Sunday, 9 December 2012

BEBASKAN PALESTIN, MALAYSIA WAJAR JADI PENERAJU



Teman nak kongsi dengan kome satu artikel menarik supaya kita dapat renung-renungkan bersama.  Penulis ingin meluahkan hasrat Malaysia menjadi peneraju usaha membebaskan Palestin.  Teman rasa hasrat itu mungkin adalah dilubuk hati umat Islam di Malaysia.  Cuba kita baca dan hayati, mungkin akan mendetikkan diri kita kepada sesuatu.

Malaysia wajar terajui usaha bebaskan Palestin

Gaza menangis lagi. Gaza sekali lagi diserang. Seperti sebelum ini sasarannya tidak mengenal erti kemanusiaan apatah lagi belas ehsan. Bom demi bom digugurkan. Peluru berpandu dilancarkan bagi membunuh sesiapa sahaja di tempat yang disasarkan. Tangisan dan rintihan langsung tidak memberi sebarang erti kepada manusia berbangsa Israel itu. 

Seperti biasa juga umat Islam melaungkan pembelaan terhadap warga Palestin yang kini menjangkau dasawarsa keenam diperlakukan semahunya. Tunjuk perasaan, kutipan derma dan kata-kata semangat bergema di serata dunia menyokong perjuangan rakyat Palestin. Bantuan demi bantuan diberikan tanpa kelihatan penghujungnya. 

Kehilangan nyawa rakyat Palestin sudah tidak terkira lagi. Biar berapa pun jumlahnya ia seolah-olah tidak memberi nilai. Nyawa rakyat Palestin umpama sampah di mata Israel. Tiada bezanya nyawa seorang pejuang kebebasan dengan nyawa warga tua, tiada bezanya antara nyawa seorang wanita dan nyawa kanak-kanak, semuanya diragut rakus oleh Israel. 

Entah berapa banyak pula kemusnahan yang merugikan di Gaza. Jumlah kemusnahan tidak perlu dinilai kerana tidak boleh dituntut ganti ruginya. 

Dunia yang ada seolah-olah membisu. Seorang presiden sebuah negara paling berkuasa di dunia yang menghentikan aktiviti ketenteraan negaranya di negara lain juga tidak dapat berbuat apa-apa. Pemilihan semula Presiden Barack Obama tidak langsung menghadirkan rasa gerun, malah memberikan Israel lesen untuk bertindak semahunya. 

Itulah fenomena yang biasa kita lalui setiap kali konflik Palestin Israel memuncak. Derma, demonstrasi, kutukan, persidangan, pemulauan barang adalah acara yang sudah menjadi tetap apabila berhadapan dengan keangkuhan rejim Israel itu. 

Kita berbangga kerana Malaysia adalah antara negara yang konsisten dalam membela nasib rakyat Palestin. Bermula dengan tunjuk perasaan dan kenyataan mengutuk tindakan rejim Israel itu, sudah ada usaha bersifat jangka panjang yang digerakkan. Pembinaan hospital dan masjid serta menaja pelajar Palestin adalah antara usaha itu. 

Namun, timbul persoalan bilakah keangkuhan rejim Israel itu dapat dihentikan? Segala usaha sudah digerakkan dan hampir semuanya menemui jalan buntu. Perundingan demi perundingan diadakan namun hak rakyat Palestin terus dinafikan. 

Dunia Islam kini teruja dengan wajah baru politik Asia Barat. Umat menanti suatu kelainan pasca Arab Spring. Ketegasan Kerajaan Mesir telah mula kelihatan apabila Presiden Mohamed Morsi sudah pun menghantar Perdana Menteri, Hisham Qandil untuk melawat Gaza. 

Dalam satu kenyataannya selepas solat Jumaat baru-baru ini, Morsi menyatakan rakyat Mesir hari ini berbeza dengan rakyat Mesir ketika era Hosni Mubarak. Beliau menegaskan rakyat Palestin tidak akan dibiarkan sendirian. 

Presiden Tunisia, Moncef Marzouki pula mengeluarkan kenyataan menempelak kebisuan masyarakat antarabangsa terhadap konflik yang melanda Gaza. Beliau menyatakan sokongan dan kebersamaan dengan rakyat Palestin bagi berhadapan dengan serangan barbaric yang dilakukan oleh pengganas Israel. 

Seperti Mesir, Kerajaan Tunisia juga menghantar Menteri Luarnya, Rafik Abdessalem bagi menyampaikan bantuan kema-nusiaan. 

Pertemuan di Kaherah antara Perdana Menteri Turki, Amir Qatar dan Presiden Mesir adalah sesuatu yang menarik. Presiden Mesir dan Perdana Menteri Turki itu menegaskan mereka akan mempertahankan Gaza walau berapa pun kosnya. 

Perkembangan ini walaupun dilihat sebagai positif dalam menghadapi konflik di Gaza, masih terlalu awal untuk dihitung keberkesanannya. Umat meletakkan harapan yang tinggi bagi penyelesaian yang tuntas terhadap konflik yang berlarutan terlalu lama. 

Justeru, ingin dicadangkan di sini bahawa sebagai sebuah negara yang mencintai keamanan sejagat, sewajarnya Kerajaan Malaysia mengetuai rakan sekutu dalam ASEAN bersama menghantar delegasi rasmi bagi menunjukkan kesungguhan dalam membela rakyat Palestin. 

Kita perlu berbuat sesuatu yang lebih tegas dan di luar kebiasaan bagi menghentikan keangkuhan rejim Israel itu.

Sumber

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...