Thursday, 17 January 2013

Pejabat PM Diseret Sama Dalam Pemilihan Majlis Belia Malaysia 2012?


mykmu.net Pertubuhan belia terbesar di negara ini, Majlis Belia Malaysia, akan mengadakan Mesyuarat Agung mereka pada hujung minggu ini. Sejak beberapa minggu lalu beberapa telah berlaku kempen dan pembentukan pasukan (chai) untuk menentang kepimpinan sedia ada. Sebagai pemerhati biasa pergerakan belia di negara ini saya melihat persaingan merebut jawatan dalam pertubuhan besar ini adalah satu proses biasa dalam kematangan demokrasi.

Dikhabarkan akan berlaku satu pertandingan secara besar-besaran antara dua kumpulan. Kumpulan pertama merupakan sebahagian besarnya penyandang jawatan yang diketuai oleh Presiden sekarang, Saudara Mohammed Maliki Rapiee dan Setiausaha Agung sekarang, Mohd Zaidi Aziz. Bagi kumpulan dijangka akan turut disertai saudara Muaamar Ghadafi Jamal Jamaludin yang akan bertanding jawatan Timbalan Presiden MBM. Jawatan Timbalan Presiden kosong berikutan penyandangnya, Tuan Haji Shukor Yussof telah melebihi usia 40 tahun.

Penulis melihat bahawa sepanjang dua tahun terakhir ini telah banyak perubahan dan pembaharuan dibuat oleh Maliki biarpun beliau bukanlah tokoh pemimpin yang dikenali ramai ketika mengambil alih MBM. Sepanjang dua tahun ini kepimpinan MBM sedia ada telah berjaya menyelamatkan Wisma MBM yang dirancang untuk dijual sebelum ini kerana masalah kewangan. Sebaliknya anak-anak muda ini telah menghidupkan kembali Wisma MBM dengan pembukaan kafe siber dan hostel. Ini seklaigus mewujudkan pendapatan sendiri bagi Wisma terbabit.

Selain itu, khabarnya banyak hutang-hutang lapuk MBM dengan Dewah Bandaraya Kuala Lumpur, Wisma Zhulian, Hotel dan pembekal telah distruktur semula. Beberapa saman pihak pembekal ke atas MBM sebelum ini juga telah ditarik balik dan diselesaikan secara bijaksana oleh kepimpinan sedia ada.

Namun “highlight” terbesar kepimpinan sedia ada tentulah kejayaan penganjuran Hari Belia Negara bersama Kementerian Belia dan Sukan yang telah diberi nafas baru dan mewujudkan gelombang keghairahan luar biasa sejak dua tahun kebelakangan ini.

Namun seperti kata pepatah, jika tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya. Justeru sungguhpun kepimpinan sedia ada telah menjalankan tugas dengan cemerlang, tidak ada salahnya jika mereka juga dicabar dalam pemilihan kali ini. Ini kerana mungkin terdapat pemimpin baru yang lebih hebat visi dan kemampuannya untuk membawa gerakan belia ke satu tahap yang lebih tinggi.


Atas sebab itu jugalah maka ada yang mengalu-alukan kemunculan pemimpin-pemimpin belia yang baru untuk menawarkan diri dalam MBM. Satu kumpulan lagi yang sedang berkempen hebat ialah melalui gabungan Jais Abdul Karim, Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dengan Presiden Majlis Belia Selangor, Datuk Irmohizam Ibrahim. Sungguhpun Jais akan bertanding Presiden, namun di kalangan perwakilan belia menggelar kumpulan ini sebagai “Team Datuk Irmo”.

Saya percaya ruang demokrasi harus terus subur dengan pertandingan jawatan-jawatan utama. Jika tidak diperingkat Presiden pun sekurang-kurangnya di peringkat Naib Presiden yang menjadi nadi penting kepada kepimpinan pelapis MBM pada masa akan datang.

Namun cabaran yang dibuat secara berkumpulan ini sangat merbahaya kepada perpaduan gerakan belia. Tambah merbahaya jika apa yang didakwa oleh beberapa blog ini benar-benar berlaku. Blog tipugila.blogspot.com dan parpukari.blogspot.com melaporkan terdapat usaha-usaha menggunakan Pejabat Perdana Menteri dalam pemilihan MBM kali ini. Menurut laporan blog-blog tersebut, dan juga sumber-sumber rapat dengan penulis, terdapat cubaan dari penyokong Datuk Irmohizam mendakwa kumpulan mereka direstui oleh Perdana Menteri.

Penulis tidak pasti apakah jawatan Irmohizam di Pejabat PM. Ada yang mendakwa beliau tidak pernah bekerja dengan pejabat Perdana Menteri, dan ada pula yang mendakwa beliau merupakan Pegawai Khas kepada Y.A.B. Perdana Menteri. Sama ada benar atau tidak, adalah tidak penting.

Yang penting Pejabat Perdana Menteri harus menjarakkan diri dari pemilihan ini kerana ia menimbulkan rasa kurang senang ramai perwakilan belia.

Jangan nanti kerana jawatan yang tidak seberapa tumpuan kita menarik sokongan belia kepada Barisan Nasional akan terencat. Jangan kerana jawatan majlis belia, imej Perdana Menteri di kalangan belia akan terjejas.

Jika benar Irmohizam merupakan Pegawai Khas Perdana Menteri wajarlah beliau memikirkan cara terbaik membantu Perdana Menteri bukannya menambah masalah kepada Perdana Menteri. Jika beliau tidak mempunyai kaitan dengan pejabat Perdana Menteri, maka eloklah beliau membuat kenyataan umum menafikan dakwaan ini.

Ambillah iktibar pada pemilihan penggal lalu apabila ada mereka yang berkepentingan dikatakan cuba mencaturkan pucuk kepimpinan MBM menggunakan nama Perdana Menteri. Akibatnya, banyak masa terpaksa digunakan untuk memulihkan keadaan antara kepimpinan MBM dengan kerajaan.

Oleh kerana pencalonan jawatan hanya akan dibuka esok, mereka yang terbabit berfikirlah dengan waras sebelum memporak-perandakan Majlis Belia Malaysia.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...