Saturday, 15 December 2012

Shah Rukh Khan Kagum Dengan Tun Mahathir



Aktor Bollywood Datuk Shah Rukh Khan mengakui dia kagum dengan cara dan falsafah bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad membangunkan negara.

Shah Rukh Khan berkata, dia sering mengikuti falsafah Mahathir yang memandang sesuatu perkara 'di luar kotak' dalam setiap keputusan atau perancangan yang dilakukan.

"Saya mula mengenalinya sejak 15 hingga 20 tahun yang lalu.

"Sejak mengenali Mahathir hidup saya lebih bermakna kerana beliau umpama mentor dan inspirasi buat diri sendiri.


"Falsafah yang dimiliki oleh beliau (Mahathir) amatlah luar biasa dan saya sering cuba mengikut cara dia berfikir dalam melakukan sesuatu perkara," katanya kepada mStar Online.


Shah Rukh ditemui selepas meraikan ulang tahun Mahathir ke-87 yang dianjurkan jenama sut lelaki, Lord's Tailor di Hotel Le Meridien, dekat sini pada malam Jumaat.

Aktor yang merupakan tetamu khas pada majlis tersebut turut menghadiahkan lagu ulang tahun 'belated birthday' dan Kuch Kuch Hota Hai kepada Mahathir yang ditemani isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.


Pada majlis tersebut, Shah Rukh berkata, bapa pembangunan negara itu merupakan sahabat karibnya dan dia akan memastikan untuk berjumpa dengan beliau beberapa kali dalam setahun.

Sementara itu, Mahathir yang menyambut hari lahirnya pada 10 Julai lalu berkata, dia gembira apabila aktor tersebut sanggup menghadiri majlis tersebut.

"Terima kasih Shah Rukh kerana sanggup terbang dari London, England untuk bersama dengan saya.

"Kalau nak tahu rahsia untuk kekal awet muda, kita kena sambut hari lahir dua kali setahun macam saya. Baru dapat hadiah banyak," selorohnya ketika memberikan ucapan.

Seramai 200 tetamu daripada kalangan orang kenamaan dan selebriti diundang ke majlis sambutan tersebut.

Antara selebriti yang hadir ialah Umie Aida dan suami Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan, Vanidah Imran dan Rashidi Ishak, Esma Daniel dan isteri, Eja dan suami, Sofea Jane dan Fizz Fairuz.

Penyanyi Amanda Imani dan Datuk Yusni Hamid menghiburkan tetamu dengan iringan muzik Datuk Mokhzani Ismail.



No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...