isu pencerobohan bersenjata sekumpulan warga Filipina di Lahad Datu. Ada yang melahirkan rasa bimbang, takut, sedih, simpati dan tidak kurang juga berdoa agar kemelut di Sabah ini dapat diselesaikan secepat mungkin.

Namun, masih ada di kalangan mereka yang begitu biadap dalam mengeluarkan pendapat berhubung kemelut terbabit. Naib Presiden PKR, Tian Chua ketika ditanya oleh portal rasmi PKR, Keadilan Daily menegaskan insiden tersebut adalah merupakan satu konspirasi terancang oleh pihak pemerintah BN/Umno.

Kenyataan yang tidak sensitif itu, benar-benar mengejutkan semua pihak, kerana merasakan kemelut Lahad Datu adalah merupakan isu dan keselamatan negara yang tidak wajar untuk dipolitik. Apa yang menghairankan, sebagai ahli politik Tian Chua dilihat tidak bijak kerana ia bukan sahaja mengakibatkan kemarahan rakyat, malah dilihat boleh menyebabkan kemerosoton sokongan pengikut pakatan pembangkang.

Namun demi menyelamatkan survival pakatan pembangkang khususnya politik Anwar Ibrahim, Tian Chua terpaksa mengeluarkan kenyataan tersebut. Dan sekiranya diteliti, ia adalah merupakan satu strategi biasa untuk menyalahkan kerajaan dalam segala hal dan di masa yang sama menyelamatkan pakatan atas tindakan yang dilakukan sebelum ini.

Kemelut pencerobohan bersenjata di Lahad Datu sehingga kini telah mengorbankan seramai 7 orang perwira dari PDRM yang turut ditanggisi oleh sebilangan besar rakyat Malaysia.

Sebelum ini rakyat, telah dikejutkan dengan laporan yang dikeluarkan oleh Reuters, yang merupakan agensi berita antarabangsa paling berpengaruh berpengkalan di London mengenai penglibatan pembangkang di negara ini berhubung isu Lahad Datu.

Tidak cukup dengan itu media-media rasmi Filipina turut melaporkan perkara sama, yang memetik sumber dari perisikan tentera negara tersebut. Mereka melaporkan Anwar Ibrahim adalah merupakan dalang terhadap tragedi pencerobohan bersenjata itu.

Walaupun Anwar cuba menafikan penglibatannya terhadap isu ini, namun sekiranya dilihat secara keseluruhan, dakwaan tersebut mempunyai asas kebenarannya. Bagi yang tidak mengikuti perkembangan politik tanahair, Anwar sebelum ini sering mendakwa peluang pakatan pembangkang menumbangkan kerajaan BN/Umno adalah cerah walaupun pada hakikatnya adalah sebaliknya.

Ini disebabkan faktor sokongan rakyat di Sabah yang dikatakan telah mula cenderung menyokong ideologi mereka. Di tambah dengan isu kalimah Allah yang secara khususnya untuk menarik simpati pengundi Kristian di negeri tersebut termasuk Sarawak. Ini kerana umum mengetahui, Sabah dan Sarawak adalah merupakan faktor penentu kepada hala tuju politik di negara ini kerana sokongan mereka akan menentukan kerajaan di Putrajaya.

Modus operandi mereka mudah, kerana Anwar juga sedar kekuatan mulutnya dalam menabur pelbagai janji seperti yang dilakukan terhadap rakyat di negara ini mampu diguna pakai untuk isu Filipina.

Tambahan pula mengikut perkiraan statistik, peratusan rakyat Sabah berbangsa Sulu adalah di anggarkan seramai 60 ribu orang. Dengan kemasukkan penceroboh bersenjata yang mendakwa sebagai waris sah kesultanan Sulu ini diharapkan dapat memberikan undi simpati kepada pakatan pembangkang yang dikatakan menyokong gerakan ini.

Atas faktor hubungan  dan pertalian saudara di kalangan rakyat Filipina dan Malaysia yang berbangsa Sulu, maka sudah tentu pakatan pembangkang khususnya Anwar Ibrahim mengharapkan ia akan dapat memberikan kelebihan kepada gerakan pembangang.

Kesimpulannya, hanya untuk memastikan matlamat untuk ke Putrajaya tercapai, Anwar tergamak bersekongkol dengan siapa sahaja, walaupun ia terpaksa mengorbankan nyawa rakyat negara ini. Persoalannya mampukah rakyat menilai dan sedar akan pendekatan ‘matlamat menghalalkan cara’ ini?

Suara Generasi Baru

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...