NEELOFA dan kontroversi bukan perkara yang asing. Baru reda dengan beberapa siri kontroversi termasuk kisah cinta bersama Hans Isaac, nama Neelofa, 23, kembali menjadi sebutan semula apabila baru-baru ini, pereka fesyen, Nurita Harith mendakwa Neelofa bersikap kurang ajar dan tidak profesional di akaun Twitter miliknya.
Status yang ditulis Nurita berbunyi: “Harap semalam merupakan kerjasama terakhir saya bersama Neelofa. Sangat kurang ajar dan tidak profesional.”
Bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung isu terbaharu itu, Kosmo! menghubungi Neelofa pada Isnin lalu iaitu sehari sebelum dia terbang ke Dubai untuk bercuti bersama keluarganya.
Kosmo!: Apakah yang berlaku sehingga Neelofa dikatakan kurang ajar dan tidak profesional oleh pereka fesyen Nurita Harith di akaun Twitter miliknya?
NEELOFA: Maaf. Saya tidak mahu komen tentang perkara itu. Saya mahu ke Dubai bercuti dengan keluarga. Jadi, saya mahu pergi dalam keadaan yang gembira.
Selain isu dikatakan tidak profesional, baru-baru ini ada yang mengkritik tentang betis anda besar seperti batang pisang. Apakah komen anda?
Kelakarlah kalau nak komen tentang kaki sendiri. Saya jenis yang pakai apa sahaja yang saya suka dan mengikut keselesaan saya. Setakat ini saya gembira dengan apa yang saya pakai dan bersyukur dengan anugerah Allah kepada saya.
Apakah reaksi anda apabila terus dihimpit kontroversi?
Saya penat sebenarnya, sebab ada sahaja kontroversi yang tak berpenghujung. Saya tidak kacau hidup orang lain. Saya tidak faham kenapa ada orang yang ingin menyerang saya. Mungkin kerana cemburu atau tidak senang melihat orang lain senang. Bagi saya, ini dugaan yang menguatkan saya lagi sebagai anak seni.
Adakah segala dugaan yang datang pernah mematahkan semangat anda untuk teruskan kerjaya dalam bidang seni?
Tidak. Semakin banyak dugaan yang datang, saya semakin kuat. Bukan mudah untuk menjadi artis. Sebelum ini saya tidak faham orang kata susah menjadi artis, tetapi bila saya masuk dunia seni baru saya faham. Mental dan fizikal perlu kuat dan saya harus sentiasa bersedia.
Banyak pihak mengkritik mutu lakonan anda, tetapi ramai yang menyukai gaya santai anda sebagai pengacara dalam program Meletop. Adakah anda akan memberi lebih fokus terhadap bidang pengacaraan selepas ini?
Saya meminati kedua-dua bidang itu. Saya percaya dengan pengalaman yang lebih banyak dalam bidang lakonan, saya lebih tahu banyak perkara dan mutu lakonan juga akan bertambah baik. Demi peminat dan kerjaya, saya memilih watak yang berbeza dan cuba memberi yang terbaik. Sejujurnya, saya selesa juga menjadi pengacara dan memang ada banyak tawaran mengacara datang. Cuma, buat masa ini, saya hanya mahu memberi fokus kepada program Meletop dan Nona sahaja.
Tahun 2012 bakal melabuhkan tirainya tidak lama lagi, apakah yang anda boleh katakan tentang kerjaya seni anda sepanjang tahun ini?
Tahun 2012 boleh dikatakan tahun yang produktif untuk saya. Jika saya toleh ke belakang, banyak perkara yang berlaku dan saya pelajari. Tahun hadapan saya akan bekerja lebih kuat dan Alhamdulillah, saya telah ditawarkan berlakon dalam tiga buah filem salah satunya berjudul Pilot Cafe.
Kenapakah anda memilih Dubai sebagai destinasi percutian?
Ini kali ketiga saya akan ke Dubai dan percutian ini dirancang oleh keluarga. Saya akan berehat selama dua minggu sebelum bekerja semula seperti biasa. Saya memang suka Dubai, begitu juga dengan keluarga saya.
Sumber
No comments:
Post a Comment