Friday 18 January 2013

Khazanah Catat Paras Tertinggi RM121.6 Bilion



KUALA LUMPUR: Jumlah portfolio pelaburan Khazanah Nasional Bhd mencatatkan rekod tertinggi baharu pada 2012, dengan Nilai Aset Realisasi (RAV) keseluruhan meningkat sebanyak 12.4 peratus kepada RM121.6 bilion pada 31 Dis, 2012 berbanding RM108.2 bilion pada tempoh sama 2011.

Pelarasan nilai bersihnya (NWA) melonjak RM16.9 bilion atau 24.3 peratus kepada RM86.9 bilion pada 31 Dis, 2012 berbanding RM70 bilion yang dicatatkan pada 2011, kata Pengarah Urusan Tan Sri Azman Mokhtar.

Semasa mengumumkan prestasi cabang pelaburan kerajaan pada Rebiu Tahunan Kesembilan di sini pada Khamis, beliau berkata, pertumbuhan dalam NWA tahun lepas mengatasi FBM KLCI dan beberapa indeks serantau seperti Indeks Hang Seng, MSCI Asia kecuali Jepun dan pasaran MSCI Emerging.

"Penyumbang utama kepada prestasi kukuh portfolio adalah tawaran awam permulaan IHH Healthcare Bhd dan Astro Malaysia Holdings Bhd.

"Pegangan Khazanah dalam sektor telekomunikasi dan kuasa juga menyumbang kepada pertumbuhan NWA," kata beliau.

Khazanah mencatatkan RM2.1 bilion dalam keuntungan sebelum cukai bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2012, membolehkan pembayaran dividen sebanyak RM1 bilion.

Setakat ini, ia mengisytiharkan dividen berjumlah RM4.5 bilion sejak 2010, kata Azman lagi.

Khazanah membuat tujuh pelaburan utama baharu berjumlah RM6.2 bilion pada tahun lepas dan 10 pelupusan yang membawa masuk RM4.8 bilion hasil, menjana keuntungan berjumlah RM2.1 bilion.

Antara 2004 dan 2012, ia membuat 95 pelaburan bernilai RM51.4 bilion dan 55 pelepasan pelaburan bernilai RM35.7 bilion, yang mencatatkan RM15.7 bilion keuntungan bagi pelupusan itu.

Mengulas mengenai keuntungan sebelum cukai yang rendah berbanding 2011 sebanyak RM5.3 bilion, Azman berkata sebahagian besar daripada RM5.3 bilion pada 2011 adalah daripada transaksi PLUS.

Mengenai unjuran tahun ini, Azman berkata Khazanah akan meningkatkan lagi operasi perniagaannya dalam sektor yang ia sudah beroperasi.

"Kami sudah mempunyai banyak projek dalam tangan, namun ada beberapa sektor yang kami boleh tembusi lebih jauh lagi. Kami merasakan portfolio yang kami miliki sekarang sudah kukuh, seimbang, berada pada kedudukan terbaik dan mudah pulih," katanya.

Dua pertiga daripada portfolionya kini dalam negara dan satu pertiga lagi di peringkat serantau.

Azman menambah, antara projek utama yang akan dilancarkan tahun ini meliputi pembangunan santai bersepadu Desaru di Johor, penyiapan pembinaan semula Datai Resort di Langkawi selain pelaburan bersama oleh Khazanah dan Temasek Holdings Pte Ltd di Iskandar Malaysia dan Singapura.- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...