Tuesday 5 March 2013

Semporna: Pengganas Sulu Didakwa Rancang Bakar Kampung

Teman dapat rasakan bagaimana penduduk di Semporna ni rasa. Perasan takut dan gelisah menghantui berkaitan insiden berdarah pencerobohan kumpulan bersenjata sejak Jumaat lalu. Satu temubual yang dijalankan oleh Kosmo menceritakan kegelisahan dan kebimbangan penduduk kampung di Semporna.

Tragedi berdarah yang mengorbankan enam anggota polis di Kampung Seri Jaya, Simunul di sini menakutkan penduduk kampung selepas mereka mendengar khabar angin kumpulan pengganas itu merancang membakar kampung mereka.
Seorang penduduk, Nazmah Datugis, 40, berkata, sejak tercetus khabar angin itu, dia dan ahli keluarga membuat keputusan meninggalkan kampung itu buat sementara kerana bimbang dengan khabar angin tersebut.
"Kami terpaksa meninggalkan rumah kerana kumpulan tersebut tidak berhati perut dan sanggup melakukan apa sahaja termasuk membunuh," kata Nazmah yang sedang berkemas untuk meninggalkan kampungnya semalam.
Wandi Ipong, 52, pula berkata, khabar angin sejak kelmarin itu membuatkan dia dan penduduk kampung berasa tidak selamat walaupun menyedari pihak polis memberi jaminan keadaan di kampung tersebut masih terkawal.
"Kami dan beberapa penduduk tidak sanggup menanggung risiko untuk terus tinggal di sini," kata Wandi.
Tambah Wandi lagi, dia dan keluarga akan berpindah buat sementara waktu ke rumah kenalannya di kampung berhampiran dan hanya akan pulang semula selepas keadaan benar-benar aman.
Sementara itu, Ketua Kampung Seri Jaya, Panglima Ramlee Saraman berkata, beliau tidak dapat menghalang tindakan beberapa penduduk yang ingin berpindah ke tempat lain.
"Saya sudah menasihati semua penduduk supaya bertenang namun ada sebahagian penduduk tetap mahu pindah," kata Ramlee.
Sementara itu, tinjauan di pekan Semporna mendapati walaupun keadaan tenang namun penduduknya hidup dalam keadaan berjaga-jaga.
Beberapa kedai dilihat hanya membuka separuh premis untuk urusan perniagaan.
Selain itu, difahamkan, sebahagian nelayan turut enggan turun ke laut kerana bimbang dengan kejadian berdarah yang merebak ke sini.
Seorang nelayan, Ibrahim Jailani, 40, berkata, nelayan-nelayan terutamanya dari Kampung Seri Jaya mengambil keputusan untuk tidak menangkap ikan sejak Sabtu lalu.
"Jika esok keadaan lebih tenang, baru nelayan bercadang turun ke laut. Hasil tangkapan ikan merupakan sumber pendapatan penduduk di sini," katanya ketika ditemui semalam.
Bagi Abdullah Sapayani, 55, pula, walaupun tiada serangan terbaharu di pekan ini namun penduduk masih berada dalam ketakutan.
"Tindakan polis menyerbu dan menembak balas tindakan kumpulan pengganas yang membunuh anggota polis merupakan tindakan tepat," kata Abdullah.
Seorang suri rumah, Norpaidah Samat, 40, berkata, sejak tinggal di sini pada tahun 1970, ini merupakan insiden berdarah pertama yang dilaluinya.
Sejak tercetus pergolakan itu, Norpaidah berkata, dia sekeluarga terpaksa menggunakan tilam dan kusyen tempat duduk untuk diletakkan di dinding rumah sebagai benteng.
"Saya takut. Anak-anak saya juga ramai yang masih kecil," katanya.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0305&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm#ixzz2McnNtFc1 

Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...